Categories
NASIONAL

TH khianati penyimpan, talian hayat ‘selamat’ 1MDB

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 MEI: Pelaburan Tabung Haji (TH) dengan membeli tanah RM188.5 juta daripada firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di kutuk keras pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, menyifatkan tindakan TH itu sebagai mengkhianati amanah penyimpan, bahkan kerajaan tidak sewajarnya menjadikan agensi itu talian hayat bagi menyelamatkan 1MBD.

khalid“Kerajaan BN mengkhianati amanah penyimpan kerana duit itu harus dilindungi untuk keperluan menunaikan ibadah haji sebaliknya diguna untuk selamatkan projek bermasalah,” katanya kepada Selangor Kini.

TH semalam mengesahkan pembelian sebidang tanah bernilai RM188.5 juta dari projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX) iaitu projek utama 1MDB terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

TH mendakwa pembelian itu mendapat ‘diskaun’ harga berbanding nilai pasaran semasa.

Sementara itu, akhbar perniagaan The Edge, melaporkan 1MDB perlu membayar faedah pinjaman AS$52.5 juta (RM188.5 juta) minggu depan membabitkan nilai yang sama dengan harga tanah dijual kepada TH.

Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan sama ada TH diperalat untuk mengurangkan beban hutang dan memperbaiki penarafan kredit 1MDB.

ng suee lim dun red hands 02“Jadi, sudah semakin jelas mengapa Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) diletakkan sebagai Pengerusi TH. Beliau adalah penyokong kuat Najib Razak dan Rosmah Mansor,” katanya.

Kontroversi itu turut mendapat perhatian pemimpin bukan Islam apabila Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut mempersoalkan mengapa nilai amanah kepada agama dipinggirkan demi menyelamatkan projek yang tidak menjadi.

“Dalam konteks menjaga amanah melibatkan agama, tidak sewajarnya nilai itu digadaikan semata-mata menyelamatkan sesuatu perkara.

“Walaupun bukan pemimpin Islam, saya amat tidak setuju apabila TH dijadikan alat. Ini duit orang Islam, duit pergi haji,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tanggungjawab memberi penjelasan sewajarnya kepada masyarakat terutama penyimpan TH kenapa tindakan membeli tanah dari 1MDB dilakukan.

“Ia sepatutnya diuruskan dengan cermat. Tidak salah untuk melabur, tapi bagaimana dilaburkan. Kalau dalam syarikat yang bermasalah itu yang kita khuatir,” katanya.

-NFN-