Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Noh akui manfaat Skim Smart Sewa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 NOV: Menteri Umno, Tan Sri Noh Omar mengakui pelaksanaan Skim Smart Sewa memberi manfaat kepada rakyat seluruh negeri.

Ia susulan kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu untuk meneruskan pelaksanaan skim berkenaan sekiranya berjaya menawan Selangor, pada pilihan raya akan datang.

Katanya, pelaksanaan skim sama akan digunapakai di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang diperkenalkan di peringkat Persekutuan.

“Sekiranya BN diberi mandat untuk memerintah Selangor kelak, saya janji program ini akan dijalankan.

“Kita mahu golongan berpendapatan rendah yang menjadi penghuni PPR ini dapat merasa menjadi pemilik rumah dan bukan selamanya menjadi penyewa,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Terdahulu, Smart Sewa merupakan program Kerajaan Negeri membantu penyewa memiliki kediaman menerusi pemulangan deposit sewa pada kadar minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Pemulangan deposit berkenaan boleh digunakan sebagai wang pendahuluan bagi pembelian membeli kediaman.

Difahamkan, sebanyak 862 unit rumah mampu milik disediakan di bawah pelaksanaan skim berkenaan dengan 221 daripadanya sudah ditawarkan kepada pembeli sementara 641 lagi unit telah dikenalpasti.

Untuk rekod, RM100 juta diperuntukkan sebagai bantuan kewangan bagi merealisasikan pelaksanaan skim berkenaan.