Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir semua lokasi pelancongan dibuka, taman eko rimba jadi pilihan ramai

SHAH ALAM, 10 OKT: Hampir semua lokasi pelancongan di Selangor sudah dibuka kepada pengunjung sejak peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu.

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata antara pilihan orang ramai ialah taman eko rimba.

“Taman eko rimba menjadi pilihan masyarakat melakukan aktiviti luar seperti ibu bapa membawa anak-anak berkhemah dan mendaki.

“Selain taman eko rimba, lokasi pelancongan lain yang sudah dibuka ialah Taman Tema Sunway Lagoon, i-City, Farm in the city, muzium, galeri seni dan perpustakaan,”kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada SelangorKini.

Bermula 2 Oktober sepuluh taman eko rimba di negeri ini dibuka dan pengunjung perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan laluan pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) pula dibuka kepada orang ramai mulai semalam.

Taman eko rimba itu di Sungai Gabai, Gunung Nuang, Sungai Congkak, Sungai Tekala dan Kota Damansara, Kanching, Komanwel, Templer, Sungai Tua dan Sungai Sendat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ekspo pelancongan virtual mula hari ini, banyak pakej menarik ditawar

SHAH ALAM, 27 OGOS: Tourism Selangor menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik sempena Ekspo Pelancongan Virtual (VTE) 2021 bermula hari ini sehingga Ahad, kata pengurus besarnya.

Azrul Shah Mohamad berkata pakej dari Eastin Hotel dan Skytrex Sungai Chongkak antara yang disediakan sepanjang tiga hari ekspo dalam talian anjuran Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM).

“Seiring keunikan fungsi pameran 3-Dimensi (3D) yang julung kali ditampilkan di Malaysia, tentunya kita menawarkan pengalaman digital serba menarik dengan perkongsian maklumat komprehensif.

“Saya menyeru orang ramai khususnya penggemar aktiviti pelancongan supaya tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran pakej berkaitan sepanjang penganjuran VTE2021,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azrul, selain pameran digital bersiaran dari jam 10 pagi hingga 10 malam, pameran luar talian diadakan 24 jam sehari tanpa melibatkan kehadiran secara fizikal seperti kelaziman.

Berkonsepkan Perniagaan kepada Pelanggan (B2C), VTE2021 adalah landasan pemasaran maya yang memberi peluang kepada orang ramai membeli pakej dan jualan promosi secara terus dari penjual.

Konsep itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan dan melakukan transaksi dalam talian yang lebih mudah serta efisien.

VTE2021 boleh disertai melalui pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO mahu Tourism Selangor terus peka kehendak industri

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tourism Selangor menjadi tulang belakang kepada industri pelancongan negeri ini sejak 20 tahun lalu, kata EXCO pelancongan.

Justeru, Hee Loy Sian mahu badan induk pelancongan negeri itu terus peka dengan kehendak industri dari semasa ke semasa.

“Selama dua dekad, Tourism Selangor terus menjadi sandaran Kerajaan Negeri serta dipertanggungjawabkan dalam memacu industri pelancongan,” katanya.

Loy Sian berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan Tourism Selangor dalam sesi ‘Tourism Selangor’s Live Talk-Episod 2’ secara maya semalam.

Sementara itu, pengurus besar agensi tersebut berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan mempromosi pelancongan negeri sepanjang tempoh berkenaan.

“Tidak lupa kepada media kerana sentiasa membantu inisiatif promosi pelancongan termasuk agensi kerajaan dan swasta yang tidak putus menzahirkan sokongan kepada program serta acara.

“Seterusnya orang awam yang sentiasa menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan pilihan utama mereka,” kata Azrul Shah Mohamad.

Beliau yang mengemudi Tourism Selangor sejak awal Januari tahun lalu berkata pelbagai rintangan diharungi setiap pihak yang berkhidmat dengan agensi terbabit.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk sampai ke tanda aras ini, 20 tahun bukan tempoh singkat,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buka cawangan di PJ, restoran Gordon Ramsay bakal jadi tarikan baharu

SHAH ALAM, 19 JAN: Pembukaan restoran cef selebriti terkenal Gordon Ramsay pada Jun di Petaling Jaya bakal menjadi tarikan terbaharu negeri ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata produk pelancongan gastronomi atau berasaskan makanan berpotensi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Azrul Shah Mohamad turut berbesar hati pemegang bintang Michelin itu memilih Selangor untuk membuka cawangan restorannya yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara.

“Bagi yang ingin menikmati masakan gaya hidangan halus (fine dining), mereka boleh memilih untuk berkunjung ke restoran ini sebaik ia dibuka,” katanya ketika dihubungi.

Ramsay, 54, bakal membuka rangkaian restoran Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway Resort yang menawarkan pelbagai jenis hidangan antaranya Beef Wellington dan Sticky Toffee Pudding.

Sunway Resort dalam kenyataan di laman web memaklumkan pelanggan boleh membuat pratempahan bermula sekarang untuk menikmati hidangan cef dari British itu pada Jun.

Selain Malaysia, Ramsay mempunyai cawangan sama di Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Popularitinya melonjak apabila menjadi bintang utama dalam rancangan realiti Hell’s Kitchen sejak 2005, Kitchen Nightmares (2004 hingga 2014) dan MasterChef US mulai 2010.