Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Dua pelajar Malaysia bakal ke Universiti Harvard

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia, apabila dua pelajar muda, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi, bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkenal di seluruh dunia.

Kelab Harvard Malaysia, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan, kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi tahun 2024.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Aqil, 20, anak kelahiran Shah Alam, Selangor, bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah, manakala Zad Chin, 20, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak, merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

“Kedua-dua pelajar pada masa ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

“Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat sejumlah 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard bagi tahun 2024, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard adalah pada tahun 2017.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Tidak lokek ilmu, rahsia pelajar UKM raih kejayaan di Harvard University

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Tidak lokek ilmu, begitulah rahsia kejayaan yang dikongsikan Mohd Nuriman Nawi yang ditawarkan menjadi Felo dalam bidang Fizik Gunaan di Harvard University, United States.

Biarpun sibuk menjalankan kajian dan penyelidikan, pelajar tahun akhir, Ijazah Doktor Falsafah di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanolectronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia itu sentiasa mengamalkan prinsip rendah diri, biarpun cemerlang dalam pelajarannya.

“Sikap adalah segala-galanya. Apabila kita menceburi sesuatu bidang, sikap yang positif adalah sangat-sangat diperlukan dalam melakukan penyelidikan.

“Kita jangan sesekali malu untuk bertanya dan walaupun kita sibuk dengan penyelidikan yang dibuat, janganlah kita lokek untuk berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditemubual portal universiti itu.

Berkongsi detik penerimaan tawaran dari Universiti terkemuka itu, Mohd. Nuriman berkata, beliau telah diperkenalkan oleh penyelianya kepada seorang profesor di Harvard University.

“Penyelia saya, Dr. Ahmad Rifqi adalah seorang penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam teknologi fabrikasi peranti yang tersangat kecil dan juga merupakan rakan penyelidik kepada profesor tersebut.

“Beliau telah datang ke persidangan di Malaysia sebagai pembicara utama dan kami telah bersua ketika sesi persidangan di mana saya telah menjadi salah seorang pembicara.

“Dari situ secara tidak langsung beliau telah menemuduga dan berminat dengan kerja-kerja yang dijalankan oleh kumpulan kami di IMEN dan menjemput kami ke Harvard sebagai felo untuk berkongsi dan melakukan penyelidikan di sana,” katanya.

Katanya, disebabkan kekangan masa, beliau telah dijemput untuk melakukan penyelidikan selama enam bulan dan kemudiannya pulang ke Malaysia untuk mempertahankan tesis sebelum menjadi graduan UKM.

“Setelah selesai penyelidikan di IMEN, saya boleh kembali semula ke Harvard untuk meneruskan penyelidikan selama tempoh maksimum lima tahun atau sehingga selesai penyelidikan di sana,” katanya.

Mohd Nuriman sebelum ini memulakan penyelidikan terhadap pengesan cahaya, seterusnya membuat penyelidikan terhadap peranti pengesan cahaya berdasarkan grafin atau bahan dua dimensi lain.

Categories
SELANGOR

Ketua Hakim Syarie terima jemputan Universiti Harvard

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerima jemputan Harvard Law School, Harvard University dan Ketua Hakim Massachusetts, Amerika Syarikat Chief Justice Paula Carey untuk menyertai persidangan kehakiman pada 5 dan 6 Mei ini.

Universiti HarvardUnit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, dalam satu kenyataan memaklumkan Dr. Mohd Na’im akan menyertai ‘Conference of Probate and Family Court Judges for the State of Massachussets United States of America’ untuk bercakap berkaitan perkembangan Undang-Undang Islam di Mahkamah Syariah Negeri Selangor.

Persidangan itu melibatkan Hakim Mahkamah Keluarga dan Probet bertempat di Massachusetts, Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 5 Mei.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ahmad Darul Akmal Mohamed Ali dari Unit Perhubungan Dasar Jabatan Agama Islam Selangor.

WhatsApp-Image-20160503Manakala pada 6 Mei, Mohd Na’im dan Ahmad Yunus dijadual bersama professor, ahli akademik serta Hakim dan pengamal undang-undang di seluruh dunia dalam satu persidangan kehakiman.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) merakamkan ucapan tahniah dan berbangga atas jemputan dan penghargaan diberikan disamping mengharapakan penglibatan itu memberi impak positif sekali gus meningkatkan lagi kredibiliti institusi kehakiman syariah.

EZY