Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Dr Siti Hasmah serikan program ‘Malam Teguh Rasa’ FiTA

SHAH ALAM, 7 DIS: Program ‘Malam Teguh Rasa’ Minggu KaryaOne22 anjuran pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pada program yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM itu, Dr Siti Hasmah dipertontonkan dengan persembahan pelbagai tarian tradisional dan moden lima negara iaitu Malaysia, China, Mongolia, India dan Indonesia oleh para pelajar FiTA bersama Sekolah Seni Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, Dekan FiTA, Datuk Prof Dr Abdul Razak Mohaideen dan Ketua Pegawai Eksekutif Cultural Economy Development Agency (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

Program ‘Malam Teguh Rasa’ dengan tema rentak tari merentasi dunia, adalah majlis yang dianjurkan untuk melatih pelajar terlibat menguruskan sesebuah acara dan akan dinilai oleh pensyarah.

Persembahan itu juga dianjurkan bertujuan mengembalikan aura tarian tradisional dan sebagai pendedahan kepada generasi muda supaya jenis tarian itu tidak lapuk ditelan zaman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Lapan legenda bergabung cari jaguh badminton baharu

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Lapan legenda badminton negara dihimpun dalam program pembangunan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah yang akan mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal juara masa hadapan.

Legenda badminton itu terdiri daripada bekas pemain skuad Piala Thomas 1992 dan skuad Olimpik Malaysia iaitu Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Melalui program pembangunan dan kejohanan badminton yang diiktiraf di peringkat kebangsaan itu, lapan pasukan yang dibarisi 12 pemain akan dibentuk untuk berentap pada kejohanan akhir Piala Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah yang akan berlangsung pada Disember 2019.

Pengarah program, Rashid Sidek berkata pemain berpotensi akan dipilih berdasarkan cadangan serta penilaian daripada persatuan badminton negeri dan kelab badminton yang aktif dari seluruh negara.

“Legenda ini juga boleh mencadangkan pemain pilihan mereka sendiri untuk program ini namun pemain yang dipilih mesti terdiri daripada mereka yang berada di luar lingkaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ),” katanya dalam ucapan perasmian, hari ini.

Rashid berkata beliau teruja untuk melaksanakan program tersebut yang akan mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi serta menilai semangat dan komitmen mereka terhadap sukan badminton.

Katanya, melalui program Juara Tangkis ini ia akan memberi peluang kepada pemain badminton yang bercita-cita tinggi sekali gus memupuk minat golongan muda terhadap sukan itu.

“Badminton bukan tentang merangkul kemenangan semata-mata, ia juga menyatukan kita apabila kita bersama-sama meraikan semangat kesukanan dan nikmat mengecapi kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui langkah tambahan yang diambil penganjur program iaitu Sports Affairs adalah bertepatan dengan misi BAM dalam mencari bakat berpotensi untuk masa hadapan.

“Sebagai badan yang mengawal badminton negara, kewujudan program ini merupakan langkah tambahan kepada program sedia ada sekarang. Saya risau dengan perkembangan peringkat akar umbi. Kami di BAM mengalu-alukan bakat baharu daripada program ini ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Begitu juga dengan pemain di Sekolah Sukan Bukit Jalil akan ke ABM. Kita mahu jadikan ABM sebagai satu institusi yang berprestij,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

SMK St Mary cipta sejarah, pertama tubuhkan Pusat Seni dan Kulinari

OLEH AFIX REDZUAN

KEPONG, 10 SEPT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary mencipta sejarah menjadi sekolah menengah pertama yang menubuhkan Saleha Hospitality dan Culinary Arts Center di Malaysia.

Kejayaan itu cukup membanggakan isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selaku ‘Mother Of St Mary’.

“Perasmian satu pojek yang sangat mulia. Saya cukup bangga apabila ia digelarkan sebagai yang pertama di dalam negara kita, syabas,” katanya.

Ucapan itu disambut dengan tepukan gemuruh hadirin ketika Siti Hasmah menyampaikan ucaptama perasmian.

Menyingkap penubuhan Saleha Hospitality dan Culinary Arts Center, ia diinspirasikan daripada Allahyarhamah Tan Sri Datuk Paduka Dr Siti Saleha Mohd Ali.

Impian penubuhan dua pusat kemahiran untuk kelancaran subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan diilhamkan Alumni SMK St Mary pada pertemuan ulangtahun ke-100, pada 2012.

Siti Hasmah dalam ucapannya berkata, industri kulinari dan hospitaliti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan ditambah dengan kerancakan pembangunan.

rasmi“Ambil peluang untuk meningkatkan kemahiran. Saya nak ingatkan, jangan fikir menjadi chef tidak ada potensi, jadi fikir sebaiknya kerana kitalah yang menyediakannya untuk masa hadapan,” katanya.

Siti Hasmah adalah antara bekas pelajar SMK St Mary yang pernah menerima pendidikan, pada 1932 hingga 1941.

Siti Hasmah antara tiga pelajar Melayu SMK St Mary yang pernah menerima pendidikan awal di sekolah itu bersama dua kakaknya, pada 1932 hingga 1941.

Pengetua SMK St MAry, Chee Poh Kiem berkata, beliau mewakili sekolah berterima kasih kepada alumni dan badan korporat yang sudi menyumbang hampir RM1 juta.

Sunway Group menyumbang RM500,000 diwakili Ahli Exco, Puan Sri Dr Susan Cheah bagi pihak Tan Sri Dr Jaffery Cheah.

Lee Foundation States of Malaya pula menyumbangkan RM100,000 yang diwakili Datuk Lee Seng Chuan, sementara Alumni SMK St Mary menyumbang RM84,000.

-NFN-