Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM300,000 diperuntuk bina tukun tiruan, biak ikan perairan Sabak Bernam

SHAH ALAM, 26 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Selangor bagi membina 14 tukun tiruan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata pembinaan tukun tiruan itu sebagai salah satu usaha pembiakan ikan di kawasan perairan Sabak Bernam.

“Ia juga akan menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti jenahak, kerapu, merah dan anak-anak ikan selain hidupan laut lain.

Sebanyak RM300,000 disalurkan Kerajaan Selangor kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk membina 14 tukun tiruan pada 23 Disember 2020. Foto: Facebook Jabatan Perikanan Negeri Selangor

“Pada masa sama, kita jangkakan jumlah pendaratan akan meningkat kerana ketika ini pengeluaran ikan di Sabak Bernam sekitar 64,000 tan metrik setahun berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu 76,000 tan metrik setahun,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Melabuh Tukun Tiruan Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda di Perairan Sabak Bernam, pada Rabu lalu.

Menurutnya lagi, kerja mengangkat tukun seberat 16.7 tan metrik itu mengambil masa empat hingga ke lima jam.

“Ia dilabuhkan di dasar tapak perairan yang berpasir dan berlumpur dengan kedalaman sekitar 20 meter yang memang sesuai untuk peletakan tukun tiruan.

“Ini merupakan kali kedua tukun tiruan dilabuhkan di perairan ini selepas dilakukan pada 2006,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: RM400,000 labuh tukun tiruan, tingkat hasil nelayan

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: Sejumlah RM400,000 diperuntuk untuk melabuhkan tukun tiruan sepanjang perairan Selangor bagi meningkatkan hasil nelayan.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata projek inisiatif Kerajaan Negeri itu menyediakan tempat pembiakan ikan serta menghalang penggunaan pukat tunda.

“Kita sentiasa memberi tumpuan meningkatkan hasil ikan dan bantu nelayan sama ada di sungai atau pinggir laut. Kita juga mempertimbangkan pembinaan jeti baharu mengikut keperluan bagi merancakkan industri perikanan,” katanya selepas merasmikan Pangkalan Jeti Terapung Batu 8, Kampung Asahan hari ini.

Beliau berkata nelayan di negeri ini turut menikmati baucar petrol RM300 di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi mengharungi tempoh sukar susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Segala usaha dan insiatif membuktikan Kerajaan Negeri mengambil berat golongan nelayan dan usaha meringankan beban mereka dilakukan dari semasa ke semasa,” kata Ir Izham.

Sebanyak RM240,300 diperuntuk bagi membantu 801 nelayan mendapat baucar petrol yang boleh dituntut di stesen minyak Petronas dan Shell.