Categories
AGENDA NASIONAL

Salah faham, lelaki tikam teman wanita sebelum bunuh diri

MELAKA, 20 FEB: Seorang lelaki dipercayai menikam teman wanitanya sebelum bertindak membunuh diri sendiri hanya kerana perselisihan faham dalam hubungan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang, mayat gadis berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan pisau di badan.

Katanya, turut ditemukan mayat teman lelaki gadis terbabit berusia lewat 20-an dengan kesan tikaman pisau pemotong sayur pada perutnya.

“Kita menerima maklumat kejadian daripada rakan gadis terbabit yang sempat menghubunginya meminta tolong selepas berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.

“Sebaik tiba, pintu rumah dalam keadaan berkunci menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan bomba untuk memecah masuk rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemuda terbabit dipercayai terlebih dahulu menikam teman wanitanya selepas berlaku perselisihan faham sebelum menikam dirinya sendiri berdasarkan penemuan sebilah pisau pemotong sayur di perut pemuda berkenaan.

“Pemeriksaan turut menemukan minyak tanah berhampiran pemuda terbabit dengan kesan mulut yang berbuih yang mana ada kemungkinan dia cuba bunuh diri dengan meminum minyak tanah sebelum menikam dirinya sendiri.

“Sebelum kejadian, gadis terbabit yang dikesan positif Covid-19 berdasarkan semakan di aplikasi MySejahtera sempat menghubungi rakannya bagi meminta bantuan,” tambahnya lagi.

Christopher bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan punca kematian pasangan muda berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dampak negatif wabak, 117 kes bunuh diri di Selangor sejak Januari

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 117 kes bunuh diri dilaporkan di Selangor dalam tempoh pandemik sejak Januari hingga Julai, kata Dato’ Menteri Besar.

Merujuk data polis, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri itu merekodkan angka tertinggi daripada 468 kes dalam negara sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 631 kes bunuh diri dicatatkan di seluruh negara tahun lalu berbanding 609 pada tahun sebelumnya.

“Setelah hampir dua tahun kita diuji dengan pandemik, semakin jelas Covid-19 memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya membabitkan kesihatan mental,” katanya.

Bercakap ketika melancarkan fungsi Selangor Mental Sihat secara maya malam tadi, Amirudin berkata pakar dan ahli akademik sudah menjangka peningkatan gangguan kesihatan sejak penularan wabak.

Sebagai bukti, katanya, talian sokongan psikososial Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sebanyak 43,078 panggilan sejak 18 Mac sehingga 23 Disember tahun lalu.

“Manakala sejak 1 Januari hingga 18 Jun tahun ini, ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksana, talian berkenaan menerima 122,328 panggilan iaitu tiga kali ganda berbanding 2020.

“Hampir 89 peratus daripada jumlah panggilan memerlukan sokongan emosi dan kaunseling manakala selebihnya melibatkan maklumat berkenaan Covid-19 serta isu hubungan kekeluargaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan seru umat Islam hayati isi khutbah larangan bunuh diri

SHAH ALAM, 9 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam menghayati intipati khutbah Jumaat hari ini mengenai bunuh diri susulan peningkatan kes berkenaan kebelakangan ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kandungan khutbah yang dibacakan khatib masjid seluruh negeri perlu diketengahkan untuk dijadikan pedoman dan pengajaran.

“Allah SWT melarang hambaNya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milikNya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri.

“Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda juga menegaskan perbuatan tersebut adalah dosa besar yang dilarang oleh syarak serta terdapat hadis menyebutkan bagaimana azab yang dikenakan kepada orang yang membunuh diri di akhirat kelak.

Saranan khutbah untuk menghindari perbuatan bunuh diri:

1. Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat.

2. Sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan ujian kerana iai memberi ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan mengelakkan diri dari melakukan perkara lain yang tidak berfaedah.

3. Rawat dukacita dengan doa dengan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

4. Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan individu lain yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Tekanan hidup ketika PKP boleh cetus penyakit, bunuh diri

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini, yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik Covid-19.

Antara kes yang dilaporkan yang turut tular di media sosial, tiga kes bunuh diri berlaku pada hari yang sama iaitu pada 16 Jun lalu, diikuti dengan 18 Jun. Terbaharu, lelaki lelaki berumur 56 tahun yang ditemui tergantung di Jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor pada 28 Jun lalu.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan media baru-baru ini pastinya mencemaskan dan menuntut tindakan tegas oleh pihak berwajib.

Berdasarkan perangkaan PDRM, sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM! Ini berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020, dan 609 kes pada tahun 2019.

Umumnya, rakyat Malaysia bukan sahaja risau terhadap peningkatan kes harian Covid-19 yang masih kekal empat angka tetapi saban hari turut berhadapan pula dengan laporan kes bunuh diri.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019, hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan yang merangkumi 2.3 peratus rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut memaklumkan menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan stres yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri

“Masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Jun 2021.

Kenal pasti gejala awal bunuh diri

Pensyarah Kanan Kaunseling, Fakulti Sains Kognititf dan Pembangunan Manusia Universiti Malaysia Sarawak​ (Unimas), Dr Amalia Madihie berkata, apabila seseorang itu menghadapi desakan hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka keadaan fizikal dan mental mereka berpotensi serta berisiko menjadi lemah.

“Tambahan pula, ada yang tidak bernasib baik turut dijangkiti Covid-19 menjadikan mereka mengalami ‘Post Stress Traumatic Disorder’ (PSTD) iaitu trauma terhadap pandangan serong orang ramai.

“Mereka akan berhadapan dengan emosi ketakutan, risau, bimbang dan kemurungan yang mungkin akan menimbulkan rasa ingin membunuh diri,” katanya ketika webinar ‘Mental Health & Pandemic Resilience’ anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sarawak, baru-baru ini.

Dr Amalia, yang juga kaunselor berdaftar (Malaysia) Unimas, berkata, tanda-tanda awal seseorang itu berniat untuk membunuh diri dapat dilihat berdasarkan tingkah laku dan cara pertuturannya yang luar biasa.

Menurut beliau, kebiasaannya, mereka mungkin tidak sedar akan kelakuan luar biasa mereka dan hanya boleh disedari oleh ahli keluarga ataupun rakan-rakan di sekeliling yang sentiasa bersama-sama dengan mereka.

Contohnya, mereka berkelakuan pelik di pejabat dan kadang-kala a bit funny (kelakar), ada kalanya mempunyai tanda mencederakan diri sendiri, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada semua orang dan luahan rasa ingin bunuh diri di media sosial juga merupakan tanda-tanda awalnya.

“Kita sebagai ahli keluarga ataupun rakan-rakan sekerja di pejabat, penting untuk mengenal pasti orang-orang yang mempunyai tanda-tanda sedemikian dan untuk menghalang mereka daripada membunuh diri seterusnya dapat memberi “psychological first aid” kepada mereka.

“Jika dapat dikesan mereka mempunyai tanda sedemikian, cuba untuk menjadi pendengar yang baik kepada mereka, memahami apa sebenarnya telah berlaku dan memberi sokongan moral sebagai respon kepada mereka.

“Be a good listener to them, encourage them to tell, and don’t be judgemental. Let them cry and release their sadness, jika berlarutan, bawalah mereka berjumpa dengan kaunselor.

“Jika ia berlaku pada kanak-kanak, sebagai ibu bapa ataupun ahli keluarga, cuba untuk menjelaskan kepada mereka secara baik untuk tidak mencederakan diri sendiri jika berasa tertekan, kenal pasti permasalahan mereka dan cuba untuk ‘slow talk’ dan menjadi pendengar baik,” kata Dr Amalia.

Menurut Dr Amalia, kesihatan mental amat berkait rapat dengan kesihatan fizikal, “treat our mental health as physical health”, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.

“Perkara paling asas dalam kesihatan mental adalah pemeriksaan kesihatan fizikal secara menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setahun dan dapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika sakit, kerana badan sihat turut akan mewujudkan mental yang sihat,” katanya.

Beliau menambah, jika berasa diri sendiri mengalami kemurungan ataupun stres, cuba berjumpa dengan kaunselor untuk meluahkan ketidakselesaan anda itu dan carilah pendengar yang baik seperti rakan-rakan ataupun ahli keluarga untuk diluahkan.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan kaunseling yang diwujudkan seperti Talian Kasih 15999 dan Whatsapps di 019-2615999, serta Befrienders di talian 03-76272929 bagi meluahkan perasaan mereka.

“Manfaatkan talian kaunseling itu jika anda malu untuk berjumpa dengan orang ketika PKP, luahkan apa yang terbuku di hati kerana anda memerlukan seorang pendengar ketika anda sedang ‘down’,” katanya.

Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah insiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) yang disambut setiap 10 Oktober dengan tema pada tahun 2020 ‘Let’s TALK Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri’. Foto BERNAMA

Tukar stres negatif kepada positif

Dekan UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul berpandangan, stres berpanjangan boleh menyebabkan kemurungan serta mencetuskan pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan turut melemahkan sistem imun badan.

Menurut beliau, dalam pengurusan organisasi, stres terbahagi kepada dua jenis iaitu “eustress” yang membawa kepada stres positif dan “distress” iaitu stress negatif.

“Stres bukan hanya dilihat sebagai unsur negatif sahaja tetapi juga ia boleh ditukarkan kepada unsur positif, terutamanya dalam mencapai sasaran kerja tahunan dalam organisasi dan bekerja dari rumah (BDR).

“Kajian menunjukkan stres pekerjaan memberikan kesan negatif, tidak dinafikan ia juga boleh memberikan impak positif eustress kepada pekerjaan kerana terdapat sesetengah individu yang mengalami perkembangan dan peningkatan kerjaya apabila wujudnya stres.

“Bagi individu ini, stres adalah suatu unsur motivasi dalaman yang menggerakkan mereka untuk berusaha,” katanya, sambil menambah, bagi pekerja dalam organisasi yang mempunyai tahap stres yang tinggi pula, tidak semestinya berhadapan dengan masalah stres kerana mungkin strategi daya tindaknya berkesan dalam menangani stress.

“Namun begitu, situasi ini hanyalah dihadapi oleh segelintir individu dan secara umumnya sesiapa jua akan memberikan reaksi yang negatif distress apabila stres yang dialami menjadi berlebihan dan gagal dikawal.

“Sebagai contoh, sebagai seorang ahli akademik akan mengambil peluang ketika bekerja dari rumah untuk menukarkan stres negatif kepada positif, melalui penumpuan masa terhadap penulisan dan penerbitan artikel yang boleh memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya bangkit dari kejatuhan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Demam terperuk dan kemurungan

Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama International) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin pula berkata, kemurungan juga boleh berlaku disebabkan ‘demam terperuk’ akibat terlalu lama berada di satu-satu ruang ketika pelaksanaan PKP.

“Demam terperuk lebih terserlah dalam menghasilkan tingkah laku tidak disedari akibat isolisasi yang tegang dan ia boleh melarat sehingga ke tahap fobia tertentu.

“Selain ketegangan, seseorang yang mengalami demam terperuk itu akan berasa gelisah, kesukaran memberi tumpuan, kurang sabar dan keinginan kepada makanan,” katanya.

Menurut beliau, penurunan motivasi, ketidakupayaan untuk berdaya tindak dengan tekanan serta pengasingan sosial juga boleh berlaku apabila seseorang mengalami demam terperuk.

Beliau berkata, seperti mana-mana keadaan kesihatan mental, Demam Terperuk perlu dirawat oleh profesional yang terlatih dalam bidang kesihatan mental seperti kaunselor, terapis, ahli psikologi dan psikiatris jika terdapat keperluan intervensi perubatan.

“Namun jika gejala itu adalah di tahap sederhana, maka dengan langkah betul dalam memerangi perasaan adalah memadai untuk membantu mereka berasa lebih baik dan selamat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cegah remaja bunuh diri, kesan perubahan tingkah laku

SHAH ALAM, 3 JULAI: Ibu bapa dan rakan perlu peka melihat perubahan tingkah laku remaja yang mengalami masalah kesihatan mental dan mungkin mendorongnya membunuh diri.

Pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata petanda seseorang termasuk individu berusia 15 hingga 18 tahun mengalami masalah itu antaranya sikap ceria menjadi murung dan mengurungkan diri dalam bilik kerana enggan bertemu masyarakat luar.

Menurut Dr Fauziah Mohd Saad, ibu bapa, adik beradik dan rakan sebagai insan terdekat harus segera memberi bantuan dengan mencurah kasih sayang serta cuba mengembalikan semangat individu terbabit.

“Apabila merasa disayangi serta ada keyakinan diri, mental mereka kembali stabil berdepan apa jua masalah dan tidak lagi berniat melakukan tindakan luar jangka seperti membunuh diri.

“Kalau tidak dicegah awal mungkin lebih parah, lazimnya kalau seseorang itu nekad membunuh diri…dia akan memberitahu perinciannya termasuk bila dia mahu melakukannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Statistik bunuh diri dilaporkan media pada Khamis menunjukkan lebih dari 1,000 kes bunuh diri dicatatkan sejak tahun 2019 sehingga Mei tahun ini kebanyakannya melibatkan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun, iaitu seramai 872 orang.

Fauziah berkata masalah keluarga dan peribadi termasuk terlanjur dalam perhubungan antara faktor remaja di usia terbabit mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

“Sebab itu selain peranan individu terdekat, kerajaan juga perlu menggiatkan lagi kempen pencegahan bunuh diri di semua peringkat usia.

“Nilai positif harus diterapkan dalam diri seseorang supaya daya tahan mereka ditingkatkan untuk menghadapi kehidupan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,000 kes bunuh diri, umur 15 hingga 18 tertinggi

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 1,708 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 sehingga Mei tahun ini dengan 1,427 daripadanya merupakan wanita, menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Umur kebanyakan mangsa terlibat pula antara 15 hingga 18 tahun iaitu berjumlah 872 orang manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun seramai 668 orang.

Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata Johor mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2020 dengan 101 kes manakala Selangor mencatatkan kes tertinggi dari Januari sehingga Mei tahun ini iaitu sebanyak 117 kes, lapor Malaysiakini hari ini.

Jumlah keseluruhan sepanjang 2019 hingga Mei tahun ini menjadikan secara purata dua kes bunuh diri berlaku pada setiap hari.

“Tiga punca utama menyebabkan insiden bunuh diri adalah masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan,” katanya.

Maklum kenyataan tersebut, sekiranya diri berasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi talian di bawah untuk mendapatkan bantuan.

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

– Talian khas 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders (https://www.befrienders.org.my/)

– Talian khas 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia

– Talian khas 03-42657995

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat diminta cakna, perhati orang sekeliling cenderung bunuh diri

SHAH ALAM, 29 JUN: Masyarakat diminta lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga atau orang sekeliling yang mempunyai simptom awal kemurungan untuk membunuh diri.

Ketua pengarah kesihatan berkata pemerhatian perlu diutamakan terhadap individu yang sentiasa sedih, murung, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, sukar menumpukan perhatian pada rutin harian serta mengalami gangguan tidur dan selera makan.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata tindakan sama juga perlu terhadap mereka yang menyatakan hilang harapan, bosan untuk hidup, menganggap dirinya beban keluarga selain menyatakan hasrat menamatkan riwayat hidup sama ada secara lisan atau penulisan.

“Jika kemurungan gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

“Individu mempunyai gejala ini perlu mendapatkan nasihat perubatan profesional segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, data dikeluarkan polis mendapati terdapat peningkatan berhubung kes bunuh diri antara 2019 dan 2020.

“Pada 2020 sebanyak 631 kes dilaporkan berbanding 609 kes pada tahun sebelumnya manakala 336 kes dilaporkan dari Jan hingga Mac tahun ini.

“Masyarakat diminta menghormati perasaan ahli keluarga individu bunuh diri dengan tidak merekod video atau menyebarkan gambar di media sosial,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

SOS: 400 kes bunuh diri di Singapura tahun lalu

SINGAPURA, 4 OGOS: Terdapat sejumlah 400 kes bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2019, meningkat berbanding 397 tahun sebelumnya, menurut Samaritans of Singapore (SOS).

SOS, pertubuhan didedikasikan untuk memberi sokongan emosi kepada individu yang menghadapi krisis, serta mereka yang merasakan mahu membunuh diri atau terkesan dengannya.

Pertubuhan itu mengatakan peningkatan kes pada tahun lalu membabitkan pelbagai peringkat usia.

“Kematian akibat bunuh diri menurun kepada 8.00 per 100,000 penduduk Singapura berbanding 8.36 pada 2018,” katanya dalam laman webnya.

SOS berkata bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan belia berumur 10 hingga 29 tahun.

Terutamanya, jumlah kematian akibat bunuh diri paling tinggi, melibatkan mereka yang berumur 20 hingga 29 tahun.

“Pada 2019, seramai 71 golongan muda berusia antara 20 dan 29 tahun membunuh diri. Bunuh diri menyumbang kira-kira satu pertiga daripada semua kematian yang dilaporkan dalam kumpulan usia ini,” katanya.

SOS berkata mereka berusia antara 20 hingga 29 tahun menyumbang kira-kira 17 peratus dalam jumlah panggilan yang menghubungi Talian Hotline 24 jam, dan merangkumi sekitar 37 peratus pelanggan E-mel Befriending.

Jumlah panggilan kumpulan umur itu meningkat kepada 4,124 berbanding 3,396 pada tahun fiskal sebelumnya yang berakhir Mac 2019.

Melalui interaksi dengan pelanggan, menurut SOS kebanyakannya mengatakan masalah hubungan cinta, kesihatan mental dan bergelut dengan situasi mencabar antara faktor penyumbang kepada kesedihan yang amat sangat.

-BERNAMA