Categories
AGAMA NASIONAL

Dr Suhaini tokoh perdana Maulidur Rasul Kebangsaan 1443H

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021 kepada Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Datuk Dr Suhaini Kadiman.

Penganugerahan itu disampaikan kepada beliau yang juga Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) di Istana Negara hari ini.

Dr Suhaini, 52, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ketika ditemui selepas majlis itu berkata sebagai profesional perubatan, hasrat beliau adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Walaupun cabaran Covid-19 sejak kebelakangan ini begitu menguji kesabaran dan kesungguhan kami sebagai petugas barisan hadapan namun dengan sokongan masyarakat dan semua pihak kita dapat atasi cabaran ini,” katanya yang berkhidmat selama 21 tahun di IJN.

Bagi aspek Papisma pula, Dr Suhaini berkata selain menggerakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pertubuhan itu juga membantu Keluarga Malaysia dari sudut psikososial serta kesihatan mental dalam fasa pemulihan negara.

Selain beliau, enam individu dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Datin Dr Paizah Ismail.

Turut menerima anugerah itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Syeikh Zakaria Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Hikmah Sarawak Alwi Morshidi.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul lain ialah Pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd Ali Hassan Mohd Hassan, Pengasas dan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Pondok Spiritual OKU Muslim Mohd Zaini Mat Abas serta bekas penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain Tawau Sabah Mohd Amin Nasir.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kemuliaan ummah masa depan bergantung kejayaan generasi M

IPOH, 24 FEB: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung pada kejayaan yang diperoleh oleh generasi muda Muslim atau ‘generasi M’ yang berusia 30 tahun ke bawah.

Titah baginda peranan generasi M amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan serta menjadi penentu arah haluan masa hadapan ummah selain masa hadapan dunia.

Sultan Nazrin bertitah generasi M berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan selain tidak mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data serta dibuktikan relevan dalam dunia semasa.

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara, mereka mengamalkan budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinteraksi.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif apa yang diungkapkan. Melalui talian (internet), mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian serta kesahihan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang bertemakan ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’, di Pusat Konvensyen Casuarina @Meru, di sini, hari ini.

Titah Sultan Perak, generasi M juga memiliki modal intelek, melihat dunia dengan lensa lebih luas dan kompleks selain berpandangan bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan lebih lebar serta luas.

“Generasi M juga memilih untuk berperanan sebagai duta Islam yang membawa suara kesederhanaan, melihat dunia sebagai pentas pertemuan budaya dan bukan pertembungan budaya seterusnya mentafsir kepelbagaian budaya sebagai keindahan yang melambangkan kekayaan ciptaan dan sebahagian lambang kebesaran Ilahi,” titah baginda.

Bagaimanapun baginda bertitah adakah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini berjaya mendampingi majoriti Generasi M atau mereka semakin menjauhkan diri.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah agar generasi dewasa memahami pemikiran dan jiwa generasi M selain mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting termasuk memberikan ruang lebih besar selain menghulurkan bantuan serta dorongan agar kumpulan tersebut berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah agar generasi muda Islam menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu serta kekal dengan pegangan akidah dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam seterusnya menjulang kemuliaan ummah.

Mengenai muzakarah itu, Sultan Nazrin bertitah agar ia dapat melakukan analisis secara jujur, memeriksa keberkesanan, produktiviti dan impak yang dihasilkan melalui kaedah pengajaran al-Quran yang diamalkan oleh masyarakat Islam dalam mengangkat kemuliaan ummah.

“Ia sama ada boleh mengupayakan insan memahami, mendalami, menghayati perkara-perkara yang tersirat di samping yang tersurat serta berupaya memperlengkap minda umat Islam menguasai pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi perkembangan sosial, perdagangan, sains, kejuruteraan dan teknologi dunia semasa,” titah baginda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Nazrin gesa pemimpin bela umat Islam tanpa negara

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara-negara Islam harus menangani keperitan yang dihadapi umat Islam tanpa negara di seluruh dunia seiring dengan proses meneruskan agenda pembangunan negara masing-masing.

Menegaskan bahawa ia perlu menjadi keutamaan, titah baginda, negara-negara Islam perlu lebih terbabit dalam perbincangan dan percambahan fikiran mengenai perkara tersebut.

“Kita mempunyai tanggungjawab penting terhadap saudara sesama Islam kita yang tidak bernegara dan kita perlu melakukan usaha yang lebih baik untuk membantu dengan menawarkan tempat berteduh dan memberi sinar harapan,” titah baginda dalam ucapan diraja ketika menutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Centre (KLCC) di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai perkara ini, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar dunia tidak lupa memori gambar jasad Alan Kurdi, seorang kanak-kanak pelarian Syria berusia tiga tahun​​​​​ yang ditemui terdampar di pantai berdekatan Turki selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam di Laut Mediterranean ketika melarikan diri ke Eropah pada 2015.

“Kadang-kadang mereka kata sebuah gambar berbicara seribu kata-kata tetapi saya fikir gambar tersebut meninggalkan kita tanpa sebarang kata-kata. Ia sebuah tragedi menyayat hati. Sudah pasti banyak…lebih banyak lagi tidak dilihat atau didengar oleh dunia,” titah baginda.

Dalam menegaskan insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku, Sultan Perak bertitah: “Harus ada tempat perlindungan yang selamat yang lebih dekat dengan kampung halaman mereka.”

Baginda bertitah, tumpuan​​​​​​​ Sidang Kemuncak Kuala Lumpur terhadap pembangunan mempunyai potensi besar untuk memperbaiki kehidupan pelarian Islam di seluruh dunia.

Sultan Nazrin bertitah, ketika negara Islam menjadi lebih makmur, stabil dan maju dalam bidang teknologi, pendidikan dan peluang pekerjaan, mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan kehidupan yang selamat dan produktif kepada pelarian.

Mereka juga menjadi lebih mampu untuk membiayai usaha kemanusiaan dan pengaruh kuasa yang lebih besar di pentas dunia bagi memastikan semua negara memberi perhatian kepada krisis tersebut, titah Sultan Perak.

“Sebagai seorang Muslim, harapan tulus saya bahwa kita memimpin dalam usaha membantu saudara-saudara kita yang tidak bernegara dan bukannya membiarkan mereka ketinggalan di belakang,” titahnya.

Baginda percaya persidangan seperti Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang membina jambatan antara negara Islam di seluruh dunia, boleh menjadi batu loncatan bagi mereka bertindak lebih bersungguh-sungguh untuk menangani masalah itu.

“Memang saya percaya, lebih banyak perubahan positif boleh dicapai jika nasib orang Islam tidak bernegara menjadi perhatian utama dalam perkembangan sidang kemuncak ini,” titahnya.

Sultan Nazrin juga menzahirkan harapan bahawa edisi sidang kemuncak seterusnya itu akan menumpukan kepada kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif yang digariskan untuk membawa ummah ke hadapan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Nazrin Shah tiba untuk majlis penutup Sidang Kemuncak KL

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pagi ini bagi menyempurnakan majlis penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

Keberangkatan tiba baginda disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta beberapa menteri Kabinet.

Tun Dr Mahathir, yang juga pengerusi sidang kemuncak berkenaan, akan menyampaikan ucapan penutup pada majlis tersebut.

Sidang kemuncak empat hari itu bertujuan untuk menangani dan mencari penyelesaian isu-isu mengenai umat Islam yang boleh dilaksanakan, memasuki hari terakhirnya hari ini selepas pelbagai perbincangan melalui forum.

Perbincangan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan negara dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan; serta teknologi dan tadbir urus internet.

Kira-kira 450 perwakilan terdiri daripada pemimpin dunia, pemikir, intelektual, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari 56 negara menghadiri sidang kemuncak yang bertemakan “Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara”.

Pemimpin yang hadir pada sidang kemuncak itu termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tolak syak wasangka, hormati perbezaan – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Dalam dunia yang semakin pertikaian dan berpecah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah masyarakat perlu mengambil perhatian mengenai apa yang diajar oleh Islam dan Konfusianisme tentang menghormati perbezaan dan penerimaan tulus terhadap orang lain.

Baginda menegaskan kedua-dua ajaran tersebut menggalakkan masyarakat untuk mengiktiraf kesamaan mereka kepada orang lain dan saling menghormati daripada memiliki sikap syak wasangka dan menolak sebarang perbezaan.

Kedua-dua tradisi spiritual ini, titah baginda, ditawarkan pada abad ke-21 suatu etika yang sangat diperlukan dalam membina jambatan dan mewujudkan sebuah komuniti sejagat di mana orang menyedari mereka mempunyai lebih persamaan daripada perbezaan dan sebarang perbezaan harus diraikan dan bukan ditakuti.

“Mungkin satu-satunya sumbangan terbesar yang dibuat oleh Islam dan Konfusianisme kepada etika dalam abad ini terletak pada usaha menggalakkan toleransi, penerimaan ikhlas dan komuniti secara bersama,”titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Dialog Peradaban Belia Malaysia-China Mengenai Islam dan Konfusianisme, bertemakan: ‘Sumbangan Islam dan Konfusianisme Ke Arah Etika Abad Ke-21’, yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik kedua-dua negara, di sini, hari ini.

Dalam ucapan tersebut, Sultan Nazrin menegaskan bahawa dalam tradisi kedua-dua ajaran itu, wujud pemikiran ke arah pemahaman dan keharmonian yang pasti dapat menyokong hubungan yang diperlukan antara masyarakat dan negara pada hari ini.

Memetik contoh sejarah lama dagangan secara aman antara Kesultanan Melayu Islam dan Dinasti Ming Confucius, baginda bertitah, kedua-dua tradisi Islam dan Konfusianisme telah menikmati pertukaran, kerjasama dan dialog secara harmoni sejak berkurun lamanya.

“Ini sebahagiannya kerana, seperti kita lihat, walaupun terdapat banyak perbezaan antara mereka, kedua-dua tradisi ini berkongsi beberapa perkara utama dalam penumpuan dan persamaan,” titahnya sambil menyatakan bahawa satu-satunya yang paling penting ialah kepercayaan bersama dalam menunjukkan toleransi dan penerimaan tulus antara satu sama lain.

Sultan Nazrin seterusnya bertitah bahawa dasar untuk etika kelestarian alam sekitar turut terdapat dalam Islam dan Konfusianisme.

Baginda menggariskan bahawa apa yang dititipkan Islam dan Konfusianisme, kedua-duanya mengajar pengikut masing-masing mengenai kepentingan menggalas tanggjungjawab besar menjaga planet dan pelbagai hidupan.

“Dunia kita sebenarnya dalam keadaan terdesak dan memerlukan pendekatan beretika seperti ditekankan oleh ajaran Islam serta Konfusianisme mengenai tugas manusia terhadap penjagaan bumi.

“Beta melihat, ini adalah ‘nadi’ sumbangan sebenar yang boleh diketengahkan kedua-dua tradisi ini ke arah pembentukan etika global abad ke-21,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga menyentuh mengenai sumbangan Islam dan Konfusianisme dalam memacu usaha membasmi kemiskinan global.

Baginda menekankan keupayaan spiritual boleh didapati dalam kedua-kedua sistem kepercayaan dari segi perkongsian kekayaan, menyokong kepada mereka yang memerlukan dan menghargai nilai sosial melangkaui kepentingan menjana kewangan.

“Dalam usaha untuk membina dunia di mana kekayaan dikongsi dengan lebih adil dan di mana masyarakat menghargai sumbangan daripada perolehan, kita boleh melihat kepada tradisi spiritual ini sebagai sumber panduan etika,” titahnya.

Majlis tersebut dianjurkan oleh persatuan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Peking dari China.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Umat Islam diingatkan sambut Aidilfitri ikut lunas syarak

 

IPOH, 4 Jun : Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan umat Islam supaya menyambut Aidilfitri mengikut lunas yang ditetapkan syarak dan memiliki nilai ibadah amal makruf yang dilakukan sepanjang Ramadan menjadi lengkap serta sempurna.

Baginda turut mengingatkan umat Islam agar menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran, menghindarkan pembaziran dan perbuatan bermewah-mewah.

“Hargai suasana yang membolehkan warga daripada pelbagai agama, hidup dalam harmoni, turut bersama meraikan keriangan Aidilfitri di tanah air yang aman lagi tenteram.

“Semaikan rasa syukur terhadap nikmat dan rezeki, berkongsilah limpahan nikmat dan rezeki kurniaan Ilahi dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan daif dan golongan yang memerlukan bantuan,” titah baginda dalam perutusan Aidifitri di sini, hari ini.

Sultan Nazrin turut bertitah agar pengorbanan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang serta meriah, dihargai.

Selain itu, baginda bertitah ketika majoriti warga bercuti dan bergembira, terdapat kalangan yang melaksanakan pelbagai tugas penting termasuk para anggota pasukan keselamatan, polis dan Angkatan Tentera.

“Begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, Imigresen dan kastam, kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.

“Kepada mereka dan anggota keluarga mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan. Semoga pengorbanan mereka diterima oleh Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar,” titah Sultan Nazrin. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Nazrin: Kerajaan baharu perlu belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu

KUALA KANGSAR, 4 NOV: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan kerajaan pada hari ini agar belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu kerana rakyat sedia menolak pemimpin yang menyalah guna kuasa.

Sultan Nazrin bertitah rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk anggota keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

“Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu. Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena ulang tahun ke-62 keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah budaya politik pasca 61 tahun merdeka menuntut kepada menu dan resepi baharu dalam persekitaran politik yang baharu.

Titah baginda, para pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera.

“Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban selain persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.

“Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Baginda bertitah rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, kesaksamaan kaum, kesaksamaan agama, kesaksamaan wilayah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan perkhidmatan persosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, pengangkutan awam yang meringankan tanggungan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi kemudahan rekreasi dan sosial.

“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

SUMBER: BERNAMA