Categories
AGENDA NASIONAL

Industri, syarikat sudah operasi tidak perlu mohon PKP fasa 3

SHAH ALAM, 16 APRIL: Industri dan syarikat yang sudah mendapat kelulusan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 dan 2, tidak perlu lagi memohon bagi operasi fasa 3, kata menteri kanan (Ekonomi).

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata kelulusan untuk beroperasi itu juga sudah diwartakan kerajaan pada 18 Mac, 31 Mac dan 2 April lalu.

“Semua industri dan syarikat yang dapat kelulusan operasi bagi PKP tahap 1 dan 2 boleh teruskan operasi, tidak perlu mohon lagi. Bagi sektor ekonomi tambahan hanya diwartakan semalam dan kini prosesnya berjalan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima 18,650 permohonan dalam talian dari syarikat yang memohon beroperasi pada hari pertama PKP fasa 3.

Katanya, jumlah permohonan memberangsangkan itu diperoleh selepas sistem itu ditambah baik hasil kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan Telekom Malaysia (TM).

“Kita mengambil maklum masalah trafik tinggi yang berlaku pada hari pertama permohonan dibuka kerana sistem sedia ada tidak dapat menampung jumlah akses individu dan syarikat.

“Kita juga dapati sejumlah 52 peratus dari jumlah permohonan yang diterima datangnya dari individu, bukannya syarikat.

“Sehubungan itu, MITI berbincang dengan CyberSecurity Malaysia serta TM dan dalam tempoh kurang 24 jam sistem berjaya ditambah baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, permohonan syarikat beroperasi ketika PKP fasa 3 berakhir 28 April 2020 ini melebihi jumlah permohonan bagi dua fasa PKP sebelum ini.

“Dalam tempoh enam hari permohonan PKP fasa 1 dan 2 dibuka sebanyak 12,360 permohonan diproses, tetapi untuk fasa 3, kita menerima lebih banyak permohonan, sebagai bukti sistem kita sudah diperkemaskan,” katanya.

Sebelum ini, jemaah menteri bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sektor berkenaan adalah industri automotif; industri mesin dan peralatan; industri aeroangkasa; projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan; serta perkhidmatan dobi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan besar di Turkmenistan bukti keyakinan Petronas

ASHGABAT (Turkmenistan), 26 OKT: Pelaburan besar Petronas di Turkmenistan mencerminkan keyakinannya bagi kerjasama jangka panjang dengan negara itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata Petronas telah beroperasi di Turkmenistan selama 23 tahun sejak Julai 1996 dengan jumlah pelaburan bernilai US$10 bilion.

“Saya bangga dengan keupayaan rakyat Malaysia yang menguruskan operasi Petronas Carigali di Turkmenistan.

“Pagi tadi saya diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Operasi Petronas Carigali Turkmenistan, Ruslan Abdul Ghani di pejabat Petronas Ashgabat bersama pengurusan tertinggi Petronas Carigali,” katanya dalam catatan di laman Twitter rasminya hari ini.

Mohamed Azmin tiba di sini lewat malam Jumaat bagi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan bermula Ahad (27 Oktober).

Lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Mohamed Azmin berkata Petronas beroperasi di Blok 1, yang terletak kira-kira 80 kilometer barat daya Turkmenbashy – kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang diberikan oleh kerajaan Turkmenistan.

Beliau berkata Turkmenistan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus pada 2018 dengan nilai US$40.4 bilion.

Beliau berkata Ashgabat merupakan ibu negara Turkmenistan, sebuah negara pengeluar minyak dan gas dengan penduduk seramai 5.8 juta orang, dengan 89 peratus adalah masyarakat Muslim.

Selepas dua lawatan tertinggi dari pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara itu menyedari pengalaman dan kelayakan Petronas dalam bidang industri minyak dan gas, dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara berkenaan.

Pada 1996, Petronas diberikan 32 tahun PSC yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah selepas Rusia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun, jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara ini masih belum diterokai.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Malaysia harapkan hasil positif apabila rundingan dagang AS-China bersambung

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Malaysia mengharapkan keputusan positif dan konstruktif apabila Amerika Syarikat (AS) dan China menyambung semula rundingan pada awal Oktober bagi menamatkan perang tarif antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya hari ini berkata perang perdagangan antara China-AS merugikan semua negara, terutama ekonomi kecil.

“Daripada mengambil kedudukan satu phak dalam isu ini, kita menantikan hasil positif dan konstruktif apabila dua ekonomi terbesar di dunia itu kembali ke meja rundingan pada awal Oktober,” katanya.

Pada masa yang sama, Malaysia mesti terus memperkukuh hubungannya dengan rakan ASEAN dan meneruskan kerjasama bersinergi dengan China dan AS.

Malaysia yakin bahawa bekerja dalam rangka kerja pelbagai hala merupakan cara terbaik untuk maju, untuk manfaat semua, katanya.

Menurut laporan, Beijing dan Washington menaikkan tarif pada 1 September. AS dijangka menaikkan lagi tarif pada 1 Oktober.

Ketidaktentuan dasar itu menjejaskan kedua-dua negara maju itu serta ekonomi pesat membangun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Pelaburan Singular Asset Management Sdn Bhd, Teoh Kok Lin dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata Malaysia, sebagai negara perdagangan utama, pasti akan terjejas oleh pertikaian perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua gergasi ekonomi itu kerana ia bergantung kepada faktor global.

“Namun jika ketegangan perdagangan menjadi terlalu sengit dan terus menjejaskan ekonomi global, kita perlu memikirkan rantaian bekalan yang lain dan tidak semata-mata bergantung kepada AS dan China sebagai pangkalan bekalan kita,” katanya.

Untuk itu, Teoh menggesa komuniti perniagaan bukan tidak sahaja melihat sektor perkilangan, malah turut memberi tumpuan terhadap sektor lain, seperti pelancongan dan pendidikan sebagai penjana utama pendapatan negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sebab kenakan tindakan disiplin ke atas Azmin

PETALING JAYA, 21 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan gagal menghadiri beberapa mesyuarat biro politik parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai sebab munasabah untuk mengambil tindakan terhadap Mohamed Azmin.

“Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada timbalan presiden, sebab dia tidak buat apa-apa (perkara) yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan.

“Urusan (tidak hadir mesyuarat) itu bukan urusan atau bidang Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, di sini, hari ini.

Ahmad ditanya mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada beberapa mesyuarat PKR, sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Lembaga Disiplin PKR tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ahmad berkata setakat ini, Biro Politik PKR berpuas hati dengan kandungan surat penjelasan kedua-dua mereka yang turut disertakan dengan permohonan maaf, berhubung kenyataan mengenai video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada 25 Julai lepas, Lembaga Disiplin menghubungi Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, dan Farhash serta beberapa anggota parti yang lain berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai isu video lucah itu yang tular di media sosial pada Jun lepas.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Prosiding persempadanan semula SPR, Selangor kemuka komposisi pengundi ‘luar biasa’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 20 JAN : Barisan Peguam mewakili Kerajaan Negeri bagi cabaran prosiding persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan jumlah komposisi penduduk sebagai hujahan balas mencabar cadangan dibuat SPR.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Azmin Ali berkata, perkara tersebut ditimbulkan susulan kegagalan SPR mewujudkan kesamarataan yang menyebabkan berlakunya jurang perbezaan komposisi kaum di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Selangor.

“Barisan peguam mengemukakan isu-isu perundangan yang dibentangkan di mahkamah berkait jumlah pengundi yang luar biasa yang diletakkan dalam sesebuah kawasan.

Azmin“Oleh kerana tidak ada pertimbangan dari segi hubungan komuniti sesebuah kawasan dan ia telah menjejaskan kuasa dan hak pengundi dan rakyat di Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, isu komposisi pengundi dan pecahan kaum menjadi teras hujahan utama barisan peguam untuk mencabar cadangan persempadan semula negeri dibuat SPR, September lalu.

Sebelum ini, cadangan persempadan baru SPR memperlihatkan jurang perbezaan besar komposisi pecahan kaum khususnya di kawasan Parlimen Klang dan Dun Seri Andalas.

Perubahan tersebut didakwa sebagai langkah untuk memecahkan undi komposisi kaum yang sekali gus bakal memberi kelebihan kepada parti lawan.

Justeru, Mohamed Azmin berkata perkara. tersebut memerlukan penelitian secara spesifik agar komposisi kaum di Selangor tidak mengalami perubahan besar bagi tujuan dan manfaat pihak tertentu.

“Kita berharap pihak mahkamah akan mengambil kira pandangan ini kerana kita tidak mahu syor yang dikemukakan SPR ini boleh memecahkan perpaduan rakyat Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir mendengar lanjutan prosiding cabaran persempadan semula SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong dan Teng Chang Khim.

Turut hadir, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Haniza Talha, Dr Halimah Ali, Shuhami Shafie, Mohd Haslin, Tiew Way Keng dan Saari Sungip.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memohon kepada pihak mahkamah membatalkan notis dan syor berhubung proses persempadan semula SPR.

Tindakan itu dibuat susulan pencabulan yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan apabila wujunya penafian komposisi kaum di setiap Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Selangor.

-nR-

Isu yuran letak sampan di jeti LKIM tinggi, Kerajaan Negeri bantu cari penyelesaian


Usai solat Jumaat bersama kariah Sungai Nibong, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa mendengar luahan nelayan berkenaan kebimbangan mereka apabila dikenakan yuran khas untuk meletakkan sampan di jeti LKIM.

Berkain pelekat, MB santai pagi dengan masyarakat di Pasar Sari


Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali singgah ke Pasar Sari menyantuni penduduk sekitar Sungai Besar.