Categories
SELANGOR

Semua mangsa tragedi Sungai Gasi berjaya ditemui

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Kesemua mangsa hanyut ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh semalam, berjaya ditemui dengan penemuan mangsa terakhir pada petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa kelima ditemui kira-kira jam 4.35 petang tadi, dikenal pasti sebagai Rapawi Jum’ada, 37 tahun.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian setelah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan operasi di luar lokasi pencarian awal.

Sebelum itu, mangsa keempat dikenali sebagai Jeleha Hashim, 48, ditemui berhampiran Desa Coalfields, kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian pada 3.45 petang tadi.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala operasi pencarian yang bermula sejak semalam juga ditamatkan.

Terdahulu, mangsa ketiga, dikenali sebagai Silawati Zailan, 31, ditemui kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Manakala dua lagi mangsa, iaitu Hashir, 38 dan Jamaluddin Rapawi, 14, masing-masing ditemui pada jam 9.50 malam tadi dan 1.26 pagi tadi.

 

Categories
SELANGOR

Mayat ketiga pemancing hanyut di Sungai Gasi ditemui

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Mayat ketiga pemancing yang hanyut ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh semalam, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, mangsa dikenali sebagai Silawati Zailan, 31.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 13 kilometer dari pos kawalan bomba manakala usaha mencari dua lagi mangsa masih giat dilakukan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

Dua lagi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini dikenali sebagai Rapawi Jum’ada, 37, Jeleha Hashim, 48, dan

Sebelum ini, dua mangsa telah ditemui, dikenali sebagai Hashir, 38 tahun, pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa kedua pula dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14, ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira satu kilometer daripada lokasi penemuan awal.

Sumber gambar: Berita Harian

Categories
SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut diperluaskan hingga 20 KM

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh, diperluaskan sehingga 20 kilometer dari jarak mangsa dihanyutkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan lebih 70 anggota bomba bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor turut digerakkan untuk membuat pencarian dari bawah, menuju ke lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

“Pencarian dari lokasi kejadian juga akan diteruskan, mengikut strategi yang dirancang untuk hari ini, ” katanya kepada media.

Pada masa sama, beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) juga digunakan untuk melakukan pencarian di lokasi yang dikenal pasti.

“Anggota PPDA akan melakukan pencarian di lubuk di kawasan sungai itu,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air seperti memancing di sungai atau tali air.

Katanya, bagi tempoh Januari sehingga hari ini, sebanyak 12 mangsa dilaporkan mati lemas di Selangor dengan 10 daripada mangsa meninggal dunia ketika menjalani aktiviti di sungai manakala dua lagi di tali air.

Sumber gambar: Bomba Selangor

Categories
SELANGOR

Polis kenal pasti identiti dua pemancing lemas di Sungai Gasi

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Identiti dua mangsa lemas ketika memancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh semalam, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt S. Somu berkata, mayat pertama dikenali sebagai Hashir, 38, seorang warga Indonesia manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14.

Katanya, tiga mangsa yang masih belum dijumpai ialah bapa kepada Jamaluddin iaitu Rapawi Jum’ada, 37, Jaleha Hashim, 48, dan Silawati Zailan (umur belum dipastikan).

“Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Sungai Buloh sebelum diserahkan kepada anggota keluarga mangsa,” katanya lapor Bernama.

Katanya, kejadian itu adalah yang pertama sejak 2013 dan polis akan melarang orang awam memancing di kawasan berkenaan atas faktor keselamatan.