Categories
SUKANKINI

MB bangga kejayaan Ridzuan Puzi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kejayaan jaguh Para Asia negara, Mohammad Ridzuan Puzi yang mencipta rekod dunia dalam acara olahraga Sukan Para Asia 2018, di Jakarta, semalam, sebagai cukup membanggakan.

Menerusi catatan terbaharunya di Twitter, Amirudin mengucapkan tahniah kepada atlet berkenaan kerana berjaya mengukir nama Malaysia di persada dunia.

“Tahniah Ridzuan Puzi @pridzuan36 terus mengharumkan nama negara di persada dunia ! Kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan Para Asian terus membanggakan. Syabas ! #KamiLuarBiasa #AsianParaGames2018,” tulisnya.

Coretan kegembiraan dari temasya itu turut dikongsi bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman Twitter rasmi miliknya.

“Semoga atlet para kita menemui lebih banyak kejayaan selepas ini #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh,” tulisnya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menerusi Twitter pula menganggap kejayaan yang dilakar atlet terbabit adalah sangat luar biasa, sebaliknya turut menyuarakan rasa bangga dengan pencapaian itu.

“ANOTHER WORLD RECORD! Tahniah Dik Wan @pridzuan36 atas kejayaan ini. I know you can do it, and you prove yourself once again. Go Malaysia! #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh,” tulisnya.

Pada acara yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Mohamad Ridzuan mempamerkan aksi memukau dengan mencatat masa 11.87 saat (s) dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov, pada 2013.

Sementara itu, seorang lagi atlet Para negara, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan melakukan lompatan sejauh 7.64 meter (m), meleburkan rekod terdahulu, 7.60m yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016, di Brazil.

Dalam perkembangan berkaitan, kontinjen negara menamatkan saingan hari kelima temasya dengan mengumpul dua pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan emas, 12 perak dan 17 gangsa untuk menghuni tangga kelapan.

China pula masih mengungguli carta kedudukan pingat dengan merangkul 104 emas, 50 perak dan 39 pingat gangsa

Categories
SUKANKINI

Tune Talk sokong atlet ke Sukan Para Asia 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pengendali rangkaian maya mudah alih, Tune Talk menzahirkan sokongan penuh kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, pada Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran berkata, ia adalah sokongan berterusan syarikat itu dan sentiasa menjadi pendukung gerakan Paralimpik Malaysia sejak 2015.

“Melalui inisiatif MISIM dan #KAMILUARBIASA, dua usaha dibuat khusus untuk menyokong dan memberi pendedahan kepada atlet kita yang luar biasa.

“Tune Talk akan terus memberi liputan terkini mereka yang akan bertanding di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, seperti kita lakukan semasa Sukan Paralimpik RIO 2016, melalui landasan dalam talian kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2015, Tune Talk memperkenalkan Seni Mempertahankan Diri Campuran Seni Bela Diri (MISIM) dan #KAMILUARBIASA bagi membawa lebih banyak pendedahan kepada wira istimewa negara demi menonjolkan pencapaian serta memainkan peranan aktif mencari bakat baru di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, inisiatif itu berjaya memecah dinding prasangka, diskriminasi dan persepsi terhadap atlet luar biasa berkenaan.

Katanya, Tune Talk akan menyediakan kit latihan kepada atlet untuk dipakai ketika mereka melakukan rutin di tempat latihan.

“Keutamaan ialah memastikan atlet tidak perlu bimbang berkenaan isu tidak perlu dan memberi tumpuan kepada persiapan mereka membawa kejayaan kepada Malaysia.

“Ia berada dalam Deoxyribonucleic acid (DNA) syarikat untuk membantu membina komuniti luar biasa dan penghormatan menjadi sebahagian daripada gerakan Paralimpik Malaysia,” katanya.