Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada vaksin tamat tempoh, KKM pantau melalui pusat simpanan

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Norhaliza A Halim berkata pemantauan tersebut dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

Norhaliza menjelaskan penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

Katanya tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

“Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

Norhaliza berkata NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

Beliau berkata NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Dis tahun lepas.

“KKM komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Penilaian manfaat risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan suntikan vaksin lepasi tarikh luput tidak benar

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Siasatan awal mendapati dakwaan mengatakan terdapat suntikan vaksin Covid-19 yang diberikan telah melepasi tarikh luput adalah tidak benar, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di aplikasi MySejahtera individu terbabit sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin bagi dos pertama yang telah diterima.

“Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara tersebut berlaku dan tarikh luput vaksin sebenar akan dikemas kini di dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai penjualan slot janji temu vaksin, Khairy berkata sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan ditubuhkan di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dianggotai oleh wakil CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan ‘Standby List’ dikuatkuasakan di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin,” katanya.

Khairy berkata keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin.

Menurutnya, CITF bekerjasama dengan PDRM untuk menyiasat perkara itu seawal bulan lepas dan sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak polis.

Menyentuh mengenai tatacara operasi piawai (SOP) jika terdapat individu positif hadir ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin, Khairy berkata beberapa langkah segera diambil termasuk aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit selain melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 ke atas para petugas.

“Saya juga mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian pengesanan Covid-19 bertanggungjawab dan tidak hadir ke PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

-BERNAMA