Categories
SUKANKINI

Luka Moric Pemain Terbaik UEFA 2017/18, ketepikan Ronaldo dan Mo Salah

OLEH AFIX REDZUAN

MONACO, 31 OGOS: Pemain tengah Real Madrid dan ketua pasukan Croatia, Luka Modric dipilih selaku Pemain Lelaki Terbaik UEFA 2017/18 dengan menewaskan dua lagi calon, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah.

Keputusan mengejutkan itu menyaksikan beliau mengatasi dominasi bekas rakan sepasukan di Real Madrid musim lalu yang kini beraksi di Juventus, Ronaldo dari melakar kejayaan buat musim ketiga berturut-turut.

Pemilihan Modric dibuat lebih 80 jurulatih kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Europa serta 55 wartawan sukan yang berdaftar dibawah UEFA.

Modric melakar musim gemilang bersama Real Madrid apabila membantu pasukannya menjuarai UCL bagi ketiga berturut-turut sejak 2015/16 dan kejuaraan keempat dalam tempoh lima musim.

Selain itu, beliau juga mengetuai pasukan Croatia untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Rusia 2018 walaupun tewas 2-4 kepada Perancis.

Sebelum itu, Modric yang kini berusia 32 tahun turut dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik musim 2017/18.

Bagi kategori Pemain Wanita Terbaik UEFA musim 2017/18 pula dimenangi penyerang kelab VFL Wolfsburg, Pernille Harder.

Pemain kelahiran Denmark itu menewaskan dua lagi calon, Ada Hegerberg dan Amandine Henry.

Dalam keputusan lain, Real Madrid turut menguasai dua lagi kategori apabila ketua pasukan, Sergio Ramos dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik musim 2017/18 manakala Keylor Navas mengekalkan status selaku Penjaga Gol Terbaik musim 2017/18.

Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus tidak pulang dengan tangan kosong apabila mengekalkan status selaku pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Penjaring Gol Terbanyak musim 2017/18.

Beliau sebelum itu menerima anugerah Gol Terbaik musim 2017/18 selepas menerima hampir 200,000 undian menerusi jaringan lipatan gunting yang dilakukan pada peringkat separuh akhir menewaskan Juventus ketika masih beraksi bersama Real Madrid.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Ronaldo, Modric dan Salah calon Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2017/18

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 21 OGOS: Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Mohamed Salah sebagai tiga calon Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2017/18.

Pengumuman itu dibuat UEFA semalam menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman www.uefa.com dan pemenang bakal diumumkan bersama Pemain Terbaik Wanita UEFA 2017/18 serta kategori lain sempena undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, pada 30 Ogos ini.

Luka Modric yang kekal bersama Real Madrid musim ini dipilih dalam senarai pendek selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu selain aksi cemerlang bersama Croatia, dalam kejohanan Piala Dunia Rusia 2018.

Beliau berjaya membawa Croatia mara ke perlawanan akhir sebelum tewas 2-4 kepada Perancis selain terpilih sebagai penerima anugerah FIFA Golden Ball.

Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus di Serie A, Itali, terpilih apabila berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kelima sepanjang karier dengan empat daripadanya menang bersama Real Madrid.

Lebih membanggakan, beliau menjadi penjaring terbanyak kempen Liga Juara-Juara untuk enam musim berturt-turut.

Sementara penyerang Liverpool, Mohamed Salah tersenarai dalam tiga calon pemain terbaik UEFA apabila mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat domestik menerusi kemunculan musim pertama bersama The Reds.

Penyerang Mesir itu berjaya memenangi anugerah kasut emas Liga Perdana Inggeris dengan 32 gol dalam 36 penampilan.

Manakala dalam peringkat Liga Juara-Juara, Salah menghasilkan 10 gol dalam 13 perlawanan serta lima bantuan goal.

Berikut adalah senarai pendek pemain terbaik bagi kategori lain:

1) Penjaga Gol Terbaik Musim 2017/18: Alisson Becker, Gianluigi Buffon, Keylor Navas

2) Pertahanan Terbaik Musim 2017/18: Marcelo, Sergio Ramos, Raphaël Varane

3) Pemain Tengah Terbaik Musim 2017/18: Kevin De Bruyne, Toni Kroos, Luka Modric

4) Penyerang Terbaik Musim 2017/18: Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah

5) Pemain Terbaik Wanita Tahunan: Pernille Harder, Ada Hegerberg, Amandine Henry

6) Pemain Terbaik Musim 2017/18 Piala Europa: Diego Godín, Antoine Griezmann, Dimitri Payet