Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir semua lokasi pelancongan dibuka, taman eko rimba jadi pilihan ramai

SHAH ALAM, 10 OKT: Hampir semua lokasi pelancongan di Selangor sudah dibuka kepada pengunjung sejak peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu.

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata antara pilihan orang ramai ialah taman eko rimba.

“Taman eko rimba menjadi pilihan masyarakat melakukan aktiviti luar seperti ibu bapa membawa anak-anak berkhemah dan mendaki.

“Selain taman eko rimba, lokasi pelancongan lain yang sudah dibuka ialah Taman Tema Sunway Lagoon, i-City, Farm in the city, muzium, galeri seni dan perpustakaan,”kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada SelangorKini.

Bermula 2 Oktober sepuluh taman eko rimba di negeri ini dibuka dan pengunjung perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan laluan pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) pula dibuka kepada orang ramai mulai semalam.

Taman eko rimba itu di Sungai Gabai, Gunung Nuang, Sungai Congkak, Sungai Tekala dan Kota Damansara, Kanching, Komanwel, Templer, Sungai Tua dan Sungai Sendat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taman eko rimba dibuka esok, laluan pendakian HSK 9 Oktober

SHAH ALAM, 1 OKT: Sepuluh taman eko rimba di negeri ini akan dibuka mulai esok dan pengunjung perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan laluan pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) pula dibuka kepada orang ramai mulai 9 Oktober depan.

Menurutnya semua pengunjung dimohon mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara bagi sektor ekopelancongan sumber asli (Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri) bertarikh 17 September.

“Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti pendakian perlu memohon permit memasuki hutan terlebih dahulu di pejabat hutan berkenaan.

“Pengunjung juga diminta membawa sampah keluar selepas aktiviti kerana perbuatan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menyebabkan konflik hidupan liar,” katanya di Facebook.

Taman eko rimba itu di Sungai Gabai, Gunung Nuang, Sungai Congkak, Sungai Tekala dan Kota Damansara.

Kanching, Komanwel, Templer, Sungai Tua dan Sungai Sendat.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Penutupan Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak dilanjut

SHAH ALAM, 27 OKT: Tourism Selangor melanjutkan tarikh penutupan Taman Eko Rimba Kanching, Rawang dan Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat kepada orang ramai bermula hari ini hingga 9 November.

Agensi memaklumkan penutupan sementara lokasi berkenaan selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kedua-dua taman eko rimba ini akan menyambung semula operasi bermula 10 November depan.

“Segala kesulitan yang timbul dari notis penutupan sementara ini adalah amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort ditutup bermula 14 hingga 27 Oktober susulan PKPB dikuatkuasakan di Selangor.