Categories
SELANGOR

RM20 juta selesai tiga projek terbengkalai di Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 MAC: Tiga projek terbengkalai akan dipulihkan tahun ini dengan menggunakan peruntukan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) bernilai RM20 juta.

Sudah diluluskan pada pembentangan Belanjawan Selangor 2016, tiga lokasi itu adalah rumah pangsa kos rendah di Bukit Rimau, pembesaran kampung di Taman Desa Mawar dan rumah teres Bandar Baru Serendah, Hulu Selangor.

IMG_20160306_111613Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah itu disifatkannya kecil, namun Kerajaan Negeri tetap akan membantu bagi memastikan pembeli teraniaya memiliki semula rumah mereka secepat mungkin.

“Saya beri jaminan perkara ini tidak lagi akan berlaku di Selangor kerana kita mahu menjamin kesejahteraan rakyat.

“Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri menubuhkan TEPAT yang diketuai Dato’ Iskandar Abdul Samad.

“Jawatankuasa ini memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan masalah dan isu berkaitan serta mengenal pasti kaedah pemulihan sesuai dan memantau projek sehingga siap,” katanya.

Setakat ini, 63 daripada 115 projek terbengkalai diwarisi sejak pentadbiran lama berjaya diselesaikan membabitkan 29,507 unit dan sudah diserahkan kepada pembeli.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menitikberatkan kreadibiliti pemaju sebelum membenarkan sebarang pembangunan hartanah bagi mengelakkan projek terbengkalai berulang.

CP2A4263“Melalui LPHS, kita melaksanakan peraturan lebih tegas dengan menyemak (latar belakang) bukan kerana kenalan tetapi kreadibiliti, kedudukan kewangan kukuh dan mempunyai trek rekod baik bagi menjamin projek mampu disiapkan dalam tempoh serta jadual ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut meminta pembeli yang terlibat dalam masalah projek terbengkalai lain bersabar supaya Kerajaan Negeri dapat mencari penyelesaian terbaik bagi masalah mereka.

Mohamed Azmin sebelum itu menyerahkan Sijil Layak Menduduki (CFO) dan simbolik kunci kepada Jawatankuasa Bertindak Pemulihan Kondominium Villaria yang terbengkalai hampir 18 tahun.

Hadir sama, Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim, Pengurus Besar Masteron Sdn Bhd, James Lim Seng Ho, Pengarah Urusan Masteron Sdn Bhd, Datuk Choy Wai Ceong dan Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain.

-AA-

Categories
SELANGOR

Tiada projek perumahan terbengkalai selepas 2008

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 24 FEB: Tidak sanggup melihat wajah dikecewakan dan tertekan apabila kediaman diimpikan terbengkalai seperti banyak berlaku sebelum 2008, Kerajaan Negeri memantau projek perumahan diluluskan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata pemantauan berterusan itu mendatangkan hasil positif apabila sehingga kini tiada projek perumahan diluluskan selepas 2008 terbengkalai ekoran kegagalan pemaju.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)“Bayangkanlah, sesiapa berada di kedudukan mereka. Nak kumpul duit pendahuluan bukan senang, selepas bayar pendahuluan kena bayar bulanan pula walaupun ada sesetengah pendapatan tidak seberapa tetapi disebabkan nak beli rumah impian mereka gagahkan juga.

“Tiba-tiba dapat tahu rumah tak siap, pemaju lari atau gulung tikar. Pada masa itu apa perasaan mereka, rumah tidak ada sedangkan pinjaman bank kena bayar. Menyedihkan bila kita fikir nasib mangsa teraniaya ini dan sebab itu Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh pastikan tiada projek terbengkalai.

“Tetapi bila ada projek mula perlahan, kita jumpa pemaju dan berikan mereka peringatan,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Terbuka Cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Dewan Dato’ Hormat di sini, semalam.

Iskandar berkata, ketika ini walaupun Kerajaan Negeri boleh menyemak status kewangan syarikat pemaju tetapi pemaju terbabit mempunyai hak dilindungi undang-undang sekiranya mereka enggan mendedahkannya kepada Kerajaan Negeri kecuali bagi Syarikat Berhad.

Sebelum 2008 semasa era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terdapat beberapa projek perumahan diluluskan gagal disiapkan sehingga memberi kesan terhadap kehidupan pembeli.

Bagaimanapun, atas dasar prihatin membantu rakyat, Kerajaan Negeri melaksanakan usaha memulihkan semula projek perumahan terbengkalai menerusi program ‘Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau Dana TEPAT’.

EZY