Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada data klinikal buktikan Ivermectin mampu rawat Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19 berikutan tiada data klinikal membuktikan keberkesanan penggunaan produk tersebut.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini tiada produk bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah untuk kegunaan manusia.

“Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) belum pernah meluluskan indikasinya bagi rawatan atau pencegahan Covid-19. Perkara ini dijelaskan dalam artikel bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021.

“Selain itu, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga belum mencadangkan penggunaanya susulan tiada data klinikal mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan bagi rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal berdasarkan penjelasan artikel bertajuk ‘WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials’ pada 31 Mac 2021.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi percubaan klinikal sahaja di negara ini memandangkan penularan wabak semakin meningkat.

“Kementerian sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi pandemik dengan memberi kelulusan untuk tujuan rawatan serta pencegahan.

“Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) adalah langkah paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.