Categories
SELANGOR

Denggi: MBSA gempur 8 jalan perumahan Seksyen U2

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus menggempur kawasan hot spot kes demam denggi dan kali ini dilaksanakan di Seksyen U2, di sini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan 90 kakitangan dari pelbagai jabatan, pada 20 November lalu.

Katanya, pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan rumah kediaman untuk memeriksa tempat yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Pihak MBSA ingin memberi nasihat kepada penyewa dan pemilik rumah supaya melaksanakan pemeriksaaan serta melakukan aktiviti gotong royong.

“Langkah ini penting untuk memastikan kediaman dan kawasan sekitar dalam keadaan terjaga, bersih dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi Gerak Gempur Denggi kali ini melibatkan pemeriksaan di Jalan U2/36, U2/37, U2/38, U2/39, U2/40, U2/41, U2/42, U2/43, Seksyen U2, di sini.

Mengulas komitmen MBSA, Shahrin berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan perumahan terutama lokasi berstrata.

“Jika didapati ada pembiakan jentik-jentik, MBSA akan mengenakan kompaun atas kesalahan membiaknya di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya.

Bermula dari awal tahun hingga 15 November lalu, pihak MBSA sudah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 88,050 premis sekitar Shah Alam, manakala aktiviti semburan atau ‘fogging’ di 798,888 premis dan mengeluarkan 745 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes.

Selain itu, MBSA turut menubuhkan Bilik Gerakan Denggi bagi memantau dan menerima aduan serta laporan demam denggi daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan dan orang awam.

Bilik Gerakan Denggi boleh dihubungi di talian 03-5522 2793 pada waktu pejabat sahaja.

-NFN-