Categories
SELANGOR

EXCO sambut baik cadangan ADN aktifkan semula Zon Bersih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Cadangan menghidupkan semula Program Zon Bersih disambut baik Kerajaan Negeri sebagai usaha membersihkan kawasan titik panas, di Selangor, kata Ng Sze Han.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, Kerajaan Negeri masih merangka dan merancang pelan tindakan dalam menambahbaik sistem penyampaian dan tadbir urus khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pelan tindakan itu perlu dirangka bagi memastikan kualiti kehidupan lebih baik, sekali gus mewujudkan persekitaran bersih serta sihat.

“Pelaksanaan Program Zon Bersih selama empat tahun bermula 2010 hingga 2013 berjaya mengubah kawasan kotor menjadi lebih bersih dengan adanya usaha yang menggalakkan daripada PBT, Ahli Majlis, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi luar di Selangor.

“Program Zon Bersih dan seumpama dengannya dapat memberi impak positif kepada masyarakat secara lebih berkesan,” katanya.

Sze Han menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung cadangan mengaktifkan program Zon Bersih, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Zon Bersih yang dilaksana pada 2010 bertujuan memupuk semangat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan rakyat.

Antara kriteria pemantauan Zon Bersih adalah dengan memastikan penyelenggaran kebersihan dilaksanakan secara berterusan, cekap dan berkesan, selain meningkatkan kualiti kesihatan persekitaran pada tahap selesa, sihat dan selamat.

Categories
SELANGOR

Program Zon Bersih PBT misi capai status negeri paling bersih

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 JAN : Program Zon Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilancarkan Kerajaan Selangor adalah inisiatif awal negeri itu dalam usaha menaik taraf status menjadi negeri paling bersih demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, sejumlah RM1.2 juta telah disalurkan melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Selangor kepada semua PBT untuk tahun 2013.

MB Zon Bersih signKatanya program itu juga adalah bagi menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih di negara ini.

“DYMM Sultan ketika menyampaikan titah ucapan di perasmian Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Mac 2012, Baginda Sultan antara lain ada menyentuh tentang usaha kerajaan negeri menganjurkan kempen hijau dan zon bersih di seluruh pelusuk negeri ini.

“Baginda Sultan begitu teruja kerana Kerajaan Negeri mendapat kerjasama daripada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat bagi mengekalkan kawasan hijau dan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Malam Penghargaan dan Penganugerahan Program Zon Bersih PBT Negeri Selangor sesi 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

Program Zon Bersih mula dilaksanakan di PBT pada 26 Mei 2009 bertujuan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau dan selamat.

Sehingga kini, sejumlah 48 zon telah dipertandingkan sepanjang empat tahun program ini dilaksanakan.

Selain kebersihan, kriteria pemilihan turut mengambil kira aspek infrastruktur, landskap, kemudahan awam serta penglibatan komuniti setempat.

Pada majlis itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menggondol Anugerah Utama Zon Bersih 2013 dan membawa pulang trofi serta piala pusingan.

Selain anugerah utama, MBSA turut menerima beberapa anugerah lain antaranya jawatankuasa penduduk paling aktif dan johan berkumpulan.

Hadir sama, Exco Negeri Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyeru rakyat Selangor supaya menjaga persekitaran dan menyumbang tenaga bagi mewujudkan kejiranan atau kediaman yang bersih dan selesa.

Katanya pelaksanaan program Zon Bersih bergantung sepenuhnya kepada kesedaran sivik daripada masyarakat untuk memastikannya memenuhi matlamat yang dirancang.

“Sekiranya masyarakat tidak mempedulikan soal kebersihan, mereka akan terdedah dengan pelbagai wabak penyakit.

“Usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana tanpa semangat kerjasama yang tinggi, pemikiran yang positif dan jati diri yang kukuh, program ini mungkin gagal dilaksanakan,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

MBSA tandatangani MOU program kitar semula minyak masak

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 9 NOV –  Satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani di antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd untuk menjalankan Program Rintis Kitar Semula Minyak Masak di kawasan pentadbiran MBSA.

Program ini diselaraskan MBSA melalui peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Majlis tandatangan MOU ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohtar Hani bersama Pengarah Eksekutif Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Tan U-Jiun.MBSA basikal 03

Majlis itu turut disaksikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan dan Ketua Penolong Setiausaha Sektor Teknologi Hijau Kettha, Mathumathi Ambigabadi.

Datuk Mohd Jaafar dalam sidang media ringkas menyatakan, program ini memberikan kesedaran kepada penduduk Shah Alam tentang bahaya penggunaan semula minyak masak yang tidak diproses secara sistematik.

Katanya kesan penggunaan minyak masak tidak diproses secara sistematik boleh memberikan kesan kesihatan.

Ujar beliau lagi, program kutipan minyak masak terpakai ini yang melibatkan penduduk Shah Alam akan turut disertai para peniaga yang mempunyai perniagaan di premis di bawah MBSA.

Kira-kira 1,000 orang hadir ke Program Zon Bersih Bulan November peringkat MBSA yang terdiri daripada komuniti Seksyen 2, 3 dan 4,

Program Zon Bersih diperkenalkan Kerajaan Selangor yang mana setiap pihak berkuasa tempatan dikehendaki mengenalpasti sesebuah kawasan yang akan dipertingkatkan tahap kebersihan dan keceriaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Penduduk Serdang Raya Digesa Beri Kerjasama Kepada MPSJ

SERDANG, 22 JUN : Penduduk kawasan Serdang Raya digesa bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi menjayakan program membasmi tikus di kawasan itu.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, pihak MPSJ menghadapi kesulitan berikutan penduduk disitu membuat penutup longkang konkrit di hadapan rumah mereka.

“Saya menyeru semua penduduk disini supaya mengalihkan penutup longkang konkrit tersebut bagi memudahkan pihak MPSJ meletakkan racun di dalam longkang tersebut,” katanya ketika ditemui disini.

Sebelum ini, MPSJ melancarkan program Pembasmian Kacau Ganggu Tikus di kawasan komersial Seri Serdang dan program ini adalah yang ketujuh dianjurkan.

Rata-rata penduduk serta peniaga yang ditemui menyambut baik usaha yang diambil oleh MPSJ dalam melaksanakan program Zon Bersih di kawasan ini.

Seorang peniaga runcit, Sin Lean Fatt, 48, berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan seperti tidak membuang sampah di dalam longkang yang boleh menjadi tempat pembiakan tikus.

“Penduduk serta peniaga janganlah membuang sampah di hadapan rumah dan di tepi longkang sebaliknya letaklah di tong sampah supaya tempat ini sentiasa bersih,” katanya ketika ditemui di sini.

Categories
SELANGOR

Sistem Parcel Bagi Zon Bersih MBSA

SHAH ALAM 30 APR : Sebanyak 11 bahagian atau ?parcel? dibahagikan di Seksyen 10 dan 11 di ibukota Selangor sempena pemilihan Seksyen terbabit sebagai Zon Bersih 2012.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata ‘konsep pembahagian kerja’ itu bertujuan untuk memudahkan penyelarasan aktiviti dan maklumat dalam tempoh perlaksanaan zon bersih terbabit.

“Selain itu, MBSA juga menyediakan medium sosial untuk berinteraksi iaitu Facebook dan Twitter Zon Bersih MBSA,” katanya ketika Majlis Perlancaran Zon Bersih peringkat Majlis Bandaraya Shah Akan di Dewan Jejarum, Seksyen 11 semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 2, Datuk Emran Kadir.

Seksyen 10 dan 11 dipilih sebagai projek Zon Bersih kerana kedua-dua seksyen itu merupakan antara kawasan pembangunan terawal di Shah Alam sejak tahun 1970.

Mohd Jaafar memberitahu lanjutan pemilihan itu, MBSA akan memperlipatgandakan usaha kutipan sampah domestik, haram, pukal serta pembersihan longkang besar dan kerja-kerja sapuan jalan.

MBSA juga akan mengindahkan landskap di kawasan itu selain menaiktaraf kemudahan

“Selain itu, papan tanda pemberitahuan nama kontraktor dan nombor talian yang boleh dihubungi serta jadual kutipan sisa domestik akan dipaparkan di laluan strategik sekitar Seksyen 10 dan 11,” katanya.

Katanya, MBSA juga akan mengambil meningkatkan pemeriksaan terhadap premis-premis makanan.

“Ini bagi memastikan kawasan laluan belakang ‘backlane’ tidak dijadikan sebagai tempat penyediaan makanan,” katanya.

Tambah Mohd Jaafar, laman sosial Zon Bersih diakan untuk komuniti setempat membuat aduan, memberi pandangan dan saranan berhubung pelaksanaan zon MBSA.

Penghuni layari www.facebook.com/zonbersihmbsa2012 dan www.twitter.com/zonbersihmbsa.

Categories
SELANGOR

Banyak Masalah Punca Selangor Tolak Alam Flora

KOTA DAMANSARA, 7 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menyertai skim penswastaan perkhidmatan oleh Kerajaan Pusat menerusi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula tahun lalu berikutan banyak masalah yang ditimbulkan oleh syarikat berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hal itu kerana masalah kerja-kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini tidak dapat diselesaikan oleh Alam Flora.

Beliau berkata,  Alam Flora juga bersikap lepas tangan dan ‘serah tugas’ kepada orang lain dalam menangani sesuatu masalah sampah di sesuatu tempat.

“Selalunya jika terdapat sesuatu masalah atau aduan dari masyarakat mereka melengahkannya dan bersikap lepas tangan serta hanya pandai memberikan alasan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Zon Bersih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Sunway Giza.

Hadir sama, Datu Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R.Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan rekod MBPJ, hampir satu pertiga pendapatan yang dikutip dari cukai pintu iaitu sebanyak RM570 juta dibayar kepada Alam Flora dalam tempoh setahun.

“Tetapi masalah pembersihan dan perlupusan sampah masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah itu juga 30 peratus pembayaran akan diserahkan kepada koordinator Alam Flora, ‘kumpulan goyang kaki’ dan pekerjanya.

“Mereka cuma mendapatkan kontrak kemudian sub kepada orang lain, mereka tidak ada pengalaman dalam bidang ini. Kita tidak mahu orang yang tidak pandai melakukan kerja tapi hanya pandai melobi orang.

“Kerajaan negeri sudah melantik kontraktor yang baru, Alam Flora dulu tidak ada pengalaman sebab itu kita takut, kita tidak mahu lagi orang yang dapat kontrak tetapi tidak pandai buat kerja, itu bukan benda yang baik untuk negara,” katanya.

Jelasnya, setakat ini, hanya empat hingga lima sahaja panggilan aduan dalam masa sehari berbanding 200 panggilan sebelum ini.

Categories
SELANGOR

MBPJ Rancang Banyak Pembangunan Untuk Keselesaan Penduduk

KOTA DAMANSARA 7, APRIL : Selaras dengan pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada tahun 2011, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan beberapa projek bagi kemudahan warga Petaling Jaya untuk tahun 2012.

Antaranya, Program Basikal Lane di sepanjang 56 kilometer (km) di kawasan ‘Green Corridor’ yang menghubungkan antara satu taman ke taman lain.

Selain itu, turut dibangunkan program bandaraya ‘Low Carbon City’, rebat cukai taksiran, pemasangan lampu LED di lorong belakang, sistem tadahan air hujan, mewujudkan PJ Walk, program pembangunan urban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM10 bilion.

Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, MBPJ juga akan meningkatkan peranan ‘Road Gang’ bagi memantau jalan di sekitar Petaling Jaya supaya berada dalam keadaan baik.

Katanya, bagi suku tahun pertama ini, MBPJ meluluskan 18 projek dengan keluasan keseluruhannya 3.5 juta kaki persegi dan nilai GDVnya mencecah RM1.7 bilion.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan bagi membangunkan kawasan Petaling Jaya sebagai bandaraya ‘non capital city’.

“MBPJ juga akan meneruskan kempen kutu sampah di kawasan Zon Bersih. Semua pemilik kedai dan masyarakat akan dikenakan denda jika membuang sampah merata-rata,” katanya di Majlis Perlancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ 2012.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tambahnya, seramai 150 kontraktor dilantik bagi menguruskan sisa pepejal selepas MBPJ mengambil alih pelaksanaan kutipan sampah bermula Mac lalu.

“Seramai 60 pegawai khas dilantik MBPJ bagi mengawasi kontraktor terbabit yang mana kontraktor itu diberikan percubaan selama tiga bulan,” katanya.

Sehubungan itu, MBPJ akan mengatur semula kerja-kerja pembersihan di kawasan komersial yang mana kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pembersihan seawal 4 pagi bagi mengelakkan daripada gangguan dan kesesakan lalu lintas.

“Keadaan ini berbeza dengan kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,”katanya.

Dalam majlis itu juga, Dataran Sunway dipilih sebagai Zon Bersih peringkat MBPJ 2012.

Program Zon Bersih bertujuan menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri bersih berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Categories
SELANGOR

Taman Tasik Shah Alam Jadi Zon Bersih

SHAH ALAM 11 FEB : Taman Tasik Shah Alam di ibu kota Selangor telah dijadikan Zon Bersih pertama pada tahun 2012 manakala daerah dan bandaraya lain akan turut serta dengan mengenalpasti tempat tumpuan awam di kawasan mereka untuk juga dijadikan Zon Bersih.

Klasifikasi taman itu sebagai Zon Bersih bermakna Majlis Bandaraya Shah Alam akan memberi lebih tumpuan bagi memastikan sampah dikawasan tersebut dikutip dan peralatan seperti bangku dan tempat senaman diselengara dengan baik.

Difahamkan, penguatkuasaan undang-undang anti-vandalisme dan pembuangan sampah juga akan lebih intensif di kawasan Zon Bersih dan mereka yang didapati membuang sampah merata atau merosakkan harta benda awam akan di ambil tindakan segera.

Pengumuman Taman Tasik Shah Alam sebagai Zon Bersih dibuat di majlis pelancaran Zon Bersih peringkat Negeri 2012 di sini hari ini oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

“Melalui Kempen Zon Bersih sebenarnya kita mahu mengajak semua peringkat dan golongan masyarakat untuk bersama-sama memastikan kawasan persekitaran dan negeri kita ini sentiasa bersih dan selamat untuk dilawati.

Ia secara tidak langsung dapat membuka serta menukar minda masyarakat dalam meningkatkan tahap kebersihan, khususnya di lokasi-lokasi tumpuan para pengunjung,” kata Jaafar di dalam ucapannya.

Hadir bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.

“Pada tahun ini, setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) dikhendaki untuk memilih satu kawasan komersil atau lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk dijadikan sebagai lokasi zon bersih.

“Majlis pelancaran ini menandakan kawsan Taman Tasik Shah Alam sebagai kawasan zon bersih peringkat Shah Alam.

Matlamat kempen Zon Bersih, yang bermula setahun selepas Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Selangor, adalah untuk memupuk kesedaraan dan budaya cintakan kebersihan serta menjadikan Selangor negeri yang paling bersih berbanding negeri lain.

Kempen Zon Bersih tahun 2011 ditumpukan kepada kawasan setinggan dan kampung di seluruh negeri.