Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Program Orang Lokal esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 APR: Orang ramai dijemput memeriahkan Program Orang Lokal yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik selain berpeluang memenangi hadiah lumayan.

Program anjuran Kerajaan Negeri dan HIJRAH Selangor (HIJRAH) itu berlangsung di Tempat Orang Lokal (T.O.L), Kompleks PKNS Shah Alam, bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam, pada 27 April.

Antara aktiviti dianjurkan adalah Pertandingan Mewarna, Pertandingan Carom, Pertandingan Hot Wheels dan Pertandingan Makan.

Program Orang Lokal ini turut mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), PKNS Real Estate (PREC) dan Shah Alam Hot Wheels Club (SAHWC).

Demo dan Bengkel ‘Hands On’ bermula pada jam 3 petang dengan aktiviti dekorasi ‘cupcake’, potong rambut dan cara balutan reben serta hamper.

Pertandingan Karom pula dijadual berlangsung sekitar jam 4 petang dengan tawaran hadiah RM400 untuk Juara, RM300 Naib Juara sementara bagi tempat ketiga dan keempat masing-masing RM150. Yuran penyertaan RM20 dikenakan untuk satu beregu.

Sementara Pertandingan Makan Makanan Lokal akan bermula pada jam 8 malam dengan tawaran hadiah RM100 untuk pertama, RM80 kedua dan ketiga RM50 serta tiga hadiah saguhati berbentuk hamper menanti peserta di tempat keempat hingga keenam

Categories
SELANGOR

HIJRAH tawar sewa berpatutan di tapak T.O.L PKNS

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 4 APR: HIJRAH Selangor (HIJRAH) diberi kepercayaan mengendalikan tapak perniagaan Tempat Orang Lokal (T.O.L) di Kompleks PKNS di sini, yang menawarkan harga sewa tapak lebih berpatutan kepada usahawan.

Pengurus Khidmat Profesionalnya, Nur Siti Hazliana Mat Hashim berkata, terdapat tiga jenis sewaan ditawarkan kepada peniaga dengan kadar sewa dari RM2,000 hingga RM2,800 sebulan.

Katanya, kadar sewaan itu termasuk bayaran elektrik, permit dan GST, bergantung kepada keluasan tapak di situ.

“HIJRAH diberi kepercayaan mengambil alih T.O.L dan kami membuka peluang kepada vendor atau usahawan tempatan khususnya di Selangor, untuk menjadikan tapak ini sebagai landasan mereka memperkenalkan produk masing-masing.

“Sehingga kini, 25 lagi vendor diperlukan dan keutamaan diberikan kepada pengusaha atau peniaga yang menjual barangan unik, menarik, dan lain dari lain.

“Di samping itu, kontrak kepada penyewa diberikan bermula dari April hingga Disember 2018, dengan kemasukan vendor baru pada 15 April ini.

“Waktu operasi pula bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam, ” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, T.O.L kini mempunyai 16 vendor sedia ada dan bakal mengadakan pembukaan secara rasmi pada awal bulan Mei depan dengan pelbagai kelainan dan pengisian khas diberikan kepada pengunjung dan usahawan.

“Antara pengisiannya adalah membuka pentas di tapak ini dengan berkolaborasi bersama Deejay dan PKNS bagi membuat pelbagai aktiviti pada hujung minggu serta memberi peluang kepada para peniaga mempromosikan produk mereka,” katanya.

T.O.L adalah sebuah projek tranformasi bagi menjenamakan semula dan menaik taraf kompleks PKNS yang berusia lebih 40 tahun itu dan sangat terkenal pada tahun 80an.

Ia bertujuan mengembangkan perniagaan usahawan baru lokal yang berani mengambil cabaran demi merealisasikan impian mereka dengan mengenakan kadar berpatutan.

Sementara itu, Pengurus Lee Trading, Mohd Norazli Md Daud, 27, yang mengikuti program HIJRAH berpendapat, peluang diberikan Kerajaan Negeri kepada usahawan selama ini dilihat banyak membantu peniaga kecil-kecilan mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya sudah menyewa tapak di sini hampir dua tahun dan menerima respon amat baik daripada pelanggan.

“Lumrah jatuh dan bangun dalam sesebuah perniagaan, namun berkat sokongan dan dorongan dari HIJRAH, saya berjaya sampai ke tahap ini.

“Saya mahu usahawan di luar sana menggunakan peluang diberikan sebaik mungkin dan tidak takut mengambil risiko dalam perniagaan,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual kasut, sandal dan selipar.

Sebarang pertanyaan mengenai sewa tapak T.O.L boleh menghubungi Shazatul Athirah di talian 012-6723713 atau 03-55191692.