Categories
NASIONAL

Tiada arahan umrah hanya melalui TH

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang mewajibkan umat Islam di negara ini menunaikan umrah hanya melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tuduhan yang mengaitkannya dengan perkara itu disifatkan tidak berasas dan dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan artikel bertajuk “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang diterbitkan di portal berita Malaysia Today, semalam.

“Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin (penulis blog) pada 4 Februari 2019.

“Laporan berita palsu ini disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal Islam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu itu sudah dibuat dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan tidak sesekali pernah mengeluarkan arahan seperti dinyatakan dalam artikel Malaysia Today.

“Tuduhan palsu ini berniat jahat, fitnah dan pembohongan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pendeposit TH tidak perlu kembalikan hibah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 8 JAN: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu mengembalikan semula hibah diterima walaupun terdapat unsur penyelewengan akaun sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kesalahan penyelewengan sebenarnya berpunca daripada pihak pengurusan dan ia bukan masalah yang perlu ditanggung pendeposit.

“Kami tidak mahu menimbulkan kesukaran kerana kesalahan ini dibuat pihak yang menerima dan bukan pendeposit. Jadi, pendeposit tidak perlu bimbang untuk membayar balik.

“Kami mendedahkan isu penyelewengan ini supaya masalah pengurusan dapat diperbaiki semula mengikut cara yang betul, sekali gus mengelakkan perkara sama berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Penyerahan Cek Sekolah Pondok Berdaftar, di Aras 12, Blok Tengah Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, di sini, hari ini.

Penyerahan cek berjumlah RM25 juta itu disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membabitkan kesemua 228 buah Sekolah Pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berdaftar, di seluruh negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Pendedahan itu diperoleh hasil siasatan dan audit oleh syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan, di Dewan Rakyat bulan lalu.

Malah, TH didakwa menggunakan simpanan pendeposit untuk membayar hibah sehingga menimbulkan kegusaran kepada pendeposit berkaitan status hibah diterima mereka selama ini.

 

Categories
NASIONAL

Pendeposit TH patut lega, jangan layan golongan rasis pekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Golongan mendakwa langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia perkembangan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai percubaan pihak tertentu merosakkan institusi itu dibidas.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, dakwaan ini hanyalah suara golongan berfahaman rasis pekat dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya TH diletak bawah BNM, BNM bawah Menteri Kewangan yang seterusnya percubaan untuk ambil alih dan rosakkan TH sebenarnya bermain sentimen, bukan fakta tetapi retorik yang tak berasaskan fakta dikeluarkan oleh suara yang pekat fahaman rasisnya.

“Apabila orang yang tak reti kewangan ini kata BNM ambil alih urusan TH, itu adalah pandangan yang tak betul tetapi sebenarnya BNM hanya menyelia, fokus untuk membantu TH sehinggalah dipulihkan sementara TH terus menguruskan asetnya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Pegarah BNM itu berkata, justeru pendeposit TH wajar berasa lega ekoran BNM mengaktifkan langkah penyeliaannya terhadap institusi itu.

Katanya, langkah ini mampu menyelamatkan TH daripada terjebak dengan masalah aset dan kerugian lebih buruk.

“Sebelum ini BNM hanya pandang atau pantau dari jauh sahaja tetapi bila TH bermasalah barulah BNM mengaktifkan penyeliaannya terhadap TH,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jemaah haji diingatkan tidak bawa wang banyak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 JULAI: Jemaah haji Malaysia diingatkan tidak membawa wang terlalu banyak ketika berlepas ke Tanah Suci dari Kuala Lumpur.

Pengarah Operasi (Kewangan) Tabung Haji (TH) Nor Aida Ahmad berkata, jemaah hanya perlu membawa wang mencukupi bagi kegunaan mereka, bergantung kepada keperluan masing-masing.

“Selepas itu, jemaah boleh membuat pengeluaran wang daripada akaun TH masing-masing di kaunter kewangan yang disediakan, di zon penginapan dan maktab,” katanya dalam kenyataan.

Nor Aida berkata, sebanyak sembilan kaunter pengeluaran wang disediakan, di Madinah iaitu 4 di Zon 1 (Hotel Al Haram), 3 di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan 2 di Zon 3 (Hotel Rowadha Al Aqiq).

Katanya, TH memberi jaminan khidmat kaunter disediakan adalah cepat, iaitu kira-kira seminit untuk setiap transaksi.

“Selain pengeluaran dan menyimpan wang, kaunter itu juga menyediakan khidmat membayar dam serta korban.

“Pada tahun ini, bayaran dam ditetapkan ialah 430 riyal, manakala untuk korban kibas 475 riyal dan lembu 4,150 riyal,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

TH komited beri bimbingan terbaik kepada bakal haji

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Lembaga Tabung Haji (TH) komited memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal haji, termasuk mengadakan bimbingan melalui pelbagai kursus dianjurkan, di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata, ia bertujuan melahirkan jemaah haji berpengetahuan, celik ilmu dan bersedia terutama dalam perkara berkaitan ibadah serta urusan perjalanan semasa di Tanah Suci sebelum mereka berangkat.

“Sebelum Kursus Perdana Haji ini diadakan, beberapa kursus lain dilaksanakan seperti Kursus Asas dan Kursus Intensif serta Kursus Khas Haji untuk warga emas juga bakal haji terpilih di saat akhir.

“Kursus Perdana Haji ini adalah landasan ulang kaji dan pelengkap kepada proses bimbingan haji dikendalikan TH dan ia sesi untuk memberi makluman penting juga terkini kepada bakal haji sebelum bertolak ke Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1439 Hijrah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, seramai 7,830 bakal haji dari Selangor terpilih mengikuti kursus berkenaan, pada kali ini.

Melalui kursus itu, katanya, bakal haji diberi peluang melaksanakan aktiviti ibadah haji secara amali seperti bertawaf, sa’ie dan melontar jamrah secara berkumpulan.

“Ini bertujuan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci supaya bakal haji lebih bersedia nanti,” katanya.

TH menganjurkan Kursus Perdana Haji 1439 Hijrah peringkat Selangor mulai 30 Jun hingga 1 Julai ini.

Kursus terbabit turut diadakan secara berperingkat di 17 lokasi seluruh negara mulai 29 Jun sehingga 8 Julai dengan kursus terakhir kepada bakal jemaah haji.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berangkat mencemar duli merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Categories
SELANGOR

TH bantu Balu Allahyarham Zulkifly Samad

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 20 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan cek RM20,000 kepada Suriahanim Abdul Hamid, 41, iaitu balu kepada Allahyarham Zulkifly Samad, 50, yang meninggal dunia ketika insiden rempuhan di Mina tahun lalu.

Majlis penyampaian disampaikan bagi manfaat Takaful Kematian Jemaah Haji di Taman Ukay Bistari, Ampang, 18 Februari lalu.

Penyerahan cek disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah dalam sesi lawatan dan ziarah terhadap waris dan keluarga Allahyarham.

Allahyarham Zulkifly Samad merupakan jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia berikutan insiden rempuhan di Mina.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada jam 9:30 pagi (waktu Saudi), 24 September 2015 lalu dan merupakan antara jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji pada musim haji 1436H.

Jenazah Allahyarham diuruskan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek di Makkah.

EZY

Categories
NASIONAL

TH patut lantik korporat bukan ahli politik

SHAH ALAM 2 FEB: Lembaga Tabung Haji sepatutnya melantik kumpulan korporat menjadi pasukan pengurusannya dan bukan golongan politik.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata individu berpengalaman dan berintegriti dalam korporat perlu jadi pilihan berbanding lantikan partisan politik yang boleh memberikan kesan negatif kepada pengurusan.

Nurul IzzahKatanya, pihak pengurusan institusi itu juga perlu ada keberanian untuk tampil secara telus berkenaan laporan audit bagi mengembalikan kepercayaan pendeposit.

“Jika gagal berbuat demikian, wajar untuk pihak yang bertanggungjawab meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nurul Izzah berkata, deposit Tabung Haji tertumpu di kalangan sebilangan kecil penyumbang iaitu 5 peratus pendeposit terbesar merangkumi kira-kira 75 peratus jumlah keseluruhan pendeposit.

Katanya, perkara itu memerlukan penelitian khusus dan perbincangan secara mendalam demi memastikan jumlah agihan kepada setiap pendeposit adalah saksama.

“Terutamanya kepada mereka yang dalam keadaan terdesak dan perlu menunaikan haji buat kali pertama.

“Tindakan melebihkan golongan kelas tertentu dalam pengagihan bayaran adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Mohamed Apandi perlu pilih mahu jadi AG atau Lembaga Pengarah TH

SHAH ALAM 28 JAN: Tan Sri Mohamed Apandi Ali diminta memilih sama ada mahu kekal sebagai Peguam Negara atau Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata ia bagi memastikan tidak wujud konflik kepentingan antara jawatan disandangnya.

“Kebimbangan ini lantaran TH terlibat dalam isu pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat yang terpalit dalam skandal kewangan serta mempunyai kaitan langsung dengan Perdana Menteri.

12644970_1016613021759700_5052211448606895667_n“Sekiranya beliau mahu berkhidmat sebagai Peguam Negara, moleklah jika dilepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah TH, dan begitulah sebaliknya,” kata Shamsul dalam kenyataan media.

Katanya, Mohamed Apandi sewajarnya sudah cukup matang dan bijak menjaga integriti dan reputasi institusi beliau wakili.

“Beliau seharusnya menzahirkan contoh dan tauladan baik bagi memastikan wibawa beliau sebagai penjawat awam tidak dipersoal dan diperlekehkan,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Apandi mengumumkan tiada sebarang dakwaan salah laku membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung skandal kewangan membabitkan RM2.6 bilion.

Lebih mengejutkan, pada hari sama, TH turut mengesahkan pelantikan Mohamed Apandi sebagai ahli lembaga pengarah yang baru.

EZY

Categories
NASIONAL

TH tak boleh diperalat, itu duit rakyat tunai haji

KOTA BHARU, 28 MEI: Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zaharuddin Abd Rahman menyifatkan Lembaga Tabung Haji(TH) bukan syarikat korporat kerajaan (GLC) yang boleh diperlakukan sewenangnya.

Katanya syarikat itu tidak boleh diperalat kerana ia melibatkan wang simpanan orang ramai terutama untuk urusan menunaikan ibadat haji.

tabung-haji“Penglibatan TH membeli tanah membabitkan kos sehingga RM188.5 juta dengan keluasan seekar di Tun Razak Exchange (TRX) ini isu nasional kerana membabitkan wang pendeposit umat Islam.

“TH tidak boleh menggunakan wang itu membeli tanah milik 1MDB,” katanya yang dipetik Harakah Daily.

Dr Zaharuddin yang juga Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid) melahirkan kebimbangan ekoran amalan menggunakan wang milik umat Islam bagi menyelamatkan agensi kerajaan bermasalah pada masa akan datang.

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM desak dedahkan butiran penjualan lot tanah kontroversi TH

Oleh: Amidi Abd Manan

Merujuk kepada kenyataan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Rahim berkaitan penjualan semula lot tanah yang dibeli oleh TH daripada 1MDB.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan penjualan itu akan berlaku dalam masa 2 minggu. Jika dikira dari tarikh kenyataan itu dibuat, maka tempoh dua minggu itu telah berlalu.

tabung-hajiKekeliruan wujud apabila Kumpulan Wang Amanah Persaraan yang dikatakan telah bersetuju membelinya selepas dua hari kenyataan itu dibuat, menafikan urusniaga berkaitan tanah itu telah dimuktamadkan.

Oleh itu pendeposit masih tertanya-tanya adakah ia telah dimuktamadkan?

Selain dari itu, ABIM juga menuntut penjelasan bagi kenyataan yang menyebut KWAP membeli tanah tersebut dengan harga diskaun sebanyak 15%.

Sedangkan Pengerusi TH menyatakan ia dijual dengan keuntungan sekitar RM 5juta, oleh yang demikian pihak TH perlu menyatakan berapakah harga yang sebenarnya dipersetujui?

Selain dari itu, kenyataan yang menyebut pihak KWAP hanya perlu membayar pendahuluan sebanyak 10% sahaja, berbanding syarat yang dikenakan oleh 1MDB kepada TH agar melunaskan semua bayaran dalam masa dua minggu jelas menjejaskan kecairan tunai TH.

Oleh itu, ABIM menuntut Pengerusi TH memberikan penjelasan kepada orang kepada beberapa persoalan yang ditimbulkan.

* Amidi Abd Manan adalah Presiden ABIM

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengajaran dari kontroversi 1MDB dan Tabung Haji

Oleh: Prof Dr Mohd Nazari Ismail

Isu 1MDB semakin hangat dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat. Terkini ialah kebimbangan rakyat bahawa dana Tabung Haji telah digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB.

Di samping tanah berjumlah RM188 juta yang telah dibeli oleh Tabung Haji, ada juga laporan menyatakan bahawa Tabung Haji juga telah membeli sukuk berjumlah RM1.6 billion yang telah dikeluarkan oleh 1MDB.

11111119_966916093358965_373478111639316114_nYang membimbangkan orang ramai ialah terdapat beberapa individu yang sama yang memegang jawatan tinggi dalam Tabung Haji dan juga di dalam 1MDB. Mereka terlibat secara langsung dengan keputusan urusniaga tersebut.

Dengan itu, timbul persoalan sama ada mereka memikirkan kepentingan pendeposit Tabung Haji (yang terdiri dari berbagai lapisan masyarakat termasuk yang berpendapatan rendah dan miskin) atau kepentingan 1MDB. Ini adalah satu perkara yang serius dan akan menjejaskan kewibawaan Tabung Haji sebagai institusi kewangan masyarakat Islam di negara ini.

Punca utama kepada kemelut ini sebenarnya adalah keadaan kewangan 1MDB yang dilaporkan dalam keadaan yang tenat dan mempunyai beban hutang yang sangat besar iaitu lebih dari RM42 billion.

Oleh itu, sebarang urusniaga yang melibatkan 1MDB dipandang serong oleh hampir kesemua lapisan masyarakat. Sebenarnya jika keadaan kewangan 1MDB adalah tidak setenat yang dilaporkan, tentu sekali urusniaganya dengan badan lain termasuk Tabung Haji tidak akan mengundang kontroversi.

Tambahan pula, perkara yang membimbangkan banyak pihak ialah status 1MDB itu sendiri iaitu sebuah syarikat yang bukannya milik persendirian tetapi adalah milik penuh kerajaan Malaysia.
Oleh itu, sebahagian dari beban hutangnya yang berjumlah puluhan billion itu dibimbangkan akhirnya akan terjatuh ke atas bahu-bahu rakyat juga.

Satu pengajaran yang boleh diambil dari episod ini ialah perlunya rakyat peka terhadap amalan kerajaan dan semua entiti miliknya gemar berhutang untuk menjalankan aktiviti.

Hutang kerajaan dan entiti miliknya yang menghadapi masalah tidak akan ditanggung oleh pengurus entiti tersebut sahaja atau pun oleh pemimpin politik negara. Tetapi beban hutang tersebut akan ditanggung oleh rakyat juga akhirnya.

Akibatnya golongan miskin, lemah, kurang upaya dan berpendapatan lemah juga terpaksa membantu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan sama ada dengan pengunaan dana dari entiti yang berkait dengan kerajaan, atau melalui cukai yang dibayar termasuk cukai GST.

Ini adalah satu situasi yg sangat tidak adil. Kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan ini bukannya tidak berasas kerana ianya telah pun berlaku di beberapa negara lain termasuk UK dan Jepun.

Di Jepun, cukai ‘penggunaan’ (lebih kurang sama kaedahnya dengan cukai GST) dulu hanya ditetapkan pada kadar 5% sahaja.

Tetapi akibat dari beban hutang kerajaan Jepun yang tinggi iaitu lebih dari 220% berbanding KNK negara tersebut, maka kerajaan Jepun telah meningkat kadar tersebut ke 8% dua tahun lepas.

Baru-baru ini kerajaan Jepun mengumumkan kadar tersebut akan dinaikkan lagi menjadi 10% dalam masa dua tahun akan datang.

Di UK, kadar cukai tambah nilai (atau VAT, iaitu yang sama kaedah dengan GST di Malaysia) telah lama dinaikkan menjadi 20% bagi kebanyakan produk dan perkhidmatan untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan UK.

Sebenarnya, kemungkinan kerajaan Malaysia menaikkan kadar GST lagi pada masa akan datang adalah amat tinggi kerana jumlah hutang kerajaan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun dan diramalkan oleh IMF akan menjadi RM1 trillion pada tahun 2020.

Oleh itu, rakyat tidak ada pilihan lain melainkan berusaha menyekat beban hutang kerajaan dan semua entiti di bawah kawalannya dari terus meningkat. Sebarang defisit dalam belanjawan akan menambahkan lagi kepada beban hutang kerajaan.

Akhirnya, yang akan menanggung beban hutang tersebut adalah kita semua. Jika kita masih tidak mahu berbuat sesuatu, maka bersedialah dengan senario kenaikan kadar cukai GST pada masa akan datang.

*Prof Dr Mohd Nazari Ismail adalah Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

Categories
NASIONAL

MB: TH patut guna wang turunkan kos haji & tambang

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA SELANGOR, 11 MEI: Tabung Haji (TH) patut menggunakan wang RM188.5 juta untuk membeli bangunan di Makkah atau Madinah untuk kediaman jemaah haji.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu boleh mengurangkan tanggungan kos bagi pengurusan jemaah haji.

11111119_966916093358965_373478111639316114_nKatanya, TH patut menfaatkan wang itu untuk manfaat jemaah haji dalam pengurangan tambang.

“Kenapa tidak fikir begitu? Mengapa Kerajaan Persekutuan lebih mementingkan kroni berbanding rakyat miskin dan berpendapatan rendah?

“Saya membawa contoh ini untuk membuktikan Kerajaan Selangor dipimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak ikut rentak Kerajaan Persekutuan.

“Ini amanah kerana setiap sen adalah hak rakyat yang perlu dikembalikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Pembiayaan Fasa Kedua Hijrah Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor, semalam.

Mohamed Azmin turut mempertikaikan tindakan Tabung Haji membeli tanah milik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan harga yang terlalu tinggi hanya untuk 1.5 ekar tanah.

Katanya nilai itu jauh berbeza berbanding harga asal yang dibayar 1MDB kepada Kerajaan Persekutuan iaitu pada kadar RM72.40 untuk satu kaki persegi dengan keluasan tanah 70 ekar.

“Ia menyebabkan kos ditanggung Tabung Haji adalah sebanyak RM188 juta untuk 1.5 ekar.

“Hebatnya Tabung Haji yang cekap dan efisyen boleh tandatangan bayar RM188 juta kepada 1MDB kerana ia hampir bankrap dan dimiliki orang tertentu.

“Tetapi yang saya tidak senang mereka guna wang deposit umat Islam yang mahu menunaikan haji sewenang-wenangnya, jadi kita minta semua bangkit tegur kezaliman dan kemungkaran yang berlaku dalam negara hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta orang perseorangan membuat laporan polis di seluruh negara menggesa siasatan terhadap TH berhubung urus niaga itu.

Malahan badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut mahu pengurusan TH meletak jawatan ekoran konflik kepentingan dan bertanggungjawab dalam kes itu.

EZY