Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ jalan operasi tembak gagak, tangani kacau ganggu

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan melaksanakan operasi menembak gagak di lokasi titik panas Sabtu ini bagi menangani masalah kacau ganggu spesies tersebut.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata operasi bermula jam 7 pagi hingga 9 malam diadakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk.

Beliau menjelaskan usaha itu juga bertujuan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan bandar raya terbabit.

“Sehubungan itu, warga Subang Jaya diingatkan agar mengambil maklum sekali gus tidak berada di kawasan berhampiran sewaktu aktiviti menembak gagak dijalankan,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmiĀ http://www.mbsj.gov.my dan platform media sosial MBSJ (Facebook, Instagram dan Twitter) atau hubungi pusat kawalan di talian 03-80247700.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ tembak gagak Ahad ini, minta orang ramai beri kerjasama

SHAH ALAM, 15 DIS: Satu operasi menembak gagak akan dijalankan di kawasan ‘panas’ sekitar Petaling Jaya Ahad ini bermula jam 7 pagi hingga 7.30 malam.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta orang ramai memberi kerjasama bagi menjayakan program tersebut.

“Semasa operasi berlangsung, akan berlaku gangguan bising berikutan bunyi tembakan senapang yang digunakan.

“Berikutan itu, orang ramai juga diminta supaya berhati-hati sewaktu operasi itu dijalankan,” katanya menerusi Facebook.

MBPJ juga menjelaskan pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran serta Jabatan Penguatkuasaan akan ditempatkan untuk pemantauan sepanjang operasi berlangsung.