Categories
AGENDA NASIONAL

ATM guna dron, UAV pantau pergerakan rakyat

SHAH ALAM 23 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menggunakan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau pergerakan rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata panglimanya.

Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penggunaan teknologi tersebut membantu petugas keselamatan membuat pengawasan lebih meluas dan menyeluruh.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan bantuan industri tempatan kita sudah ada, tetapi jumlah dron atau UAV perlu ditambah.

“Dengan menggunakan teknologi ini ia boleh menambah baik pengawasan kita macam dilakukan di China dan penggunaannya dijangka dilaksana dalam tempoh terdekat, mungkin sehari dua ini,” katanya ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pagi ini.

PKP di seluruh negara bermula 18 Mac hingga 31 Mac bagi mencegah penularan Covid-19.