Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha bersih Sungai Klang sejak 2016, Landasan Lumayan ulas tajaan Coldplay

SHAH ALAM, 6 APRIL: Usaha membersihkan Sungai Klang sudah bermula beberapa tahun dahulu sebelum Coldplay menaja mesin pengutip sampah kedua Interceptor 005, kata Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

“Pembersihan Sungai Klang bermula sejak 2016 dan ditingkatkan lagi pada 2018 melalui inisiatif Gerbang Maritim Selangor yang bertujuan membersihkan air supaya dapat menggerakan ekonomi berkaitan sungai dan inisiatif ini memberi perbezaan ketara kualiti air,” kata Pengarah Urusannya Syaiful Azmen Nordin.

Tambahnya, kerjasama dengan The Ocean Cleanup menggunakan Interceptor 002 pada Oktober 2019 berjaya mengumpulkan lebih 30 tan metrik sampah dalam tempoh sebulan.

“Interceptor 002 melengkapkan tujuh perangkap sampah yang ditempatkan di sepanjang 56km sungai antara (kompleks membeli-belah) Mid Valley dan muara Pelabuhan Klang, yang berjaya memerangkap 900 tan metrik sampah sebulan, “kata Syaiful.

Namun, kedua-dua syarikat ini mengalu-alukan kerjasaama Coldplay untuk menaja Interceptor kedua bagi meningkatkan lagi kerja pembersihan sungai di negara ini.

Dalam kenyataan bersama LLSB dan The Ocean Cleanup, keputusan menempatkan jentera kedua itu masih diteliti oleh syarikat dari Belanda terbabit.

Projek Gerbang Maritim Selangor yang dikendalikan oleh LLSB, anak syarikat milik Kerajaan Negeri, dijangka dapat menjana RM1 bilion menjelang 2030.

Pada 23 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembersihan Sungai Klang sejak lima tahun lalu berjaya meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) daripada kelas empat kepada tiga.

Categories
AGENSI SELANGOR

Topi keledar, ribuan botol antara sampah dikutip Interceptor 002

SHAH ALAM, 6 NOV: Topi keledar, beg tangan dan botol pelbagai saiz antara ribuan sampah hanyut yang berjaya dikutip setiap hari di Sungai Klang melalui jentera Interceptor 002 kendalian The Ocean Cleanup.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Boyan Slat mengakui terkejut dengan hasil kutipan di sungai berkenaan, namun berpuas hati kerana berjaya menghalang sampah dari terus memasuki laut.

“Sungai Klang dipilih berdasarkan faktor lokasi dan keluasannya yang sesuai untuk operasi Interceptor 002.

“Di Klang, ‘interceptor’ ini mampu mengutip sehingga 100,000 kilogram (kg) sampah sehari dan bagi fasa pertama kami menyasarkan 10,000 kg sehari,” katanya dalam hantaran di laman twitter baru-baru ini.

Boyan yang juga pengasas The Ocean Cleanup menyasarkan untuk meneruskan projek sama ke 1,000 sungai tercemar di seluruh dunia menjelang 2025.

Sehingga kini sebanyak empat ‘interceptor’ telah dibina dan Interceptor 001 kini sedang beroperasi di Jakarta sementara dua lagi dijangka dipasang di Delta Mekong, Vietnam dan Santo Domingo, Republik Dominika.

Terdahulu pada 4 November lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan Interceptor 002 digunakan untuk pembersihan sungai di bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Jentera pembersihan berkuasa solar yang dibina dengan kos kira-kira RM3.2 juta (700,000 Euro) itu dibiayai sepenuhnya oleh The Ocean Cleanup atas dasar tanggungjawab memelihara kehidupan sungai.

Operasi pembersihan dilakukan secara percuma selama setahun dengan kerjasama anak syarikat Kerjaan Negeri iaitu Landasan Lumayan Sdn Bhd.