Categories
SELANGOR

Taman Tasik Shah Alam Jadi Zon Bersih

SHAH ALAM 11 FEB : Taman Tasik Shah Alam di ibu kota Selangor telah dijadikan Zon Bersih pertama pada tahun 2012 manakala daerah dan bandaraya lain akan turut serta dengan mengenalpasti tempat tumpuan awam di kawasan mereka untuk juga dijadikan Zon Bersih.

Klasifikasi taman itu sebagai Zon Bersih bermakna Majlis Bandaraya Shah Alam akan memberi lebih tumpuan bagi memastikan sampah dikawasan tersebut dikutip dan peralatan seperti bangku dan tempat senaman diselengara dengan baik.

Difahamkan, penguatkuasaan undang-undang anti-vandalisme dan pembuangan sampah juga akan lebih intensif di kawasan Zon Bersih dan mereka yang didapati membuang sampah merata atau merosakkan harta benda awam akan di ambil tindakan segera.

Pengumuman Taman Tasik Shah Alam sebagai Zon Bersih dibuat di majlis pelancaran Zon Bersih peringkat Negeri 2012 di sini hari ini oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

“Melalui Kempen Zon Bersih sebenarnya kita mahu mengajak semua peringkat dan golongan masyarakat untuk bersama-sama memastikan kawasan persekitaran dan negeri kita ini sentiasa bersih dan selamat untuk dilawati.

Ia secara tidak langsung dapat membuka serta menukar minda masyarakat dalam meningkatkan tahap kebersihan, khususnya di lokasi-lokasi tumpuan para pengunjung,” kata Jaafar di dalam ucapannya.

Hadir bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.

“Pada tahun ini, setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) dikhendaki untuk memilih satu kawasan komersil atau lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk dijadikan sebagai lokasi zon bersih.

“Majlis pelancaran ini menandakan kawsan Taman Tasik Shah Alam sebagai kawasan zon bersih peringkat Shah Alam.

Matlamat kempen Zon Bersih, yang bermula setahun selepas Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Selangor, adalah untuk memupuk kesedaraan dan budaya cintakan kebersihan serta menjadikan Selangor negeri yang paling bersih berbanding negeri lain.

Kempen Zon Bersih tahun 2011 ditumpukan kepada kawasan setinggan dan kampung di seluruh negeri.