Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian khas tangani keganasan rumah tangga beroperasi awal Ogos

SHAH ALAM, 2 JULAI: Talian khas aduan bagi menangani isu keganasan rumah tangga di negeri ini dijangka beroperasi awal Ogos, kata ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Siti Kamariah Ahmad Subki berkata ketika ini, pihaknya sedang membuat rangka kerja terperinci bersama badan bukan kerajaan (NGO) sedia ada yang menyediakan perkhidmatan tele-kaunseling secara percuma.

“Insya-Allah, kita akan cuba (awal Ogos) dan sekarang dalam proses prapelaksanaan untuk salurkan panggilan masuk dengan pihak berkaitan. Sudah tentu penyambungan tersebut akan mengambil sedikit masa.

“Bagaimanapun, kami percaya penglibatan kali pertama ini mampu menjadi saluran aduan kecemasan terbaik kepada mereka yang berdepan masalah terbabit khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika dihubungi.

Siti Kamariah berkata sebagai permulaan, kira-kira 300 hingga 500 panggilan aduan membabitkan keganasan rumah tangga dijangka diterima sehingga akhir tahun ini namun menyasarkan 1,000 pada tahun berikutnya.

“Kakitangan terlibat akan diberi latihan lengkap memandangkan tidak semua mempunyai kemahiran serta kepakaran untuk menangani setiap kes aduan berkenaan antaranya cubaan membunuh diri, pesakit mental dan sebagainya.

“Mereka juga perlu diberi pendedahan bagaimana untuk berdepan situasi apabila panggilan yang masuk terlalu banyak kerana setiap kes yang perlu diuruskan biasanya memakan masa lebih sejam,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana berjumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut untuk individu terkesan di Selangor susulan penularan Covid-19.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang memanfaatkan golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor wujud talian khas, tangani keganasan rumah tangga ketika PKP

SHAH ALAM, 14 JUN: Talian khas aduan keganasan rumah tangga khusus untuk individu terkesan di Selangor susulan penularan pandemik Covid-19 akan dibangunkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pihaknya menerusi jawatankuasa keganasan rumah tangga sedang membincangkan cadangan itu dengan lebih lanjut.

“Inisiatif ini dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan diketuai EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.

“Kita dapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan dalam tempoh panjang memberi kesan mental sehingga ada terpaksa mengambil ubat tidur untuk berasa tenang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, WBS merancang sistem itu selepas menerima banyak aduan keganasan rumah tangga sejak PKP berkuat kuasa tahun lalu.

“Dana diberikan Kerajaan Selangor untuk sistem ini juga hasil daripada kajian pihak kami. Terima kasih kerana mendengar pandangan dan prihatin,” katanya.

Pada Rabu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.