Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Super catat lebih 2.5 juta tontonan di YouTube

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Enam perlawanan minggu pertama saingan Liga Super 2021 yang berlangsung sengit minggu lalu, mencatat jumlah melebihi 2.5 juta tontonan di laman YouTube dengan aksi pembuka tirai antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), meraih tontonan tertinggi.

Kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih kali keempat berturut-turut selepas menewaskan KDA FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim itu pada Jumaat lepas, mencatat jumlah tontonan sebanyak 626,385 setakat 4.30 petang tadi.

Jumlah kedua tertinggi adalah pertembungan antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas kemenangan 3-1 skuad Gergasi Merah merekodkan 578,602 tontonan.

Ia diikuti 374,367 tontonan bagi perlawanan sengit melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menentang Terengganu FC, yang menyaksikan pasukan pelawat berjaya membawa pulang tiga mata penuh di Stadium UiTM di Shah Alam dengan kemenangan 1-2.

Aksi antara Perak FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan tanpa jaringan tidak kurang hebatnya, apabila merekodkan 332,147 tontonan.

Sementara itu, kemenangan 1-0 Penang FC ke atas Kuala Lumpur City FC hasil jaringan tunggal David Rowley di Stadium Bandaraya mendapat 300,432 tontonan, manakala aksi Melaka United FC menentang Sabah di Stadium Hang Jebat berakhir dengan keputusan seri 1-1 meraih 289,194 tontonan.

Perlawanan Liga Super 2021 disiarkan unifi menerusi saluran unifi Sports 701-705, aplikasi unifi PlayTV serta saluran YouTube unifi di https://www.youtube.com/c/unifiistheone/featured.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM siasat aduan TM kurangkan kelajuan pakej Unifi

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan terhadap aduan pengguna berhubung pengurangan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps yang dilancarkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) bulan lalu.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata butiran aduan menyatakan TM telah menawarkan kelajuan muat naik 200Mbps bersama pakej Unifi yang menyediakan kelajuan muat turun 500Mbps.

Setelah meneliti semula laman sesawang jualan rasmi pihak TM, SKMM berkata pengadu mengesan pakej tersebut telah berubah sejak 2 Sept dengan kelajuan muat naik dikurangkan separuh kepada hanya 100Mbps.

“Aduan ini turut dilaporkan oleh beberapa portal berita dalam talian yang menganggap pengguna terpedaya dengan tawaran yang dibuat dalam pakej awal yang diiklankan bulan lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemberi perkhidmatan jika siasatan awal mendapati terdapat unsur yang melanggar kepentingan pengguna.

Katanya, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang dikuat kuasa oleh SKMM memberi perhatian berat terhadap kepentingan pengguna perkhidmatan telekomunikasi dan pihak suruhanjaya itu memberi jaminan siasatan isu tersebut akan dijalankan secara telus dan adil.

— BERNAMA