Categories
AGENDA NASIONAL

Salah faham, lelaki tikam teman wanita sebelum bunuh diri

MELAKA, 20 FEB: Seorang lelaki dipercayai menikam teman wanitanya sebelum bertindak membunuh diri sendiri hanya kerana perselisihan faham dalam hubungan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang, mayat gadis berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan pisau di badan.

Katanya, turut ditemukan mayat teman lelaki gadis terbabit berusia lewat 20-an dengan kesan tikaman pisau pemotong sayur pada perutnya.

“Kita menerima maklumat kejadian daripada rakan gadis terbabit yang sempat menghubunginya meminta tolong selepas berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.

“Sebaik tiba, pintu rumah dalam keadaan berkunci menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan bomba untuk memecah masuk rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemuda terbabit dipercayai terlebih dahulu menikam teman wanitanya selepas berlaku perselisihan faham sebelum menikam dirinya sendiri berdasarkan penemuan sebilah pisau pemotong sayur di perut pemuda berkenaan.

“Pemeriksaan turut menemukan minyak tanah berhampiran pemuda terbabit dengan kesan mulut yang berbuih yang mana ada kemungkinan dia cuba bunuh diri dengan meminum minyak tanah sebelum menikam dirinya sendiri.

“Sebelum kejadian, gadis terbabit yang dikesan positif Covid-19 berdasarkan semakan di aplikasi MySejahtera sempat menghubungi rakannya bagi meminta bantuan,” tambahnya lagi.

Christopher bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan punca kematian pasangan muda berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu tunggal maut ditikam depan dua anak

IPOH, 15 APRIL: Seorang wanita maut disyaki ditikam dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di hadapan dua anak mangsa di kediamannya di Taman Perpaduan di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pergaduhan antara mangsa berusia 31 tahun dan suspek berusia 23 tahun itu pada kira-kira pukul 8.45 malam.

“Sebaik tiba di rumah itu, polis menemui mayat mangsa dengan beberapa kesan tikaman pada dada bersama suspek lelaki yang turut cedera akibat beberapa tikaman pada dadanya dalam keadaan terbaring dan berdarah di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah rumah jagaan orang tua di sini merupakan seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek malah polis sebelum ini pernah menahan suspek pada 15 Mac lepas dan didakwa di mahkamah selepas mangsa beberapa kali membuat laporan diganggu suspek.

Anuar berkata suspek telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah namun belum dapat dipastikan sama ada tikaman di dadanya dilakukan wanita itu atau dia cuba membunuh diri manakala mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan rakaman percakapan saksi-saksi kejadian serta kedua-dua anak lelaki mangsa berusia enam dan lapan tahun sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui hubungan sebenar mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa tikam bayi disahkan positif dadah metamfetamin

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Ujian air kencing seorang suspek lelaki yang menikam anak perempuan kandungnya berusia setahun lapan bulan disahkan positif dadah jenis Metamfetamin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat.

Beliau berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan reman selama lima hari sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaaan parah.

“Pihak polis sedang mengesan keberadaan bekas isteri suspek iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu bagi tujuan siasatan kes,” katanya pada Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata motif kejadian itu berlaku dipercayai suspek mengalami tekanan perasaan akibat ditinggalkan isterinya.

“Suspek sebelum ini menetap di rumah keluarganya di sebuah flat di Puchong Permai di sini sambil menjaga anak perempuan tunggalnya.

“Suspek bekerja sebagai pemasang pita penggelap cermin kereta di sebuah kedai aksesori kenderaan berdekatan di sekitar Puchong,” katanya dalam sidang media di Subang Perdana Court 10 di sini.

Abd Khalid juga berkata mangsa telah dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur kelmarin bagi menjalani pembedahan.

Beliau berkata mangsa telah selesai menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di bawah jagaan unit rawatan rapi (ICU).

Kelmarin, Bernama melaporkan seorang bapa ditahan kerana disyaki menikam perut bayi perempuannya di sebuah flat di Puchong Permai.

-BERNAMA