Categories
EKONOMI GLOBAL

AS naikkan tarif barangan China 25% babitkan barangan nilai RM812.7 bilion

WASHINGTON 2 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini menimbangkan cadangan untuk menaikkan tarif kepada 25 peratus ke atas import China bernilai AS$200 bilion (RM812.7 bilion), berbanding kadar 10 peratus sebelum ini, menurut satu laporan kelmarin.

AS mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk China bernilai AS$34 bilion (RM138 bilion) pada awal bulan ini, dan mempunyai rancangan untuk menambah senarai barangan lain sebanyak AS$16 bilion (RM65 bilion) lagi kelmarin.

“Trump pada awalnya mengancam untuk mengenakan cukai 10 peratus ke atas tambahan import AS$200 bilion tetapi kini mungkin dinaikkan kepada 25 peratus,” menurut sumber kepada Washington Post dan Bloomberg.

Tindakan itu mungkin mewakili satu peningkatan tekanan ke atas perang dagangan Washington-Beijing.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang semalam menyatakan ‘ugutan dan tekanan daripada pihak AS tidak akan berjaya.

“Jika AS mengambil langkah-langkah memburukkan lagi keadaan, kami pastinya akan mengenakan langkah tindak balas untuk menegakkan hak sah dan kepentingan (kami),” katanya dalam satu taklimat harian.

Pada tahun 2017, AS mempunyai defisit dagangan AS$376 bilion (RM1.526 trilion) dengan China. Keadaan itu menyebabkan Washington berusaha untuk mengurangkan jumlah berkenaan.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor belanja RM1.1 billion subsidi air

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 SEPT: Sejumlah RM1.1 bilion dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membiayai subsidi bil air sejak 2008, kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau berkata, secara puratanya sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi program pemberian air percuma setiap tahun.

“Berdasarkan kepada penggunaan air secara bulanan, pengguna di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbelanja sekitar RM25.04 setiap bulan.

AIR“Di Selangor pula, purata bil bulanan hanya serendah RM13.30 memandangkan 20 meter padu pertama disubsidi Kerajaan Negeri,” katanya di Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), di sini, hari ini.

Sesi pendengaran dipengerusikan Yeo Bee Yin dan turut dihadiri Ahli Jawatankuasa (AJK) lain iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, Shafie Ngah (Bangi) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang).

Selain Suhaimi, sesi berhubung Penstrukturan Industri Air Dan Kesan Terhadap Negeri Selangor itu turut memanggil wakil dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Suhaimi berkata, tarif air juga kekal sejak 2006 tanpa sebarang perubahan, sehingga kini.

“Jika di bawah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), tarif sepatutnya dinaikkan sehingga 105.7 peratus, selepas sepuluh tahun,” katanya.

-NFN-