Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas jaguh olahraga negara

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet dan jurulatih olahraga negara Shamsuddin Jaafar, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Shamsuddin, dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan olahraga negara.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikian menurut catatan itu.

Shamsuddin, 86, yang lahir pada 15 Mac 1936 di Kuala Kangsar, Perak merupakan bapa kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Allahyarham pernah mewakili negara dan memenangi pingat emas dalam acara olahraga 4X400 meter di kejohanan Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA), pada tahun 1965 di Kuala Lumpur.

Allahyarham juga semasa hayatnya pernah berkhidmat sebagai jurulatih atlet olahraga negara untuk Sukan Asia 1970 di Bangkok, 1974 di Tehran dan 1978 di Bangkok, serta Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Antara atlet di bawah bimbingan Shamsuddin ialah bekas ratu pecut Asia Junaidah Aman dan bekas pelari pecut negara Allahyarham Ramli Ahmad.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Azizah terima Anugerah Ikon Kraf 2019 di India

NEW DELHI, 8 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di sini, malam tadi.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan Tunku Azizah dalam memajukan warisan kraf dan kesenian tradisi Malaysia.

“Penyertaan (kraf) baginda memenuhi kriteria juri dengan sangat baik. Kerja seni ini menunjukkan tahap komitmen peribadi yang sangat tinggi dan penglibatan insani,” kata Prof Aftab Gharda, anggota juri antarabangsa Anugerah Kraf Antarabangsa Ketiga, kepada Bernama.

Merujuk kepada peranan Tunku Azizah yang melibatkan penghuni penjara dalam kerja kraf, beliau berkata projek baginda membolehkan individu yang mungkin telah hilang arah dalam kehidupan mereka untuk menilai semula kedudukan dan membina semula penghidupan melalui kemahiran baharu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ceria bersama kain tenun ‘Bauksit’ yang diilhamkan oleh baginda ketika berkenan melawat Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara Penor hari ini.
Banduan Penjara Penor yang bekerja di Bengkel Tenun Pahang Diraja Penjara Penor diberi tanggungjawab bagi menghasilkan kain tenun untuk pakaian Raja Permaisuri sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara pada 31 Julai 2019. Foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHAR

“Anugerah yang disampaikan kepada baginda sangat bertepatan dan melakar sejarah dalam inisiatif itu, yang memulakan suatu legasi bagi generasi akan datang,” kata Gharda.

Anugerah itu disampaikan bersempena Minggu Kraf India, yang turut mempamerkan persalinan daripada kain tenun Pahang Diraja yang dipakai oleh Tunku Azizah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri menggunakan tanda kebesaran diraja Pahang dan ia ditenun khas oleh penghuni Penjara Penor.

Terdahulu, Tunku Azizah melawat pameran kraf dan berinteraksi dengan pempamer yang mengambil bahagian.

-BERNAMA