Categories
AGENDA NASIONAL

Ambil pelbagai langkah isu kepentingan bendera Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Pelbagai langkah perlu dilakukan institusi pendidikan di negara ini dan masyarakat dalam mendidik serta meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan bendera Malaysia, kata Pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu tahu cara menghargai bendera negara ini dengan penghormatan tertinggi dan usaha sedemikian boleh dilaksanakan oleh kementerian berkaitan dengan kerjasama media serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita tidak sewajarnya mengambil ringan bendera kita kerana mengibarkannya dengan cara yang tidak wajar adalah memalukan dan tidak sepatutnya berlaku kerana ia sama seperti menghina dan menunjukkan rasa tidak hormat kepada negara.

“Ia perlu diambil serius apabila berkaitan dengan bendera kita, yang juga melambangkan semangat sayang, bangga, patriotik, setia dan perpaduan kaum.

“Kejahilan rakyat dan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan sewajarnya mungkin disebabkan kurangnya semangat patriotik, kebanggaan, kesetiaan dan kepatuhan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bendera adalah simbol kemerdekaan dan membina kehidupan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, warna kulit atau kepercayaan dan terus berusaha ke arah membina perpaduan dan negara yang mampan untuk generasi masa hadapan.

Kenyataan Lam Thye itu merujuk kepada kejadian baru-baru ini di mana Jalur Gemilang elektronik dengan bintang lima dipaparkan pada majlis pembukaan kejohanan bola keranjang di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Isnin lalu.

Bendera itu juga mengandungi 10 jalur merah dan putih berbanding 14 jalur pada bendera kebangsaan.

Bendera Malaysia mengandungi 14 bintang dan 14 jalur merah dan putih yang mewakili 13 negeri di negara ini dan Wilayah Persekutuan.

Lam Thye juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ia adalah tanggungjawab mereka sebagai rakyat yang patriotik untuk memastikan Jalur Gemilang tidak dipasang secara terbalik, lusuh dan pudar.

“Insiden baru-baru ini sebagai peringatan kepada semua bahawa apabila kita mengendalikan bendera kebangsaan atau negeri, pastikan ia dikibar atau dipaparkan dengan lambang yang betul.

“Kini Maba telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka susulan insiden itu yang tidak disengajakan, saya rasa ia perlu dimaafkan tapi harus menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 200 Jalur Gemilang diedar di pasar tani

PETALING JAYA, 12 SEPT: Lebih 200 bendera Jalur Gemilang diedarkan kepada pengunjung dan peniaga di Pasar Tani, Seksyen 17/14, di sini, hari ini.

Bendera itu diedarkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah sempena meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Rajiv berkata, inisiatif itu diusahakan oleh Persatuan Pasar Tani terbabit yang mahu mewujudkan semangat patriotik terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya bangga melihat semangat kerjasama dalam kalangan peniaga dan pengunjung di sini yang saban tahun komited melaksanakan pelbagai sambutan meraikan hari-hari penting.

“Tahniah saya ucapkan dan inilah semangat yang kita mahukan. Malah, saya optimis program ini akan berterusan kerana selain dapat memupuk semangat cintakan negara secara tidak langsung hubungan antara komuniti turut dapat dieratkan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Rajiv Rishyakaran pengunjung yang hadir jamuan Sambutan Hari Malaysia yang di anjurkan Persatuan Pasar Tani di Seksyen 17/14, Seksyen 17, Petaling Jaya pada 12 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pasar Tani Seksyen 17/14, Zainal Abidin berkata, inisiatif program itu dilaksanakan adalah bertujuan meraikan Hari Malaysia selain menarik pengunjung singgah ke pasar terbabit.

Katanya, bukan sahaja Hari Malaysia namun pihaknya turut menganjurkan program sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali di pasar terbabit bertujuan meraikan komuniti yang pelbagai kaum di negara ini.

“Hari ini, kita juga mengadakan acara memasak secara beramai-ramai dalam kalangan peniaga dan komuniti sebelum masakan itu dijamu kepada pengunjung,” katanya.

Turut hadir pada jamuan tersebut, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Mengulas mengenai kehadiran pengunjung ke pasar terbabit, katanya, setiap minggu pasar ini mendapat sambutan memberangsangkan malah ia menjadi tumpuan golongan atasan.

“Antara yang gemar berkunjung ke sini ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa golongan atasan lain,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bendera Malaysia dikibar separuh tiang sehingga esok

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Bendera Malaysia perlu dikibarkan separuh tiang mulai hari ini hingga esok bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Almarhum Sultan Abu Bakar.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar menerusi satu kenyataan di laman Twitternya.

“Merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Bagi menghormati kemangkatan Almarhum baginda tuanku, bendera Malaysia hendaklah dikibarkan separuh tiang mulai 22.5.19 hingga 23.5.19,” katanya.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

-BERNAMA