Categories
NASIONAL SELANGOR

Syed Husin : Rasuah Sukar Dibendung Kerana Bermula Diperingkat Atasan

SHAH ALAM 26 JUN : Rasuah di Malaysia sukar dibendung dan menjadi bertambah serius saban tahun kerana ia dikenal pasti bermula di peringkat atasan, kata Senator Dr Syed Husin Ali.

Menurut Syed Husin, ia bukan sahaja membabitkan golongan bawahan tetapi lebih parah apabila golongan pemimpin atasan  terbiasa dengan pengurusan kegiatan ekonomi yang mengaut keuntungan negara untuk memberi kesenangan kepada pihak-pihak tertentu.

Jelasnya, sekiranya pimpinan peringkat atasan mengamalkan rasuah dalam pentadbiran, maka tidak mustahil bagi golongan bawahan untuk ‘mencontohi’ atau mengikuti perilaku pemimpin mereka.

“Ada pepatah mengatakan, ikan akan mulai busuk di bahagian kepala dulu, iaitu merujuk kepada pimpinan atasan. Kalau sudah kepalanya mengamalkan rasuah  maka ia mudah dibawa kepada peringkat bawahan yang akhirnya akan menjurus kepada kehancuran masyarakat,” katanya.

Pendapat ini dilontar beliau ketika menyampaikan pandangan di forum mengenai rasuah berdasarkan ucaptama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan buku bertajuk ‘Rasuah’ oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Forum itu adalah bersempena pelancaran Wacana Ilmu ‘Buku Rasuah’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Tambah Syed Husin, berdasarkan indeks persepsi rasuah yang dilakukan, Malaysia antara negara yang mencatat rekod buruk sepanjang dua tahun lepas iaitu pada kedudukan 60 daripada lebih 100 buah negara seluruh dunia.

Katanya, adalah mengecewakan apabila kegiatan rasuah masih gagal di atasi sehingga hari ini, malah budaya tersebut seakan-akan tidak boleh diubah dan dipandang enteng oleh kebanyakan pihak.

“Rasuah adalah suatu perkara yang jijik, kotor dan merugikan rakyat. Selagi tiada kehendak bertindak terhadap perkara ini, maka ia akan terus berlaku. Susah hendak bertindak secara bersih apabila pemimpin sendiri mengamalkan rasuah.

“Tetapi, kalau wujud sahaja tuduhan terhadap pemimpin pembangkang, cepat sahaja mereka ambil tindakan. Jelas wujud diskriminasi di situ. Kita perlu lakukan sesuatu,” tegasnya.

 

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perlu “Pelincir” Jika Ingin Dapatkan Sesuatu Projek

SHAH ALAM, 26 JUN : Amalan memberi “pelincir” oleh pemaju dan kontraktor sebagai ganjaran kepada pihak tertentu untuk mendapatkan tender dan kelulusan projek kian menjadi tabiat yang semakin menular di Malaysia.

Natijahnya, sesuatu projek itu akan mudah diluluskan apabila kontraktor sanggup membayar harga berlipat ganda iaitu antara 30 hingga 50 peratus daripada kos sebenar.

Menurut Senator Dr Syed Husin Ali, Malaysia dianggarkan mengalami ketirisan hampir RM21 bilion setahun ekoran daripada amalan rasuah dan korupsi yang dilakukan pihak tertentu.

“Ketirisan RM21 bilion itu bukan digunakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, tetapi ia jatuh ke dalam poket orang-orang tertentu yang berkuasa dan kroni mereka sendiri untuk meraih kekayaan.

?Kebiasaannya, rasuah ini berlaku menerusi kerjasama paling rapat kontraktor itu dengan pemimpin besar,” katanya.

Demikian dedah Dr Syed Husin di sebuah forum mengenai rasuah pada pelancaran buku bertajuk ‘Rasuah’ oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) menolak keras amalan pemberian rasuah atau sogokan demi kepentingan diri.

Ini sama sekali berbeza dengan kerajaan Umno-BN yang menjadikan rasuah sebagai punca pendapatan lumayan.

Malah katanya, berdasarkan laporan Ketua Auditor Negara, urusan kewangan di negeri pentadbiran Pakatan berada pada tahap terbaik berbanding negeri-negeri di bawah pimpinan Umno-BN.

“Mengambil contoh di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil pendekatan untuk meneliti sendiri sesuatu projek sebelum memberi kelulusan kepada kontraktor. Ada yang mengatakan Abdul Khalid terlalu bersih.

“Saya memandangnya sebagai suatu perkara baik yang perlu dicontohi oleh pemimpin lain sekiranya ingin memastikan negara kita terus maju setanding dengan negara-negara lain,” ujarnya.