Categories
GLOBAL

Malaysia kutuk serangan bom di Surabaya

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengebom berani mati yang menyerang tiga gereja dan pangsapuri, ahad lalu serta kejadian di pintu masuk Ibu Pejabat Polis di Surabaya, Indonesia, semalam.

Kementerian Luar Negeri berkata dalam kenyataan mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terlibat dengan kejadian itu dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Indonesia.

“Kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan Republik Indonesia dan keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu serta berharap mereka yang cedera akan segera pulih.” katanya.

Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia khususnya Surabaya dinasihat berhati-hati, peka dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, tiga gereja di Surabaya menjadi sasaran pengebom berani mati lancar serangan dan sekurang-kurangnya sembilan maut manakala 40 lagi cedera.

Kejadian hampir serentak pada kira-kira jam 8 pagi itu apabila pengebom bunuh diri memasuki tiga gereja di Gereja Katolik Santa Maria Tak Bercela, Gereja Kristen Indonesia dan Gereja Pantekosta, lalu meletupkan diri mereka.

 

 

Categories
GLOBAL

Pengebom berani mati lancar tiga serangan di Indonesia

JAKARTA 13 MEI: Sekurang-kurangnya sembilan maut manakala 40 lagi cedera dalam tiga siri serangan bom membabitkan tiga gereja di Surabaya, hari ini.

Jurucakap Polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera berkata, pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti identiti kesemua mangsa.

Menurut polis, kesemua serangan berkenaan dilakukan pengebom berani mati dan enam kematian disahkan setakat ini manakala 40 lagi mengalami kecederaan.

Rakaman visual televisyen turut memaparkan serpihan bangunan bertaburan di pintu masuk sebuah gereja yang dikawal rapi oleh polis.

Pihak berkuasa dilaporkan turut menyiasat sama ada terdapat letupan keempat di sebuah gereja lain.

SUMBER: REUTERS