Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM pastikan lebih ramai B40 terima dekoder percuma

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha memastikan lebih ramai golongan isi rumah berpendapatan rendah B40, menerima set dekoder siaran televisyen digital secara percuma.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya masih berbincang dengan syarikat pengedar dekoder tersebut serta mengumpulkan maklumat, untuk menentukan individu yang layak menerimanya.

“Memang kami menerima aduan ada yang terpaksa membeli (dekoder) namun untuk makluman, proses penelitian mereka yang layak ini melibatkan seluruh negara dan melibatkan pelbagai masalah. Jadi, prosesnya akan mengambil masa yang panjang.

“Namun kami komited untuk menyelesaikannya, termasuk berusaha memastikan golongan tersebut menerima manfaat selepas peralihan sistem analog ke digital,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk memastikan lebih ramai golongan B40 menerima dekoder tersebut secara percuma.

Siaran televisyen tempatan termasuk TV1, TV2 dan TV3 akan beralih daripada teknologi analog kepada digital secara berperingkat.

Sehingga April lepas, sebanyak 1.6 juta unit dekoder percuma telah diedarkan kepada penerima yang layak, terutamanya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Mengenai tindakan penjualan dekoder tanpa lesen, Gobind memberi jaminan kementeriannya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kami anggap (penjualan dekoder secara haram) tidak adil kepada syarikat yang melabur pada kos yang tinggi bagi mendapatkan lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP),” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Shahar yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini syarikat-syarikat yang telah diberikan lesen CASP oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Gobind menjelaskan terdapat 54 buah syarikat yang telah dianugerahkan lesen tersebut.

Katanya, lesen tersebut diberikan untuk menjalankan perkhidmatan aplikasi kandungan seperti penyiaran TV secara digital, protokol Internet mahupun satelit dan radio terestrial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peralihan ke siaran digital pelbagaikan kandungan TV kepada pengguna

LANGKAWI, 6 OGOS: Keputusan peralihan siaran analog televisyen secara berperingkat ke siaran TV digital myFreeview turut membuka peluang mempelbagaikan kandungan kepada pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, 15 saluran dalam TV digital myFreeview amat penting untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna.

“Kalau nak teruskan dengan lihat dua ‘channel’ (saluran) saja kita boleh teruskan, tetapi kepada saya kita perlu lihat dunia baharu digital.

“Lima belas ‘channel’ tv di myFreeview ini penting kerana ianya saluran maklumat yang membolehkan kita tahu perkara di seluruh dunia termasuk sukan dan drama…ada banyak kandungan di dalam saluran tv digital kepada pengguna,” katanya secara santai kepada enam penerima ‘Set Top Box’ (STB) atau dekoder DVB-T2 di Pusat Internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, di sini.

Beliau turut meluangkan masa mendengar sendiri permasalahan, aduan serta cadangan yang disampaikan oleh penerima dekoder yang layak semasa sesi pertemuan tersebut.

Terdahulu Gobind diberi taklimat oleh pengurus pusat internet tersebut Nor Asmak Amsari mengenai pengagihan ‘Set Top Box’ (STB) atau dekoder DVB-T2 kepada penerima yang layak di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat.

Mengenai projek rintis peralihan ke siaran TV digital di Langkawi sejak 21 Julai lalu, Gobind berkata ujian tersebut perlu dilakukan bagi mendapat maklum balas serta aduan mengenai sebarang masalah daripada pengguna.

“Setiap masalah kita akan kategorikan mengikut kawasan dan cara bagaimana nak selesaikan.

“Selepas ini peralihan ke siaran TV digital akan di‘apply’ (diguna) ke seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara berperingkat. Cabaran pasti ada tetapi saya yakin kita boleh atasinya,” kata beliau.

Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran TV digital sejak 21 Julai lepas, selepas pemancaran TV analog dari Gunung Raya di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran TV digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran TV digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pengumuman penutupan siaran TV analog secara berperingkat petang ini

LANGKAWI, 6 OGOS: Satu lagi sejarah dalam industri penyiaran negara bakal dicatatkan, dengan pengumuman penutupan siaran analog televisyen secara berperingkat, yang bakal membolehkan pengguna beralih ke siaran TV digital myFreeview sepenuhnya.

Pengumuman bersejarah akan dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dalam satu majlis di Kompleks Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Langkawi petang ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerjanya akan turut melakukan tinjauan kejayaan peralihan sistem siaran tv dari analog ke digital di pulau peranginan ini, yang sudah memasuki minggu kedua pelaksanaan.

Pada sebelah pagi, Gobind akan mengadakan lawatan ke pusat internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, sebelum meninjau bilik operasi ‘Analogue Switch Off’ (ASO) di Kompleks APM Daerah Langkawi.

Terma ‘Analogue Switch Off’ (ASO) merujuk kepada penutupan siaran TV, yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat oleh RTM sejak 1963 dan oleh TV3 sejak 1984, menggunakan teknologi lama (analog).

Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran TV digital sejak 21 Julai lalu, selepas pemancaran TV analog dari Gunung Raya, di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran TV digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran TV digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik.

Pemilihan Langkawi sebagai kawasan rintis bagi permulaan penutupan siaran TV analog dibuat memandangkan Langkawi telah mempunyai ekosistem TV digital yang mantap, di mana liputan siaran TV Digital adalah menyeluruh, di samping penyelesaian pengagihan dekoder percuma kepada isi rumah Bantuan Sara Hidup (BSH).

Malaysia merupakan negara ketiga di rantau ASEAN yang akan menjalankan penutupan siaran TV analog selepas Brunei serta Singapura, yang telah menutup siaran TV analog mereka sepenuhnya dan bersiaran TV Digital masing-masing pada 31 Disember 2017 dan 1 Januari 2019. – BERNAMA