Categories
AGENDA GLOBAL

Angka korban meningkat, Jepun bergelut tangani Hagibis

TOKYO, 15 OKT: Jepun menggandakan usaha mencari dan menyelamat mangsa serangan Taufan Hagibis di kawasan tengah dan timur yang mengorbankan hampir 70 nyawa setakat ini.

Memetik laporan AFP, setakat ini belasan mangsa hilang dan 211 lagi cedera dalam tempoh tiga hari selepas taufan itu membawa angin kencang serta hujan lebat.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan berikrar untuk melakukan apa sahaja demi menyelamatkan mangsa dan penduduk yang terjejas.

Penduduk membersihkan rumah yang rosak di Nagano selepas Taufan Hagibis melanda Jepun pada 12 Oktober lalu. Foto AFP

Beliau turut mengarahkan Kementerian Pertahanan negara itu memanggil 1,000 tentera simpanan untuk menyertai 31,000 pasukan aktif dalam operasi menyelamat.

“Sehingga kini, ramai penduduk hilang di kawasan terjejas bencana. Unit penyelamat berusaha untuk mencari mangsa dan menyelamatkan mereka, bekerja siang dan malam,” katanya dalam mesyuarat bencana semalam.

Hagibis yang bermaksud kepantasan dalam bahasa Filipina melanda Jepun pada malam 12 Oktober lalu menyebabkan 138,000 isi rumah tidak memiliki bekalan air, manakala 76,000 lagi bergelap, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kawasan utara ketika cuaca bertambah sejuk.

Media tempatan melaporkan sejumlah 176 sungai melimpah terutama di timur dan utara Jepun.

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia zahir takziah kepada Jepun ekoran Taufan Hagibis

PUTRAJAYA, 14 OKT: Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan simpati dan takziah kepada Kerajaan Jepun dan rakyatnya, terutama mereka yang kehilangan insan tersayang dan terjejas akibat Taufan Hagibis.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini berkata, beliau yakin bahawa kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang sedang berjalan di kawasan bencana dapat memudahkan proses pemulihan di kawasan terjejas.

“Malaysia berdiri teguh bersama Jepun dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 35 orang meninggal dunia dan 17 lagi hilang setakat semalam selepas Taufan Hagibis membadai Jepun termasuk kawasan kota metropolitan Tokyo.

Taufan itu turut menyebabkan beberapa sungai melimpah dan 376,000 rumah terputus bekalan elektrik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Taufan Hagibis: Pemimpin PBB sedih lihat kemusnahan di Jepun

NEW YORK, 14 OKT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad berkata beliau sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan teruk akibat Taufan Hagibis di Jepun, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan yang dikeluarkan badan dunia itu.

Sekurang-kurangnya 35 orang maut manakala 17 lagi hilang pada Ahad apabila Hagibis membadai Jepun termasuk kawasan metropolitan Tokyo, yang menyebabkan beberapa sungai melimpah dan memtuskan bekalan elektrik di sejumlah 376,000 rumah.

Dalam satu kenyataan, pemimpin PBB itu mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan serta rakyat Jepun, dan berhadap mereka yang cedera cepat sembuh.

13 Oktober adalah Hari Antarabangsa bagi Pengurangan Risiko Bencana.

Guterres menekankan kepentingan melabur dalam kebingkasan iklim dan memuji peranan kepimpinan penting Jepun dalam bidang ini, seperti yang dibuktikan dalam persediaan yang luas dan cekap untuk keadaan cuaca melampau ini.

-BERNAMA