Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Negara bahas usul isu kartel daging haram

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Dewan Negara hari ini membenarkan usul berkenaan isu kartel daging haram untuk dibahaskan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata perkara itu akan dibahaskan mengikut Peraturan 17(1) dengan pihak pencadang dibenarkan untuk membahas tidak melebihi 30 minit dan pihak kerajaan untuk menjawab dalam tempoh yang sama

Menurut beliau, bagi membolehkan perkara itu ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan itu memenuhi tiga syarat iaitu bahawa perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya telah meneliti perkara ini, pertamanya benar perkara ini perkara tertentu, kedua didapati kepentingan orang ramai memang wujud dan terlihat ia memerlukan tindakan segera dan pengawasan selain pemahaman orang ramai perlu diberi perhatian setimpal.

“Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan dan usul ini saya tempohkan sehingga jam 1 tengah hari ini atau mengikut kesesuaian majlis pada hari ini untuk menempatkan masa atau ruang bahasannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Terdahulu Senator Asmak Husin mengemukakan usul isu kartel daging haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu mengikut Perkara 17 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Saya berpendapat usul ini melibatkan kepentingan orang ramai kerana ia merupakan sumber protein umat Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Bagi masyarakat Islam, makanan halal, haram, shubhah boleh mempengaruhi ibadat, pembangunan fizikal dan keseluruhan amalan kehidupan manusia.

“Ia juga melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim sebagai pengeluar logo halal yang selama ini diyakini halal dan sucinya, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Asmak memaklumkan rakyat juga semakin takut dan marah dengan kes ini kerana sehingga hari ini telah tular beberapa jenama yang biasa digunakan rakyat dikatakan terlibat dalam kes ini.

Telah hampir sebulan siasatan dilakukan dan rakyat menuntut supaya kerajaan menyenaraikan jenama yang terlibat atau sekurang-kurangnya apa-apa laporan awal yang boleh melegakan rakyat.

Oleh itu, beliau menuntut jawapan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau pihak yang berkepentingan demi membersihkan nama baik negara dan kepentingan umat Islam di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rais Yatim dilantik speaker Dewan Negara ke-18

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini.

Rais, 78, merupakan antara tiga calon yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu selain Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.

Bagaimanapun, Theodore menarik diri pada saat akhir.

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Negara baharu dibuat bagi menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas, dilakukan menerusi undi bersurat.

Keputusan undian itu menyaksikan Rais memperoleh 45 undi manakala Mohd Yusmadi 19 undi dan seorang tidak hadir.

Keputusan undian diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad.

Terdahulu, usul pencalonan Rais dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul itu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahya manakala pencalonan Mohd Yusmadi dilakukan oleh Senator Dr Ahmad Azam Hamzah.

Berlaku sedikit perbahasan apabila pencalonan Rais dipertikai oleh Senator Nga Hock Cheh yang menganggap ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negara memandangkan Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara.

“Dinyatakan setiap Ahli Dewan Negara yang hendak mencadangkan ahlinya sebagai calon Yang Dipertua Dewan mestilah memastikannya suka berkhidmat dan cadangan perlulah diberikan dalam tempoh dua hari sebelum tempoh persidangan.

“Saya ingin berhujah bahawa Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara, maka Yang Amat Berhormat tidak berhak mencalonkan Tan Sri Rais Yatim sebagai calon untuk jawatan ini. Sehubungan itu, pencalonan ini harus ditolak,” katanya.

Bagaimanapun hujahan itu ditolak oleh Abdul Halim dan memutuskan Muhyiddin sememangnya berhak mencalonkan Rais.

“Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham, walaupun perdana menteri bukan Ahli Dewan Negara tetapi beliau merupakan Ketua Majlis yang bertindak dalam menentukan tarikh persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan Mesyuarat hanya Ahli Dewan Negara sahaja yang boleh mencalonkan seorang ahli yang lain sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya.

Perkara yang dinyatakan oleh Timbalan Speaker itu kemudiannya disokong oleh Takiyuddin.

Walaupun Nga cuba membantah, Abdul Hamid menyatakan keputusannya muktamad dan memutuskan untuk menjalankan pemilihan dengan undi bersurat memandangkan pencalonan lebih daripada seorang, bersesuaian dengan Peraturan Mesyuarat 2 (3).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah silibus pendidikan, tangani kesan letusan media sosial

KUANTAN, 13 SEPT: Kementerian Pendidikan disaran mengubah silibus pendidikan sekolah bagi memastikan rakyat dapat mengimbangi aspek pemikiran dan komunikasi dalam berhadapan kesan letusan teknologi media sosial.

Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, keperluan itu wajar memandangkan perkembangan teknologi mengubah masyarakat yang dahulunya berbudi pekerti menjadi kurang sopan dan tidak menghormati pada masa kini.

“Jika rakyat di negara ini berjumlah 32 juta orang penduduk, tidak kurang 17 juta orang daripada mereka memiliki alat untuk memuat turun aplikasi media sosial Facebook atau WhatsApp.

“Ia sekali gus menyebabkan budaya masyarakat terutama orang Melayu yang dahulunya terimbang pemikiran dan komunikasinya kini menjadi lebih dahsyat daripada mereka di negara luar dalam soal interaksinya, sebagai contoh.

“Mereka sanggup bertutur bahasa kesat tanpa mengira siapa termasuk kepada raja dan perdana menteri… oleh itu perkara utama yang boleh dilakukan ialah merubah silibus pelajaran untuk memperbetulkannya kembali,” katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Syarahan Perdana ‘Serlahan Budi’ Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-62 di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang di sini, semalam.

Tugas mengembalikan kesusilaan dan kesopanan itu juga menurut Rais tidak hanya terletak di bahu Kementerian Pendidikan, sebaliknya jabatan lain boleh memainkan peranan berinteraksi dengan masyarakat dalam usaha mengekalkan identiti nasional, budaya, bangsa dan agama negara ini.

“Dahulu tidak pernah berlaku situasi seperti sekarang, jika lebih pun hanya surat layang, namun bila bertemu muka (semuanya) masih kekal beradab. Oleh itu saya berharap mereka yang terlibat sensitif mengenai hal ini.

“Ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak kerana kita tidak boleh menafikan telefon pintar kini sudah menjadi sumber menukar personaliti individu yang sangat bahaya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

AG sila rujuk Perlembagaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali merujuk semula perundangan dan ketetapan diputuskan dalam Perlembagan Malaysia.

Beliau berkata, hal itu kerana Apandi tidak memahami prinsip Perlembagaan sebenar dalam menentukan kedudukannya sebagai peguam negara.

Ia susulan keangkuhan Apandi untuk tidak meletakkan jawatannya, selepas mendapat bayangan pengundurannya akan dibuat pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

“Tan Sri Apandi, lebih baik tidak memberikan reaksi seperti dilaporkan (media pembangkang).

“Penentuan kedudukan Peguam Negara terserah kepada Kerajaan (Persekutuan) yang berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong seperti disyorkan Ketua Kerajaan.

“Artikel 145 mesti dibaca bersekali dengan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Twitter.

Apandi sebelum ini dilapor tidak akan meletakkan jawatannya selepas kekalahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinetnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sebaliknya kata Apandi, beliau akan bekerjasama dengan Kerajaan PAKATAN membabitkan aspek perundangan dalam negara.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan itu bersifat mengarut dan tidak boleh diterima.

“Saya fikir apa yang pendakwa awam atau peguam negara kata hari ini berkaitan menasihatkan kerajaan sebagai bullshit,” katanya pada sidang media PAKATAN, baru-baru ini.

Apandi sebelum ini adalah individu yang didakwa menyembunyikan salah laku Najib berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang dipecat Najib selepas cuba membongkar skandal kewangan terbesar negara itu.