Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sebab kenakan tindakan disiplin ke atas Azmin

PETALING JAYA, 21 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan gagal menghadiri beberapa mesyuarat biro politik parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai sebab munasabah untuk mengambil tindakan terhadap Mohamed Azmin.

“Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada timbalan presiden, sebab dia tidak buat apa-apa (perkara) yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan.

“Urusan (tidak hadir mesyuarat) itu bukan urusan atau bidang Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, di sini, hari ini.

Ahmad ditanya mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada beberapa mesyuarat PKR, sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Lembaga Disiplin PKR tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ahmad berkata setakat ini, Biro Politik PKR berpuas hati dengan kandungan surat penjelasan kedua-dua mereka yang turut disertakan dengan permohonan maaf, berhubung kenyataan mengenai video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada 25 Julai lepas, Lembaga Disiplin menghubungi Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, dan Farhash serta beberapa anggota parti yang lain berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai isu video lucah itu yang tular di media sosial pada Jun lepas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PKR Gesa Badan Bebas Ambil Alih SPR Isu Persempadanan Semula

Azmin HQ PKR 02

SHAH ALAM 2 JUN : PKR menuntut agar kerajaan menubuhkan badan bebas di bawah kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat syor terhadap urusan persempadanan semula.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memindahkan kawal selia SPR di bawah kuasa Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

“Cadangan ini bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Jelas Azmin, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.

“SPR dituntut untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik,” tegas Azmin.

Ujar beliau, sebagai langkah permulaan, PKR menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan segera demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR di mana suruhanjaya itu bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar latihan perhubungan awam(public relations exercise) semata-mata,” kata beliau.