Categories
NASIONAL SAINS & INOVASI

‘Todak’ inovasi UIAM mampu buat perisikan, rondaan maritim

NASIONAL 17 APR: Todak biasanya dikaitkan dengan sejenis ikan yang mempunyai muncung panjang dan tajam tetapi lain pula “Todak” dihasilkan sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Kulliyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang boleh menjalankan rondaan di perairan.

Dikenali sebagai aset ketenteraan pertama dicipta oleh UIAM, Todak yang melambangkan ketangkasan dan dinamik – direka khusus memenuhi keperluan perisikan, pemantauan dan peninjauan (ISR) untuk tentera laut dan agensi maritim.

Menurut salah seorang pensyarah yang terlibat dalam projek itu, Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah, 36, protaip kapal tanpa kawalan manusia atau unmanned surface vessel (USV) dicipta oleh empat pensdyarah termasuk beliau dan 11 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekatronik.

“Selain tugas peninjauan, Todak direka untuk melakukan tugas lain seperti pemetaan laut dan menyelamatkan anak kapal yang lemas,” kata beliau kepada Bernama di luar Persidangan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NatSec Asia) 2018 di sini, hari ini.

Ketika ditanya bagaimana kapal itu berfungsi, Yasir menjelaskan bahawa Todak dikawal oleh manusia menggunakan stesen daratan mobil, baik di daratan mahupun di atas kapal, dan boleh dikerahkan sehingga 2 km dari stesen.

“Mereka yang mengendalikan stesen daratan mobil boleh memantau keadaan secara ‘live’ menerusi video definisi tinggi yang dirakamkan oleh kamera peluru infra-red yang dipasang di atas kapal.

“Jika terdapat penceroboh cuba menyerang perairan, Todak boleh digunakan untuk menangani mereka dan menghasilkan bunyi siren sementara mereka yang mengendalikan peranti boleh mengeluarkan amaran dari daratan,” kata beliau dan menambah ciri-ciri lain termasuk lampu sorot (spotlight) dan laser designation.

Mengenai spesifikasi teknikal, beliau berkata kapal itu yang berharga RM50,000 seunit berukuran 1.75 m panjang dan 0.85 m lebar dan menggunakan kuasa enjin penebat elektrik dengan kelajuan maksimum 5 km satu jam.

Beliau berkata projek itu yang dimulakan pada 2015 adalah hasil kerjasama antara UIAM, DEFTECH (DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kami berterima kasih kerana menerima dana RM200,000 daripada MOSTI untuk menjalankan projek ini dan melalui STRIDE (Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan), iaitu agensi di bawah MOSTI, kami berpeluang mengemukakan idea itu kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Disember lepas.

“TLDM memberikan maklum balas positif apabila membuat penilaian mengenai kapal itu dan saya berharap mereka akan membeli dan menggunakan Todak pada masa akan datang,” kata beliau.

SUMBER: BERNAMA