Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada pekerja asing bantu kilang elektronik kawal penularan Covid-19

AMPANG, 20 JUN: Tenaga kerja 100 peratus warga tempatan membantu syarikat Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd mengawal penularan kes Covid-19 di dua kilangnya.

Pengarah urusannya berkata polisi kilang komponen elektronik itu untuk tidak menggajikan pekerja asing memudahkan pihaknya mengendalikan sebarang kes wabak.

“Jika kata tiada kes di kilang itu tidak betullah, kita ada kes dan itu dari luaran. Kita akan pastikan setiap kes itu dibuat pengesanan kontak dan dikuarantin.

“Kita juga pastikan mereka dapat kelulusan dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebelum dibenarkan bekerja. Ada sahaja kes kita laporkan kepada KKM,” kata Yogannaidu Sivanchalam.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menyediakan asrama berikutan tiada pekerja asing di situ, sekali gus membantu mengurangkan risiko penularan wabak.

“Kita mempunyai lebih 5,000 pekerja bagi kedua-dua kilang dengan semuanya warga Malaysia dan kelebihan kita ialah tiada asrama pekerja.

“Itu menyenangkan kerja terutama apabila ada kes positif untuk pengesanan kontak dan kuarantin,” kata Yogannaidu.

Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd yang memiliki cawangan di Lorong Enggang, Ampang dan Melaka merupakan kilang pertama di Selangor yang menerima vaksin sejak 16 Jun.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

2,371 pekerja Texas Instruments kumpulan pertama sektor perkilangan disuntik vaksin

SHAH ALAM, 17 JUN: Seramai 2,371 pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd  menjadi kumpulan pertama dalam sektor perkilangan di Selangor disuntik vaksin sejak semalam.

Pengarah Urusannya, Yogannaidu Sivanchalam berkata pemberian vaksin kepada industri itu dapat mempercepatkan imuniti kelompok dengan anggaran 300 pekerja disuntik setiap hari sehingga 23 Jun.

“Cara ini lebih mudah kerana pekerja kita tidak perlu ke pusat vaksinasi dan ini mengembirakan pekerja kerana mereka tidak perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

“Sebelum ini mereka tidak tahu bila akan divaksin, sekarang masing-masing yakin akan menerima vaksin dalam tempoh seminggu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yogannaidu berkata sebelum ini pihaknya sentiasa menitik berat tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan kawasan kilang berkenaan sentiasa berada dalam selamat dan bebas daripada Covid-19.

“Terima kasih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  kerana menunaikan pemohonan ini,” katanya.

Dalam kenyataan bersama pada 15 Jun, Kerajaan Negeri dan CITF sepakat untuk memberi tumpuan pemberi vaksin kepada pekerja industri dan golongan rentan termasuk warga emas dan OKU.