Categories
SUKANKINI

Tahniah Badang Selangor – Amirudin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan tahniah buat ‘Badang Selangor’, Mohd Yusoff Nandong setelah berjaya merangkul dua pingat emas, pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, semalam.

Beliau berkata, kejayaan Yusoff lebih manis apabila berjaya memecahkan rekod SUKMA bagi kategori sukan angkat berat.

“Tahniah buat anda dan tidak ketinggalan kepada pasukan badminton wanita yang turut memenangi pingat emas ketiga Selangor. Tahniah!,” katanya menerusi twitter, hari ini.

Semalam, Yusoff menjadi atlet pertama berjaya memecahkan dua rekod temasya selepas tujuh hari SUKMA 2018 berlangsung.

Beliau memecahkan rekod Sukma selepas memenangi emas dalam acara snatch kategori 56 kilogram (kg) selepas melakukan angkatan 116kg mengatasi rekod lama, iaitu 115kg yang dilakukan Mohd Shafiq Ismail, pada SUKMA 2010.

Rekod kedua yang dilakukannya adalah acara “clean & jerk” kategori 56kg setelah membuat angkatan seberat 137kg, sekali gus memadam rekod Shafiq, iaitu 136kg juga pada SUKMA 2010.

Categories
SUKANKINI

SUKMA2018: Selangor tambah gangsa acara basikal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kontinjen Selangor menambah koleksi pingat gangsa menerusi sukan Berbasikal Acara Ujian Masa Perseorangan Lelaki 40 kilometer, pada Sukan Malaysia 2018 (SUKMA2018).

Pelumba Selangor, Muhsin Al Redha mencatatkan 45 minit 35.035 saat di belakang dua pelumba Terengganu, Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri yang meraih pingat emas serta perak.

Mohd Nur Aiman mencatatkan masa 43 minit 53.128 saat sementara Muhammad Shaiful merekodkan 44 minit 52.161 saat bagi pingat perak.

Sehingga jam 5 petang, Melaka mendahului senarai pungutan pingat dengan empat emas, dua perak dan satu gangsa diikuti Terengganu (kedua), Sarawak (ketiga) manakala Selangor di tangga ke-13 dengan lima gangsa .

Kredit Foto: Majlis Sukan Negeri Selangor

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kontinjen Selangor sedia pertahan kejuaraan di SUKMA Perak 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 APR: Kontinjen Selangor melaungkan amaran untuk mempertahankan kejuaraan temasya Sukan Malaysia 2018 di Perak (SUKMA XIX Perak 2018) bermula 12 September hadapan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kontinjen Selangor pastinya bakal berhadapan cabaran sengit daripada negeri lain namun mereka akan berusaha sebaik mungkin mempertahankan kejuaraan.

“Kontinjen Selangor akan menyertai temasya sukan terbesar Malaysia iaitu SUKMA ke-19 yang akan berlangsung pada 12 September 2018 hingga 22 September di Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Sebagai juara bertahan, kita pastinya meletakkan harapan tinggi kepada kontinjen Selangor untuk mempertahankan kejuaraan temasya yang lalu dan seterusnya mengekalkan kegemilangan Selangor sebagai pelopor serta kuasa unggul sukan di Malaysia,” katanya.

Sejak temasya mula dianjurkan pada tahun 1986, Selangor muncul juara sebanyak sembilan kali.

Selangor menjuarai edisi SUKMA ke-18 dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa menenewaskan pasukan tuan rumah, Sarawak di tangga kedua.

Sarawak tewas tipis dengan kutipan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa diikuti Terengganu di tangga ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.