Categories
SUKANKINI

Ekspedisi Berbasikal Tandem KL – Tasik Banding santuni golongan istimewa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 OKT: Ekspedisi Berbasikal Tandem Kuala Lumpur – Tasik Banding 2017 sejauh lebih 400 kilometer (km) disertai peserta memenuhi misi bagi menyantuni golongan istimewa – Orang Kelainan Upaya (OKU).

Program anjuran Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Tasek Banding, Perak, membabitkan 46 peserta diketuai Timbalan Pengarah MSN Selangor, Najwan Halimi.

Ia berlangsung empat hari mulai 19 hingga 22 September lalu dengan pelepasan disempurnakan Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari di Pusat Latihan MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

EKSPEDISIProgram itu dijayakan dengan disertai pegawai dan kakitangan MSN Selangor serta pelajar Pusat Latihn MAB, adalah sebahagian dari komitmen juga inisiatif sokongan Kerajaan Negeri kepada golongan OKU khususnya golongan belia kurang penglihatan.

Ekspedisi berbasikal ditempuhi peserta dengan semangat berpasukan tinggi bagi mengharungi perjalanan penuh cabaran demi melengkapkan misi.

Hari pertama dari Pusat Latihan MAB, Brickfields, Kuala Lumpur, peserta mula berkayuh dari pagi bagi merentasi laluan sejauh 105 km dan sampai ke Slim River, Perak, pada petangnya.

Peserta menyambung kayuhan sejauh 100 km, keesokannya menuju bandar raya Ipoh yang disinggahi mereka di Pusat Latihan MAB, Ipoh, sambil dirai dengan jamuan minum petang.

Memasuki hari ketiga, peserta menyambung kayuhan dari Ipoh ke Chenderoh seterusnya Gerik sejauh 150 km menempuh laluan berliku dan berbukit, yang dihabiskan lewat petang.

Pada tengah hari, peserta berhenti rehat seketika di Chenderoh, sambil menjamu selera disediakan Ahli Dewan Negerinya, Zainun Mat Noor.

EKSPEDISI 1Peserta meneruskan kayuhan pada pagi hari terakhir dari Gerik menuju ke Tasik Banding di hutan Royal Belum sejauh 50km dan menyudahinya pada sekitar jam 12 tengah hari.

Ekspedisi berbasikal itu turut menyaksikan penyertaan empat marshall yang mengiringi peserta bagi memastikan keselamatan dan kawalan trafik selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan bantuan ambulan dan lori untuk tujuan penyimpanan basikal.