Categories
SELANGOR

SPR, Pos Malaysia Harus Atasi Masalah Bekalan Borang Pemilih


Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 22 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pos Malaysia digesa supaya memastikan borang pendaftaran pemilih mencukupi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata tinjauan oleh pihaknya di pejabat Pos sekitar Subang Jaya mendapati borang tersebut sudah kehabisan selama dua bulan.

“Pejabat Dun terima aduan penduduk yang memberitahu bila mereka pergi ke pejabat pos Seksyen 15, Subang Jaya untuk mendaftar sebagai pemilih SPR, borang dah habis, ak boleh daftar sudah dua bulan.

“Bila saya hubungi SPR, SPR kata Pos Malaysia kurang beri kerjasama,” kata Hannah.

Menurut Pembantu Adun Subang Jaya, Timothy Ho Sze Ye pula, beliau juga telah melawat Pejabat Pos di Pasaraya Mydin di Seksyen 1 dan Seksyen 15 pada 14 Jun untuk mendapatkan maklum balas berhubung aduan itu.

“Di Pejabat Pos Mydin, saya diberitahu oleh petugas kaunter, borang pendaftaran baru sahaja masuk pada awal bulan Mei,” kata Timothy.

“Selepas itu saya ada menghubungi Pengurus Cawangan, Puan Farah dan dia mengesahkan borang dah sampai pada 11 Mei. Tetapi bila saya pergi pada 15 Jun, petugas kaunter maklumkan borang dah habis untuk selama dua, tiga bulan.

“YB Hannah sendiri juga periksa di Pejabat Pos Cawangan Giant Putra Heights dan diberitahu tiada bekalan.

“Saya percaya ada Pejabat Pos lain juga hadapi kehabisan bekalan borang pendaftaran SPR,” ujar Timothy.

Menurut Hannah, masalah ketiadaan borang akan menyebabkan hasrat golongan muda untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih akan terbantut.

“Bila seseorang anak muda pergi ke Pejabat Pos untuk mendaftar, itu adalah satu langkah besar yang telah diambil.

“Bagaimanapun apabila sampai di sana dan tidak dapat mendaftar kerana tiada borang, ini akan merencatkan hasrat anak muda tadi disebabkan perkara yang tak sepatutnya berlaku,” kata Hannah.

ends