Categories
SELANGOR

Jamal, Umno Selangor sudah bankrup idea – Teresa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 14 MAC : Tindakan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos mengkritik pentadbiran negeri membabitkan isu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) hanya untuk mencipta ‘isu’.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, wujud kemungkinan Jamal sudah hilang idea untuk terus melancarkan serangan politik terhadap pentadbiran negeri berkait isu tersebut.

“Saya rasa hairan dengan sikap Umno Selangor dan Jamal sekarang ini seolah-olah baru sedar tentang skim ini.

Teresa-Kok“Apakah ini menunjukkan mereka sudah bankrup idea terhadap Pakatan?” soalnya ketika berbahas di Sidang Dewan Rakyat, petang ini.

Terdahulu, media pro Umno melaporkan dakwaan Jamal kononnya perbelanjaan wang YAWAS di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diseleweng sehingga RM2 juta.

Laporan tersebut mendedahkan, Ahli Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur menerima agihan wang tersebut tanpa disalurkan kepada individu berkelayakan.

Bagaimanapun Teresa berkata, setiap wakil rakyat Pakatan di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Seputeh menerima peruntukan permulaan RM10,000 yang dimasukkan dalam satu akaun khas atas nama wakil rakyat itu.

“YAWAS tidak salur dana kepada anggota parlimen atau wakil rakyat secara terus tetapi semua dana program disalurkan melalui pembedaharaan Selangor kepada Pejabat Daerah.

“Pejabat daerah dan pejabat pusat khidmat wakil rakyat akan salur kepada pemohon SMUE yang layak kepada rakyat Selangor yang menetap di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari, 1974,” katanya.

Terdahulu, Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan sejumlah RM189,936,500,00 kepada 77,080 warga Selangor di bawah skim ini untuk tempoh 2016.

Beliau berkata, daerah Petaling mencatatkan perbelanjaan paling tinggi dengan (RM46,227,500), Klang (RM33,072,500), Hulu Langat (RM32,279,500), Gombak (RM24,547,000), Kuala Selangor (RM13,186,000) dan Sabak Bernam (RM12,931,000).

Sementara bagi daerah Kuala Langat dengan jumlah perbelanjaan RM11,593,000, Hulu Selangor (RM9,663,000) dan Sepang (RM5,537,000).

-nR-