Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Exco: Segera tukar syarat tanah atau berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk meroboh premis serta kilang yang masih berdegil menukar syarat tanah dari pertanian kepada industri.

EXCO kerajaan tempatan berkata daripada 3,400 premis yang dikesan gagal berbuat demikian hanya 363 sahaja yang membuat permohonan untuk menukar status tanah.

Jelas Ng Sze Han, sebanyak 194 permohonan diluluskan, 144 dalam proses manakala baki 25 lagi ditolak.

“Kita tidak roboh semua kerana rakyat boleh kehilangan kerja kerana kita masih menimbang dari aspek ekonomi, namun jika ia mendatangkan masalah besar kepada masyarakat tindakan tegas akan diambil,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata walaupun notis dan amaran sudah diberikan, golongan ini masih layak untuk menukar syarat tanah walaupun program pemutihan sudah berakhir pada 31 Disember lalu.

Katanya, mereka yang membuat permohonan selepas tarikh berkenaan tidak lagi menerima insentif seperti diskaun 30 peratus selepas Kerajaan Negeri menawarkannya sejak 1 Oktober 2019.

Sementara itu, menerusi program sama sebanyak 1,246 premis sudah diberikan lesen perniagaan.

Sze Han berkata, tujuan utama langkah pemutihan dijalankan adalah untuk mengurangkan kebocoran hasil Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ia tidak adil kepada orang lain apabila satu lagi pihak hanya membayar cukai kediaman dan pertanian sedangkan mereka patut membayar kadar yang lebih tinggi,” katanya.