Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Mei Kuan-Meng Yean bawa pulang satu kemenangan di Tokyo

TOKYO, 27 JULAI: Beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean meraih kemenangan tunggal pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mengatasi pasangan Great Britain dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Plaza Sukan Musashino Forest, Tokyo, pagi ini.

Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-11 dunia dan merupakan wakil tunggal negara dalam acara itu, tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Chloe Birch-Lauren Smith 21-19, 21-16 dalam tempoh masa 44 minit.

Bagaimanapun, kejayaan menundukkan pasangan di ranking ke-14 dunia itu hanya melebarkan rekod kemenangan mereka musim ini kepada 10 perlawanan sementara peluang melangkah ke pusingan suku akhir di Tokyo tetap terkubur selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan A.

Mereka tewas kepada gandingan di ranking keenam dunia Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia 14-21, 17-21 dalam aksi pembukaan sebelum akur kepada kehebatan pasangan nombor satu dunia dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-17, 15-21, 8-21.

Mei Kuan-Meng Yean menjadi wakil kedua daripada kem badminton negara di Tokyo selepas beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ lebih awal kepada temasya berkenaan selepas gagal menduduki kedudukan dua teratas kumpulan.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 tewas dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan sekali gus mengulangi pencapaian sama sewaktu membuat penampilan pertama di pentas Olimpik di London pada 2012.

Sementara itu, perseorangan utama wanita negara Soniia Cheah Su Ya akan membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik apabila dijadual turun beraksi menentang pemain Hungary Laura Sarosi dalam aksi Kumpulan N pukul 2 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).

Wakil tunggal beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Woi Yik berdepan aksi wajib menang ke atas gandingan Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura dalam aksi terakhir Kumpulan D untuk mara ke pusingan suku akhir pada 8 malam (7 malam waktu Malaysia).

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Jinq En pecah rekod kebangsaan 100 meter kuak dada

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perenang negara Phee Jinq En berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) kuak dada dalam saringan dua di Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Jinq En merekodkan 1 minit 08.40 saat (s) memperbaharui catatan miliknya sendiri 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, atlet berusia 23 tahun itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang perenang Slovakia Andrea Podmanikova (1:08.36s) diikuti Tilali Scanlan dari Samoa Amerika di tempat ketiga (1:10.01s).

Bagaimanapun, masa yang dicatatkan masih belum mencukupi untuk membolehkan Jinq En layak beraksi di separuh akhir yang dijadual pada Isnin (Julai 26). Jinq En menamatkan saingan di kedudukan ke-29 daripada 43 peserta keseluruhan.

Cabaran atlet negara itu belum berakhir kerana beliau bakal beraksi dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu (28 Julai).

Sementara itu, seorang lagi perenang negara Welson Sim Wee Sheng pula melakukan rekod terbaik musim ini dalam acara 200m gaya bebas lelaki meskipun gagal meneruskan saingan di Olimpik Tokyo.

Beliau mencatatkan 1:49.24s untuk menamatkan renangan di tempat ketujuh dalam saringan dua yang diungguli perenang Romania David Popovici (1:45.32s), diikuti Velimir Stjepanovic dari Serbia (1:46.26s) kedua dan Jacob Heidtmann dari Jerman (1:46.73s) di tempat ketiga.

Atlet berusia 24 tahun dari Sarawak itu menduduki tempat ke-32 daripada 39 peserta keseluruhan.

Hanya 16 perenang terbaik meneruskan saingan di peringkat separuh akhir yang dijadual pada Isnin (26 Julai).

Pada Sabtu, Welson gagal melayakkan diri ke final acara 400m gaya bebas individu lelaki selepas mencatatkan 3:58.25s untuk menduduki tempat ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Impian Peng Soon-Liu Ying di Olimpik Tokyo berakhir

TOKYO, 25 JULAI: Misi beregu campuran utama negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berakhir dengan kekecewaan selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan, hari ini.

Turun beraksi dalam misi wajib menang di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo, segalanya tidak menjadi buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu apabila tunduk 21-12, 21-15 kepada pasangan Jerman Mark Lamfuss-Isabel Herttrich.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan pasangan negara yang memberi mata mudah kepada Lamfuss-Herttrich menyaksikan gandingan di ranking ke-15 dunia itu memerlukan 41 minit untuk mengesahkan kemenangan mereka.

Kekalahan kedua yang hadir selepas mereka tewas kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 18-21, 21-10, 16-21 semalam, hampir pasti menutup peluang Peng Soon-Liu Ying untuk mara ke pusingan suku akhir, apabila kini mereka berada di kedudukan tercorot Kumpulan D.

Ia sekali gus menyaksikan gandingan yang menghuni ranking ketujuh dunia itu hampir pasti perlu mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada temasya sukan berprestij ini.

Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun akan melengkapkan saingan kumpulan menentang pasangan nombor dua dunia Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, esok.

Sementara itu, pada petang ini perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia akan membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik apabila dijadual turun beraksi menentang pemain Ukraine Artem Pochtarov dalam aksi Kumpulan M pukul 6.40 petang (5.40 petang waktu Malaysia).

Zii Jia dan Pochtarov memiliki rekod pertemuan seimbang 1-1 dengan kali terakhir kedua-dua pemain bertembung pada November 2017 yang menyaksikan Zii Jia menang 21-12, 21-11.

Sementara itu beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang dijadual menentang Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun pada pukul 7.20 malam (6.20 petang waktu Malaysia) perlu melakar kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir selepas tewas pada aksi pertama, semalam.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Pemanah negara catat rekod peribadi terbaik

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Pemanah negara Syaqiera Mashayikh memulakan saingan hari pertama acara memanah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan bergaya selepas mencatat rekod peribadi terbaik pada pusingan penentuan ranking acara recurve individu wanita, hari ini.

Pada aksi berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park di Tokyo, Syaqiera, 20, menamatkan saingan di tempat ke-43 daripada keseluruhan 64 peserta dengan berjaya memperoleh 630 mata sekali gus memperbaiki rekod 619 mata dilakukan pada kelayakan terakhir Olimpik di Paris Jun lepas.

Syaqiera dijadual berdepan pemanah Rusia Elena Osipova pada pusingan pertama Selasa depan.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu merupakan pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Dalam pada itu, rekod Sukan Olimpik berjaya diperbaharui oleh pemanah wanita Korea Selatan An San selepas atlet berusia 20 tahun itu mengumpul keseluruhan 680 mata untuk memadam rekod 673 mata yang dicatat pemanah Ukraine Lina Herasymenko pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Khairul Annuar Mohamad dijadual turun beraksi dalam pusingan penentuan ranking acara recurve individu lelaki di venue sama, tengah hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni prospek emas Sukan Olimpik 2020

PUTRAJAYA, 21 OKT: Kejayaan Azizulhasni Awang merangkul emas acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan, hari ini, memberi gambaran bahawa tidak mustahil untuk beliau merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan jaguh trek negara berusia 31 tahun itu sebagai seorang berjiwa kental dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

Beliau berkata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu memang adalah antara prospek pingat di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas merangkul gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Azizul ini seorang yang sangat fokus, saya rasa dia mampu melakukan sesuatu di Olimpik tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persatuan Badminton Masters Malaysia (MMBA) di sini hari ini.

Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1 pada final Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Tokyo 2020: Reka bentuk pingat Sukan Olimpik diperkenal

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini memperkenalkan reka bentuk pingat yang bakal menjadi rebutan atlet dari seluruh dunia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pingat emas, perak dan gangsa berserta reben dan bekasnya bagi kedua-dua temasya sukan itu diperkenalkan pada majlis “1 Year to Go!” Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, Jepun hari ini.

Menurut laman web: https://tokyo2020.org, pingat berkenaan direka Junichi Kawanishi, pemenang pertandingan yang menerima penyertaan lebih 400 pereka profesional dan pelajar reka bentuk.

Pingat berkenaan bergaris pusat 85 milimeter (mm), berukuran 7.7mm pada bahagian paling nipis manakala 12.1mm pada bahagian paling tebal.

Menurut jawatankuasa itu, pingat emas menggunakan lebih 6 gram penyaduran emas pada perak tulen, pingat perak diperbuat daripada perak tulen dan pingat gangsa menggunakan aloi tembaga merah yang terdiri daripada 95 peratus tembaga dan lima peratus zink.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menetapkan beberapa butiran mandatori dalam reka bentuk pingat yang termasuk simbol lima gelung ikonik, nama rasmi temasya dan dewi kemenangan Greek, Nike, di depan stadium Panatheniac.

Reben pingat pula menggunakan motif reka bentuk tradisional Jepun dalam ‘ichimatsu moyo’ (corak petak-petak) dan kasane no irome (teknik pelapisan kimono tradisional) yang mencerminkan Jepun dan cara negara itu menunjukkan “Perpaduan dalam Kepelbagaian”, katanya.

Sementara itu, reka bentuk bekas pingat pula diilhamkan oleh lambang temasya Tokyo 2020 dan setiap bekas memberi penghormatan kepada pemenang yang sampai ke kemuncak dalam pencapaian seorang atlet.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan mempertandingkan 33 jenis sukan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos, 2020, manakala Sukan Paralimpik 2020 dijadualkan berlangsung mulai 25 Ogos hingga 6 September dengan menampilkan 22 jenis sukan.

Setakat ini, enam atlet Malaysia layak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam sukan terjun; Mohd Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif (perahu layar), manakala Khairul Anuar Mohamad dalam memanah. – BERNAMA