Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat sentuh isu tulisan Jawi, kedudukan hutang negara

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Isu berkaitan kesinambungan tulisan Jawi dan kedudukan hutang semasa negara merupakan antara perkara dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta Menteri Kanan Pendidikan untuk menyatakan kesinambungan tulisan Jawi yang ditiadakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sedangkan kursus-kursus berkaitan Jawi disediakan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

Isu berkaitan hutang negara pula bakal dibangkitkan menerusi soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimanakah kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan status terkini penyediaan vaksin Covid-19 bagi Malaysia, dan bilakah ia dijangka mula diberi kepada rakyat.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa melibatkan tiga lagi kementerian mengikut giliran seperti yang dijadualkan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa semua pihak tidak teruskan sidang anti, pro Jawi

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan pertubuhan Melayu supaya tidak meneruskan dengan sidang anti atau pro-Jawi.

Beliau berkata kontroversi tulisan Jawi dikhuatiri akan menghangatkan suhu politik dan kaum.

Justeru itu beliau menggesa semua pihak termasuk Dong Zong untuk kembali ke ruang dialog.

“Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi. Perlu diingati bahawa tulisan Jawi merupakan sebahagian dari khazanah budaya bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya yang mana rakyat harus berbangga serta menghormati kepelbagaiannya.

Selain itu katanya, keutamaan bidang pendidikan adalah ke arah peningkatan mutu pelajaran.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas memberikan amaran kepada Dong Jiao Zong agar membatalkan hasrat mereka menganjurkan kongres yang dijadual diadakan pada 28 Disember ini sebagai bantahan terhadap pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Perdana Menteri berkata ia mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga akan turut menganjurkan kongres mereka bagi membincangkan usaha menutup sekolah vernakular Cina.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bekerjasama rapat dengan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam isu pendidikan Cina. Kedua-dua mereka merupakan peneraju dalam pendidikan Cina dan dikenali sebagai “Dong Jiao Zong”, menurut laman sesawang rasmi Dong Zong.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tulisan Jawi boleh diajar di sekolah Cina, Tamil

GEORGE TOWN, 29 NOV: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam menolak permohonan parti Gerakan supaya pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata, Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada September lepas, Gerakan telah memfailkan saman terhadap kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Timbalannya, Teo Nie Ching dan kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Gerakan diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong.

Mak ketika dihubungi di sini semalam berkata, jawatankuasa pusat Gerakan akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan dalam proses siapkan panduan tatacara tulisan jawi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses menyediakan garis panduan berkaitan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata surat siaran akan diedarkan kepada semua sekolah di seluruh negara sebelum sesi persekolahan 2020 bagi memastikan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah tahun hadapan berjalan lancar.

“Walau apa pun isu yang timbul berkenaan pengenalan tulisan jawi ini, saya ingin tegaskan bahawa KPM akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan tulisan jawi sebagai sejarah warisan negara diperkasakan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya pada sesi Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 dan pengenalan Seni Tulisan Khat sebagai pengisian tambahan.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan khat jawi akan dilaksanakan secara pilihan dan hanya akan dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Untuk tujuan pemerkasaan pelaksanaan itu, beliau berkata pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan jawi dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Pelajar yang boleh disebarkan kepada murid pelbagai kaum.

“Selain itu, KPM akan melantik Munsyi Dewan (Jawi) dalam kalangan penggiat tulisan Jawi. Sehingga kini, terdapat 51 Munsyi Dewan (Jawi). Kementerian akan melaksanakan program dan klinik Jawi seperti Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) serta Kursus Pengkaedahan Jawi Guru KAFA,” katanya.

Walaupun tiada keperluan menetapkan setiap murid wajib lulus pengenalan tulisan jawi buat masa ini, Maszlee berkata ia merupakan strategi bagi menyokong pelaksanaan kemahiran bahasa selain memperkayakan murid dengan pengetahuan seni, warisan serta Bahasa Melayu.

Katanya tulisan jawi bukan merupakan suatu mata pelajaran atau subjek, tetapi diperkenalkan sebagai aspek seni bahasa.

“Besarlah harapan saya agar isu ini tidak dipolitikkan, sebaliknya marilah kita menjadikan pendidikan sebagai wadah utama perpaduan rakyat Malaysia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM akan keluar kenyataan isu buku teks tulisan jawi

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu pertikaian mengenai cadangan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menterinya, Dr Maszlee Malik ketika ditemui media mengesahkan perkara itu, bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut.

“Saya akan keluarkan kenyataan. Tunggu nanti kita keluarkan kenyataan,” katanya selepas majlis perasmian The 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2019 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat pada tahun hadapan.

Namun, cadangan itu mendapat bantahan daripada Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Persatuan berkenaan berpendirian bahawa seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat itu adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)