Categories
NASIONAL

Almarhum Sultan Ahmad selamat disemadikan

PEKAN, 23 Mac: Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, di sini pada 4.35 petang ini.

Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda berdua.

Turut kelihatan di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob

Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membacakan talkin. Beliau terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam.

Solat jenazah itu disertai kaum kerabat Pahang, pembesar negeri, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan ribuan rakyat yang mengambil peluang untuk mengucapkan ‘salam terakhir’ kepada sultan yang terkenal dengan sikap pemurah dan amat kasih kepada rakyat.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi semalam.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu berangkat tiba di Balairung Sri Istana Abu Bakar pada 10.40 pagi, dengan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sultan Ahmad Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Sultanah Hajah Kalsom kemudian menerima ziarah penghormatan terakhir daripada orang kenamaan yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, dan pemimpin peringkat negeri dan pusat bermula pukul 11 sehingga pukul 1.10 petang.

Selain Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Ibrahim yang ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, turut berangkat menziarahi Almarhum ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Tun Abdul Taib Mahmud (Sarawak) yang ditemani pasangan masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah pula tiba 11.05 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum selain Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 11 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi.

Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.

Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’.

Setelah selesai, kawalan kehormat memberikan‘tafakur junam senjata’ sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.35 petang.

Sultan Abdullah dan anakanda bongsu Almarhum Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah turut menaiki kenderaan berkenaan untuk menemani perjalanan terakhir Almarhum ke Masjid Sultan Ahmad Shah.

Seramai 75 orang yang terdiri pegawai dan anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia mengetuai pergerakan van jenazah berkenaan diikuti kumpulan jejawat, kadi serta pegawai agama Istana serta masjid negeri.

Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman.

Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang 2.2 kilometer untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada seorang raja yang amat disayangi yang cukup terkenal dengan sifat merendah diri dan menjadi bukti kepada pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Almarhum prihatin nasib anak seni

PEKAN, 23 Mei: Keprihatinan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar kepada nasib anak seni menjadikan kehilangan baginda terkesan dalam jiwa mereka yang pernah mempunyai kenangan peribadi dengan almarhum.

Perkara itu diakui pelakon Datuk Seri Shah Rezza yang berkata almarhum akan sering memberi kurnia jika mendengar ada penggiat seni yang berada dalam kesusahan, memandangkan rezeki bidang seni ‘ada turun naiknya’.

“Baginda juga sering menasihatkan kami supaya menjaga nama baik. Itu antara nasihat yang tak pernah lekang daripada mulut baginda dan saya menjadikan ia sebagai amalan,” katanya.

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam dan akan dimakamkan selepas Zohor hari ini.

Beliau juga berkongsi cerita diberikan kesempatan untuk bertemu almarhum di saat-saat akhir hayatnya kerana menziarah baginda di IJN pada malam sebelumnya.

“Saya tiba pada 11 malam dan membaca surah Yasin di sisi baginda dan hanya pulang pada 8 pagi. Baru sahaja sampai di rumah, saya terima berita kemangkatan baginda. Terkejut kerana rupanya ia pertemuan akhir kami,” katanya.

Sementara itu, Raja Pop negara Datuk Seri Jamal Abdillah mendedahkan bahawa lirik lagu ‘Simfoni Sepi’ ditulis Sultan Ahmad Shah bagi mengenang isteri baginda Tengku Afzan Tengku Muhammad yang mangkat pada 1988.

Beliau juga mengakui terharu apabila baginda sudi mencemar duli untuk menerima jemputannya hadir ke Konsert 3 Suara pada 2016 walaupun kesihatan almarhum tidak begitu baik ketika itu.

Jamal berkata beliau sudah berniat untuk menjadikan jemputan ke konsert itu sebagai hadiahnya sempena hari keputeraan baginda, menyebabkan beliau menghantar sendiri jemputan kepada almarhum di IJN.

“Baginda sering menjemput saya membuat persembahan pada hari ulang tahun keputeraan baginda sejak tahun 80-an sehingga dua tahun lepas sampai saya sudah tahu lagu yang disukai baginda.

“Selain Simfoni Sepi, lagu kegemaran baginda ialah lagu seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee Di Mana Kan Ku Cari Ganti,” katanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Air mata Agong lambang kasih seorang anakanda

PEKAN, 23 Mei: Keperibadian dan kasih seorang anakanda yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyentuh hati semua yang berada di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata.

Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu.

Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman, dan sekali lagi dilihat mengesat air mata sebaik sahaja solat selesai.

Baginda seterusnya memeluk dan dilihat menenangkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk memberi penghormatan terahir kepada almarhum.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam, dan Istiadat Pemakaman Diraja dijadualkan selepas Zohor hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang difahamkan berada di luar negara semalam, bergegas berangkat pulang ke sini bagi menziarah dan menghadiri istiadat tersebut.

Baginda turut berkenan mencemar duli bertemu dengan orang kenamaan, rakyat dan pelajar tahfiz yang berada di Balairung Seri, yang merupakan peribadi baginda untuk menyantuni mereka pada setiap acara di istana.

Sepanjang bertemu rakyat, Al-Sultan Abdullah yang berkabung dengan pakaian serba putih juga beberapa kali dilihat mengeluarkan sapu tangan untuk mengesat air matanya.

Baginda seterusnya berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali yang tiba pada 11.05 pagi bagi memberi penghormatan terakhir dan antara pembesar negara yang hadir ialah Menteri Kemunikasi dan Multimedia Gobind Sigh Deo, Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat pukul 12.05 tengah hari, Istana Abu Bakar terus menerima kunjungan tetamu kenamaan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

Jenazah almarhum dijadualkan akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di sini dengan menaiki Pedati Diraja yang akan ditarik anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada 1 tengah hari untuk disolatkan dan dimakamkan di Makam Diraja di sini. -BERNAMA