Categories
SELANGOR

Projek Taman Sungai Yu Indah diatasi, pembeli asal dijejaki

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 17 JULAI: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berjaya menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai di Taman Sungai Yu Indah di Kampung Sungai Yu, di sini.

Setiausaha Kanan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Kamaruzaman Ahmad Nor berkata, dengan pengambilalihan projek dan pelantikan pemaju baru, tumpuan kini diberikan kepada pembangunan semula bagi memenuhi keperluan pembeli.

“Proses pengambilalihannya memakan sedikit masa kerana anak syarikat PNSB terpaksa membatalkan perjanjian asal dibuat bersama pemaju terdahulu dan terdapat beberapa kes mahkamah perlu diselesaikan hingga berjaya melantik pemaju baru.

Taman Sg Yu 3“Kini projek dapat diteruskan dan fasa pertama dengan 107 unit dijangka dapat disiapkan menjelang September ini,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Projek perumahan diusahakan anak syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dimulakan sejak lebih 15 tahun lalu adalah salah satu projek terbengkalai diatasi Kerajaan Negeri sejak mengambilalih pentadbiran negeri pada 2008.

Projek perumahan yang mempunyai 499 unit itu kebanyakannya adalah unit rumah kos rendah dan fasa seterusnya akan dijalankan selepas ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedia membantu pembeli asal rumah berkenaan dan mereka diminta bekerjasama supaya masalah berhubung pemilikannya dapat diatasi segera.

Taman Sg YuKatanya, dengan tersiapnya fasa pertama di sini, 107 pembeli rumah diminta tampil ke kawasan itu mulai 1 hingga 15 Ogos bagi tujuan berkenaan.

“Kerajaan Negeri, LPHS dan pemaju akan membantu mendaftar kembali nama mereka kerana majoriti pembeli gagal untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan maka kita akan lakukan proses semula mengenainya.

“Kita hanya mahu pembeli asal kerana ia tidak ditawarkan kepada pembeli baru dan mereka boleh membuat pilihan sama ada mahu meneruskan atau membatalkannya,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya serta pemaju menjalankan promosi termasuk berusaha menjejaki pembeli melalui saluran media, Majlis Daerah Kuala Selangor.