Categories
AGENDA NASIONAL

Periksa kolam takungan banjir Jalan Rawang-Bestari Jaya, disyaki tercemar

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta segera melihat kolam takungan banjir di Jalan Rawang-Bestari Jaya (B27) kerana dikhuatiri menjadi tempat peningkatan TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu perlu dilakukan meskipun punca utama pencemaran bau dikesan dari sebuah kilang menyelenggara jentera berat yang berada sekitar Sungai Gong, Rawang.

“Kita menganggarkan di situ (kolam takungan banjir Jalan B27, Rawang) tempat yang menyebabkan peningkatan TON bau atau pencemaran bau.

“Kolam takungan itu bukan hanya menjadi kolam takungan air tetapi (takungan) kepada bahan tercemar yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran pada masa hadapan,” kata Dato’ Menteri Besar pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JAS Selangor turut mengenal pasti sebanyak 53 premis sekitar Sungai Gong, Rawang untuk diperiksa supaya tiada insiden pencemaran lain yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Pusat Kawalan Air Selangor selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya walaupun suspek utama sudah diambil tindakan undang-undang, Kerajaan Negeri mahu memastikan kawasan di Rawang Integrated Industrial Park tidak berlaku sebarang punca pencemaran yang boleh menyebabkan loji rawatan air (LRA) ditutup dan dihenti tugas.

“Pada masa sama, Luas turut menasihatkan supaya Jas memperluas lagi (pemeriksaan) di sekitar Sungai Sembah iaitu kawasan yang dikenal pasti terdapat bau atau kesan pencemaran daripada aliran air.

“Selepas kita membuat penjejakan secara manual dari LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang sehingga kawasan terakhir iaitu kilang pembersihan jentera berat yang dikesan sebagai suspek utama,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat lelaki cemar Sungai Gong direman enam hari

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun itu direman sehingga Khamis depan.

“Kita mendapat perintah reman terhadap kesemua suspek selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Noor Azam berkata, keempat-empat suspek merupakan adik-beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohamed Redza ke atas kesemua suspek.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang kira-kira 9.45 pagi ini selepas ditahan malam tadi.

Noor Azam berkata tiga suspek ditahan di kediaman mereka di Selayang pada kira-kira 11.20 malam manakala seorang lagi suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama peguamnya pada 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibawa ke Ibu IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syarikat dituduh mencemar sungai diarah kosongkan premis

DSC_0340

RAWANG, 9 SEPT : Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran minyak Sungai Selangor diarah mengosongkan premis oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dalam masa 30 hari, berkuatkuasa 9 September.

Penolong Penguatkuasa MPS, C Paramasivam berkata MPS telah menempatkan anggota-anggota mereka di premis tersebut bagi memastikan pemilik mematuhi arahan itu.

Premis yang disita itu telah dibuka semula hanya bagi tujuan itu. Semua peralatan, kemudahan dan barangan yang dibawa keluar dari kilang itu akan direkodkan.

“Pemilik kilang boleh melakukan kerja-kerja pengosongan premis bermula hari ini (9 September) iaitu seawal jam 8 pagi hingga 7 malam. Kalau kilang ini tidak dapat dikosongkan dalam tempoh sebulan, kita tunggu arahan selanjutnya daripada YDP,” katanya kepada Selangor Kini.

Kilang yang mengambil kontrak pembuangan sampah secara haram kira-kira 13 tahun lalu mula dihimpit kontroversi setelah didakwa bertanggungjawab terhadap pembuangan sisa minyak hitam ke Sungai Gong, yang mengalir keluar ke Sungai Selangor, baru-baru ini.

Selaras dengan respon Kerajaan Negeri, MPS bertindak pantas dan menyita kilang tersebut pada 31 Ogos lalu dan merampas 20 peralatan seperti alatan kimpalan serta dua buah lori tangki yang mengandungi minyak hitam.

Sementara itu, seorang kakitangan di syarikat berkenaan yang enggan dikenali menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan MPS itu dan berjanji akan mengosongkan kilang itu dalam tempoh ditetapkan.

Beliau turut memberitahu, kesemua barangan daripada kilang itu akan dipindah ke beberapa lokasi berbeza antaranya, Ampang, Kundang, Klang dan Ijok.

“Susah untuk siapkan (pengosongan kilang) dalam tempoh sebulan, tetapi kami akan cuba. Pemilik cadang hendak pindah tahun depan tetapi kilang ini telah disita terlebih dahulu,” katanya.