Categories
SELANGOR

Selangor Saran Graduan Sertai Bidang Pertanian Moden

SHAH ALAM, 9 OKT : Graduan yang masih mencari pekerjaan disaran menyertai pertanian moden yang mampu memberi hasil pendapatan purata antara RM3,000 ke RM10,000 sebulan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, pertanian moden dilihat sebagai bukan suatu perkara yang asing dan berbeza dengan sepuluh tahun yang lalu.

“Kita sedia membantu dengan memberikan latihan dan peruntukkan bagi tujuan itu,” kata Dr Yaakob dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, memandangkan peluang pekerjaan yang amat terhad dan sangat kompetitif maka bidang pertanian mampu memberi alternatif pekerjaan kepada graduan.

Beliau berkata, di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Bestari Jaya terdapat di tiga orang bekas mahasiswa dari Institut Pertanian Malaysia, yang berjaya dalam bidang pertanian diusahakan mereka.

“Penglibatan golongan mahasiswa sangat diperlukan dalam bidang tersebut.

“Ini kerana, mereka yang memiliki daya fikiran yang kreatif dan kritis mampu membawa perubahan besar dalam pertanian di Malaysia,” katanya.

Tambah Dr Yaakob, beliau mencadangkan penanaman buah tembikai batu kerana mampu memberi hasil dan pulangan yang cukup besar kepada para petani berdasarkan kehendak yang tinggi di pasaran.

“Keunikan tanaman ini kerana ia mampu membuat sehingga lima pusingan setahun secara fertigasi dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan dimajukan,” katanya.