Categories
NASIONAL

Agong iltizam terus legasi Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, beriltizam akan meneruskan legasi dan sifat perikemanusiaan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Ia suatu yang sukar beberapa hari ini buat kami sebagai sebuah keluarga. Tetapi kami tidak mungkin dapat melalui semua ini tanpa cinta, sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan keluarga, rakan, rakyat Pahang dan semua rakyat Malaysia.

“Untuk ini dan yang lain lagi, kami berterima kasih dengan setulus hati kepada anda,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat Malaysia kehilangan seorang manusia yang luar biasa, namun yang lebih penting, mereka kehilangan ayahanda yang tersayang dan rakyat kehilangan seorang Sultan yang benar-benar luar biasa.

“Malahan, kami berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kami dengan seorang pemimpin dengan sifat yang merendah diri yang kita semua terdorong dengan kasih sayang dan rahmatnya kepada rakyat Pahang dan Malaysia. Ayahanda kami kekal dalam sanubari kami buat selama-lamanya, Al Fatihah,” demikian titah kedua-dua Baginda.

Pada 22 Mei lalu, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur kira-kira 8.50 pagi.

Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pahang ‘menangis’ sambut kepulangan Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 22 MEI: Bumi Pahang seakan ‘menangis’ menyambut kepulangan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat di ibu negara hari ini.

Sejak petang tadi, cuaca mendung, sebelum gerimis membasahi ruang udara Pangkalan Udara Kuantan di sini, semasa pesawat khas yang membawa jenazah almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang mendarat pada 7.25 petang.

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah almarhum ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Turut kelihatan ialah bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Jenazah almarhum seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dekat sini dengan van jenazah pada 7.50 petang dengan diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fadh Mu’adzam Shah yang merupakan anakanda bongsu almarhum yang sebelum itu mengiring pergerakan jenazah dari Istana Negara dilihat turut menaiki van jenazah.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi, dan akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zohor esok.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bendera Malaysia dikibar separuh tiang sehingga esok

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Bendera Malaysia perlu dikibarkan separuh tiang mulai hari ini hingga esok bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Almarhum Sultan Abu Bakar.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar menerusi satu kenyataan di laman Twitternya.

“Merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Bagi menghormati kemangkatan Almarhum baginda tuanku, bendera Malaysia hendaklah dikibarkan separuh tiang mulai 22.5.19 hingga 23.5.19,” katanya.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jenazah Sultan Ahmad Shah selamat diterbangkan ke Pahang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 MEI: Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selamat diterbangkan dengan pesawat Airbus A400M ke Istana Abu Bakar Pekan, Pahang, petang ini.

Van jenazah khas yang membawa Almarhum yang diiringi peronda polis tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang kira-kira 5.40 petang dari Istana Negara.

Almarhum diberikan penghormatan terakhir dan tabik hormat ketika keranda dibawa masuk ke dalam pesawat.

Pesawat Airbus A400M meninggalkan pangkalan TUDM kira-kira 6.30 petang.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama isteri Almarhum, Sultanah Hajah Kalsom turut mengiringi jenazah baginda pulang menaiki pesawat sama, manakala kerabat diraja lain berangkat menaiki pesawat BD700 secara berasingan.

Kerabat diraja yang turut hadir adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara pemimpin kerajaan yang turut kelihatan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyerahkan takhta kepada anakandanya Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975.

Almarhum baginda mangkat kira-kira 8.50 pagi tadi di Institut Jantung Negara.

Categories
NASIONAL

Kebaikan hati kenangan rakyat bersama Sultan Ahmad Shah

PEKAN, 22 MEI: Kebaikan hati serta sifat penyayang Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar menjadi kenangan teristimewa kepada rakyat Pahang.

Antara yang terkesan dengan kemangkatan almarhum ialah bekas pengasuh anakanda baginda, Hashimah Mat Ali, 80, yang menyifatkan baginda sebagai insan yang amat baik dan prihatin kepada semua pekerjanya.

Hashimah merupakan pengasuh kepada Sultan Pahang keenam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, yang merupakan anakanda keempat almarhum.

“Sepanjang saya mengasuh Al-Sultan Abdullah, almarhum melayan saya dan pekerja lain dengan baik dan sering bertanya mengenai kebajikan kami. Saya hanya berusia 17 tahun semasa mula berkerja di Istana, jadi sudah pasti berasa takut dan gerun apabila bertemu orang besar.

“Takut jika ada yang tersilap apatah lagi anak asuhan saya adalah anak raja. Tapi almarhum begitu lembut dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada saya untuk terus bekerja dengan baik,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, hari ini.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.50 pagi ini.

Bekas Pengerusi Persatuan Ketua Kampung daerah Pekan Abdul Kadir Bakar, 68, menyifatkan Almarhum sebagai seorang raja yang begitu dekat dengan rakyat kerana sentiasa sedaya-upaya bertemu rakyat yang menghadapi kesusahan.

“Almarhum Sultan Ahmad Shah dikenali sebagai seorang raja yang sangat sayang pada rakyatnya. Baginda adalah raja yang benar-benar mencerminkan pepatah raja dan rakyat berpisah tiada.

“Bila mencemar duli bertemu rakyat, almarhum tidak terkongkong dengan protokol. Baginda boleh bergurau dan tidak hairanlah jika kedudukan baginda begitu dekat di hati kami semua,” katanya.

Abdul Kadir juga mengenang kembali semula kenangan melihat almarhum mencemar duli ke kampung itu semasa berlaku kejadian lemas di Sungai Pahang yang mana almarhum sendiri menaiki bot bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, anak Jati Pekan, Datuk Hanizah Ghazali, 61, berkata almarhum baginda bukan seorang raja yang mementingkan kedudukan sekaligus mengetepikan protokol semata-mata untuk mendekati rakyat.

“Ketika hayat baginda, rakyat sering ‘terserempak’ dengan baginda yang selesa memandu kereta sendiri dan bersiar-siar sambil menyapa khabar rakyat yang ditemui.

“Rakyat amat hormat kepada baginda kerana baginda sentiasa ada untuk rakyat. Baginda tidak lokek memberi bantuan dan kata-kata semangat.

“Semangat juang baginda terhadap sesama insan amat kuat malah baginda tegar membela nasib rakyatnya termasuk kerap turun padang melihat sendiri keadaan hidup rakyat di negeri ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri Kabinet rafak sembah takziah kemangkatan Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Menteri Kabinet dan orang kenamaan merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

Ucapan sembah takziah tersebut dizahirkan menerusi laman Twitter mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan roh baginda dicucuri rahmat Allah SWT.

“Merafa’ sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga serta seluruh rakyat Pahang.

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengajak rakyat untuk mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah SWT.

“Sembah takziah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang telah mangkat pada pagi tadi.

“Sama-samalah kita mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T. Al Fatihah,” katanya.

Ucapan sembah takziah turut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Merafak sembah takziah kepada KYDMM Sultan Pahang, kerabat di Raja Pahang, dan seluruh rakyat Pahang Darul Makmur atas kemangkatan ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pahang berkabung 40 hari bermula hari ini

KUANTAN, 22 MEI: Pahang akan berkabung selama 40 hari bermula 12 tengah hari ini bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata selama tempoh berkabung, semua bendera negeri akan dikibarkan setengah tiang dan untuk tempoh tiga hari pertama iaitu bermula hari ini sehingga 12 tengah hari Sabtu, tiada acara keraian atau hiburan dibenarkan.

Golongan kerabat Pahang akan berkabung selama 100 hari, katanya.

Sallehuddin berkata, jenazah almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah akan dikafankan di Istana Negara di Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan di sini, pada petang ini.

“Jenazah akan dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan dan rakyat yang ingin menziarah dan memberi penghommatan terakhir boleh berbuat demikian bermula malam ini sehingga 9 pagi esok.

“Rakyat dibenarkan untuk melakukan solat jenazah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah di balairung tersebut,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sallehuddin berkata mereka yang ingin menziarah diingatkan untuk berpakaian berkabung serba hitam yang sesuai, dengan golongan wanita dinasihatkan untuk memakai tudung atau seledang.

Sallehuddin berkata istiadat rasmi pemakaman dijadualkan bermula pada 9 pagi esok, dengan jenazah almarhum dibawa ke persada di Istana Abu Bakar untuk penghormatan terakhir oleh kerabat dan orang kenamaan, bermula 11 pagi.

“Jenazah almarhum seterusnya akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja dan solat jenazah akan diimamkan oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman sebelum dimakamkan selepas Zohor esok,” katanya.

Sallehuddin juga mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini berada di luar negara dijadualkan berangkat ke Istana Abu Bakar, pada pagi esok.

Semua surau dan masjid di Pahang juga diminta untuk mengadakan tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula hari ini.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada 8.50 pagi tadi.

-BERNAMA